Dewasa ini, kita melihat ramai dalam kalangan para wanita mengenakan purdah dengan niat untuk berhijrah menjadi lebih baik. Berikutan dengan penyebaran wabak covid-19, ramai yang terus mengenakannya kerana pemakaian pelitup muka telah diwajibkan oleh pihak kerajaan.
Namun, disebalik ramai yang mengambil keputusan untuk beristiqamah dengan pemakaian purdah, ramai juga menyalahgunakan pakaian suci ini. Ada dalam kalangan para wanita yang mengenakannya semata-mata untuk menarik minat para jejaka di sosial media. Penyalahgunaan purdah pada hari ini terus berlaku dan berleluasa sehingga menghakis matlamat dan tujuan sebenar pakaian ini.
Pakaian purdah adalah suatu sunnah para wanita salafussoleh yang mengenakannya untuk menjaga diri daripada diganggu. Bila kita memerhati dan meneliti apa yang telah berlaku, pemakaian purdah pada hari ini telah pun bertentangan dengan tujuan pensyariatannya yang sebenar.
Mungkin ada yang akan mengatakan, mengapa asyik-asyik menuding jari kepada yang berpurdah? Mengapa tidak menegur dan memberi perhatian kepada mereka-mereka yang terang-terangan membuka aurat?
Jawapannya mudah, mereka yang berani membuka aurat sudah lunyai ditegur berkali-kali, mereka mahu ikut atau tidak, itu semua kuasa Allah SWT. Kita tidak mempunyai kuasa untuk mengubah seseorang. Oleh itu, mengapa para niqabis Instagram, Facebook, Tiktok dan semua platform yang lain ini perlu juga ditegur walaupun mereka bermatlamat ingin menormalisasikan purdah dan menyebar dakwah? Hal ini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana satu dalil dalam ilmu fiqh iaitu “Matlamat tidak Menghalalkan Cara”.
Sekalipun niat kita baik dan tindakan kita itu memberikan impak yang positif dan berkesan untuk membawa nilai-nilai kebaikan, cara yang salah dan batil itu tidak boleh dihalalkan dan dibenarkan sama sekali. Hal ini ada kaitannya dengan hati yang mana Allah SWT sahaja yang mampu menilai tahap keikhlasan dalam jiwa hamba-hamba-Nya. Sebagai contoh, ada seorang wanita berniqab namun sering menonjolkan dirinya di dalam media sosial yang sudah tentu sudah ada mata lelaki yang melihat. Walaupun wanita itu berpidato mengenai Islam dan bercakap mengenai nilai-nilai yang terpuji, pidato itu tetap tidak boleh membenarkan wanita itu menonjolkan diri. Kerana apa?
Kerana ketika Aisyah didatangi para sahabat dalam kalangan lelaki untuk bertanyakan soalan agama, Aisyah menjawab soalan tersebut di sebalik tabir. Beliau tidak menonjolkan diri apalagi bertentangan mata. Oleh itu, wahai wanita yang solehah lagi beriman, marilah kita sama-sama meneladani para wanita yang telah dijaminkan syurga.
Jangan terlalu terikut dan terpengaruh dengan budaya barat. Mereka tidak ada rasa malu yang perlu dipertahankan. Sebagai wanita Muslimah yang sejati, kita tidak lain dan tidak bukan perlulah mengkaji dan meneladani sifat-sifat mulia para wanita jaminan syurga.
Hayatilah bagaimana malunya sifat Saidatina Fatimah Az Zahra sehingga Allah SWT mengiktirafnya sebagai penghulu wanita syurga. Hayati juga bagaimana kisah mulianya beliau memasuki syurga nanti. Di akhirat kelak, apabila Saidatina Fatimah berjalan menuju ke syurga, Allah SWT memerintahkan semua para hambanya untuk tundukkan kepala yang bermaksud menundukkan pandangan. Kerana apa? Kerana begitu mulianya Saidatina Fatimah dengan sifat malu yang sangat segan apabila dirinya dilihat apalagi dilirik-lirik.
Tidak kiralah berniqab ataupun tidak, para wanita tidak boleh menonjolkan diri walaupun dengan niat menyebarkan Islam. Hal ini demikian kerana, “Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku fitnah yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki selain daripada fitnah wanita”. Hadis ini direkodkan di dalam Riwayat Bukhari. Dengan bahasa yang lebih mudah, wanita ini sumber masalah. Jadi jangan jadikan diri kita ini beban dosa dan masalah orang lain.
Para wanita tidak digalakkan menonjolkan diri kerana dikhuatiri menimbulkan fitnah dan dosa. Dengan adanya aplikasi-aplikasi seperti Instagram, tiktok, facebook, dan lain-lain, wanita hari ini bermudah-mudahan menonjolkan diri mereka semata-mata kerana dahagakan ‘like’ dan ‘viewers’.
Saudari, wanita itu tidak dimuliakan dengan perhatian dan pujian. Semakin tersembunyi wanita itu, maka semakin mulia dirinya di sisi Allah SWT.
Sebagai penutup, wanita hari ini sudah jauh tertinggal ke belakang dengan nilai-nilai ketamadunan yang telah diterapkan oleh wanita salafussoleh zaman Rasulullah SAW. Kita banyak menyangka dan perasan sendiri bahawa dunia hari ini sudah semakin moden dan sifat malu itu seakan-akan telah menjadi sifat nenek moyang dahulu kala yang tidak sesuai untuk diterapkan dalam jiwa anak muda hari ini. Walhal, sifat malu itulah yang mengangkat dan mengiktiraf figura-figura contoh tauladan seperti Khadijah, Fatimah, Asiah, Maryam, Aisyah, Zainab dan lain-lain sehingga menjadi sebutan dan menjadi pengkajian tentang akhlak keperibadian mereka sampailah ke hari ini. Jika kita terlalu obses dengan figura barat yang kononnya membawa nilai ketamadunan, cuba kita sebutkan dengan mulut kita siapakah mereka yang boleh menjadikan tauladan kepada tamadun nusa bangsa kita? Sudah tentu panjang berfikir bukan? Oleh itu, wahai wanita Islam yang beriman, ayuhlah kita sama-sama mengkaji siapa wanita-wanita salafussoleh yang telah dijaminkan syurga itu dan marilah sama-sama kita meneladani mereka.
Disediakan oleh: Karang Fulanah