أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْاْ مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاء وَالضَّرَّاء وَزُلْزِلُواْ حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللّهِ أَلا إِنَّ نَصْرَ اللّهِ قَرِيبٌ
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)” (Surah Al-baqarah,Ayat 214)
Kehidupan dunia adalah sebuah jalan lurus yang terhampar duri-duri yang amat tajam lantas menyeksakan. Adapun yang terhias dengan keindahan, kesenangan dan kemudahan yang melenakan. Terdapat juga permata-permata hikmah yang sejuknya menusuk hingga ke jiwa, yang hanya mampu dirasai oleh mereka-mereka yang selalu mahukan dirinya dekat dan rapat dengan Rabb-nya Maha pencipta.
Kita sememangnya bukanlah makhluk yang sempurna, pasti akan selalunya ada aral melintang yang menjadi penghalang dalam hidup ini. Di dalam setiap nafas yang sedang membakar di dalam benak dada, dan dalam masa yang sama ada juga isu-isu kesedihan yang menyayat hati , pada waktu ketika itulah kita berusaha sedaya upaya agar berkelakuan dengan akhlak yang mulia serta berbaik sangka dengan apa jua keadaan. Itulah ujian keimanan yang akan mematangkan minda serta buah pemikiran kita.
Sebaik-baik pencegahan terhadap yang berlaku adalah dengan kesabaran.
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (155) الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (156) أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ (157)
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Al-baqarah,Ayat 115-157)
Salah satu bukti sabarnya seorang insan yang beriman adalah dengan dia mampu bertahan dari segala tingkah laku kezaliman yang diterima olehnya. Saat kehidupan sosial di dunia kini mengikut corak sistem kasta, lantas ego dan bongkaknya manusia membangkitkan perbalahan yang sia-sia di antara ummat manusiawi. Kemudian mewujudkan jurang antara kumpulan, pemimpin dengan orang bawahan serta yang kaya dengan yang miskin.
Namun yang demikian, Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang senantiasa mendampingi di tiap jerit pinta seorang hamba beriman yang meyakini dengan sepenuh jiwa dan raga ,bahawa Allah-lah yang akan terus memastikan yang terbaik diantara yang terbaik dikalangan seluruh hamba-hambanya yang beriman yang memahukan kebaikan terhadap diri mereka.
لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ
“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” (Surah Ar-Ra’d,Ayat 11).
Keberjayaan hidup kita sebenarnya bergantung sepenuhnya atas diri kita dan itu juga adalah tanggungjawab yang besar. Jangan pernah menunggu kejayaan kerana kejayaan takkan pernah bergolek sewenang-wenangnya tanpa usaha, dan jangan pernah membiarkan orang lain menangguh serta melambatkan kejayaan kita.
Kehidupan di atas dunia ini adalah sebenarnya kehidupan kita. Lantas kejayaan yang besar bergantung sepenuhnya atas diri anda dan jangan pernah dipersiakan.
Seberat dan sebesar manapun kesusahan yang kita terima sama ada di kalangan keluarga,sahabat dan masyarakat,semestinya ada butir-butir hikmah yang tersembunyi . Tatkala tuntutan hidup kian bertumbuh seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan seiring dengan ekonomi yang semakin bertimbun lantas membuatkan kehidupan menjadi hiruk-pikuk.
Adanya sebuah pesanan indah dari Tuhan yang maha penyayang yang seakan-akan membawa kita berlayar ke lautan ketabahan. Saat itulah mungkin erti kesabaran akan terasa lazatnya.
قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ وَأَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةٌ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira “ (Surah Az-Zumar ,Ayat 10)
Sekiranya sikap kesabaran itu mampu bersandar dengan pergantungan yang kuat terhadap Allah yang Maha Agung, ia sememangnya akan melahirkan sikap keberanian di setiap jiwa orang yang beriman. Dan ia juga bukan sewenang-wenangnya mudah menyerahkan diri kita terhadap penguasaan manusia lain.
Namun ia membuktikan sikap penguasaan diri yang kukuh dan utuh serta tidak mudah gentar dan luluh dengan nikmat dan kebodohan dunia semata-mata.
وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُواْ لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا اسْتَكَانُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ
“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (Surah Ali-Imran,Ayat 146)
Sifat sabar itu diibaratkan kayu api yang pastinya mampu membarakan semangat-semangat juang setiap insan. Namun kita juga masih memerlukan cucuhan api itu sendiri, agar dia benar-benar mampu merasakan kehangatan kekuatan untuk melawan serta menangkis segala fitnah yang kian mendatang.
Oleh yang demikian sebaik-baik cucuhan api kesabaran adalah dengan solat. Kerana seperti yang kita ketahui, solat dan doa diibaratkan senjata yang kukuh dan utuh buat seluruh orang mukmin.
وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;” (Surah Al-Baqarah,Ayat 45)
Kesabaran seseorang manusia itu hanya akan membuahkan satu kekecewaan apabila tidak disertakan dan dikukuhkan dengan solat dan doa itu sendiri.
Sungguh,solat-solat yang sering kita lakukan bukanlah hanya sebuah ritual semata-mata seperti mana yang dipandang oleh agama lain,ia juga bukanlah sekadar penggugur keatas kewajipan bersolat. Bahkan perbuatan solat itu sendiri telah membuktikan kita sebagai hamba yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dan jangan kita menjadi makhluk derhaka yang mengabaikan Tuhannya setelah dia Yang Maha Pemurah dan Penyayang memberikan semua nikmat-nikmat-Nya kepada kita.
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ
“Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).” (Surah Al-Maidah,Ayat 55)
Tidak dinafikan banyak ayat-ayat yang telah Allah nukilkan di dalam Al-Quran tentang ,bagaimana seorang hamba yang beriman menghadapi sebarang masalah dan bala bencana?
Sebaiknya hadapilah dengan sabar dan solat.Terdapat juga di dalam Al-Quran yang mencatatkan sejarah manusiawi akan perintah sabar dan solat, iaitu ketika mana Lukman menasihati anaknya yang telah diabadikan dalam Al-Quran;
يَابُنَيَّ أَقِمِ الصَّلاَةَ وَأمُر بِالمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ المُنكَرِ وَاصبِر عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِن عَزمِ الأُمُورِ
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Lukman,Ayat 17)
Mutiara dan batu permata kehidupan itu adalah kesabaran yang tersimpannya di dalam dasar lautan, dan penjaga agar kecantikan serta kemilaunya tidak akan pernah redup adalah dengan sabar dan solat yang menjaganya dengan kukuh dan utuh. Kedua-duanya adalah batu permata yang amat berharga buat sekalian mukmin. Seperti itulah yang mesti difahami seluruh ummat beriman akan memahami erti kesabaran yang digambarkan dengan istiqamahnya sabar dan solat itu sendiri.
Terkadang kita cuba nak faham apa yang Allah aturkan untuk kita, tiap kali juga kita persoalkan ujian yang Allah campakkan kepada kita, ada juga kita rasa kecewa apabila kita tidak dapat penuhi impian kita. Kadang-kadang kita penat dan lesu sebab kita cuba untuk berubah, tapi kita tidak dapat sokongan yang kita perlukan, kita rasa rimas dan lelah untuk jadi baik. Kadangkala kita rasa dunia tidak adil kerana seringkali kita dipersalahkan dengan perkara yang remeh.
Dan seringkali kita kesal, kita tidak tahu mengapa kita diciptakan.
Apabila perasaan sebegitu datang menerpa, kerap dan biasakanlah mulut serta lidah untuk beristighfar dan mohon keampunan,
[Ulama ada menukilkan tentang hakikat sabar]
al-Hasan al-Basri ada menyebut:
الصبر صبران: صبر عند المصيبة، وصبر عن المعصية، فمن قدَرَ على ذلك، فقد نال أفضل الصبرين.
Hakikatnya sabar itu ada dua jenis: Sabar ketika ditimpa musibah dan sabar daripada melakukan maksiat, sesiapa yang dapat kuasai dua kesabaran ini maka dia telah mencapai kesempurnaan sabar
(Dinaqal oleh Ibn al-Jauzi dalam Zamm al-Hawa)
Semua fasa dalam kehidupan ini pastinya ada penghujung dengan keindahan dan ketenangan selama mana ia diiringi dengan kesabaran. Yakni sabar dalam ketaatan kepada Allah SWT dan sabar dalam menahan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT.
Dan akhir sekali saya mahu mengajak untuk kita semua belajar dengan lebih serta bersungguh untuk memahami dan memaknai erti kesabaran, agar hari-hari esok yang mendatang mampu menempuh dan menghadapi segala rintangan dengan penuh sabar seperti sabarnya nabi-nabi terdahulu serta seluruh sahabat dalam menyampaikan risalah dakwah. Dan sabar mereka sungguh tidak dinafikan hanyalah dengan solat yang penghambaannya kepada Allah semata-mata.
قَدْ جَآءَكُم بَصَآئِرُ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَنْ أَبْصَرَ فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ عَمِىَ فَعَلَيْهَا ۚ وَمَآ أَنَا۠ عَلَيْكُم بِحَفِيظٍ
“(Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu”. (Surah Al-An’aam,Ayat 104)
Disediakan oleh,
Anwar Shahir