“Sunyinya kehidupan mereka yang masih single.”
“Wah.. usianya sudah semakin dewasa tapi mengapa ya dia belum berkahwin lagi?”
“Dah jadi single parents, tak sunyi ke tu? Boleh ke urus semuanya sendiri? Kan bagus kalau cepat-cepat cari pengganti.”
Demikianlah ucapan yang mungkin pernah terlintas di bibir masyarakat kita. Rasanya seperti ada yang kurang dalam kehidupan mereka jika sehari saja tak berkomentar perihal orang lain. Suka menjaga tepi kain orang. Sementara kesilapan diri sendiri tak pernah muhasabah..
Sememangnya, setiap orang pernah merasakan hidup bersendirian. Pulang dan balik kerja sendirian. Urusan makan dan minum juga sendirian. Bercuti sendirian dan sebagainya. Akan tetapi, benarkah hidup berseorangan itu menyeksa jiwa? Langsung tiada sisi positifnya sama sekali?
Padahal ulama ahli sunnah yang hebat seperti Imam an-Nawawi rahimahullah dan Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah juga hidup membujang hingga ke akhir hayatnya. Namun, apabila kita telusuri roda kehidupan bujang mereka, nampaknya mereka baik-baik saja. Tiada ratapan kesunyian keluar dari mulut mereka. Malahan, waktu mereka dihabiskan untuk mencari dan menimba ilmu.
Bertitik tolak dalam hal ini, tiada alasan untuk kamu yang masih bujang untuk berkeluh kesah sedangkan banyak aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi ruang kosong dalam rutin harian. Jadilah peribadi yang produktif. Padatkan jadual harian dengan perkara-perkara yang berfaedah untuk duniamu, lebih lebih lagi untuk akhiratmu.
Menjalani hidup seorang diri bukanlah perkara yang mudah. Aku juga pernah berada di posisimu, sendiri mengharungi jalan hidup yang tak menentu ini.
Namun, tak selamanya kesendirian itu membunuh. Jika diamati dengan baik, dalam kesendirian itu akan menemukan kita dengan hal-hal yang baik yang barangkali selama ini kita terlepas pandang. Seperti menghabiskan cuti bersama keluarga. Menelefon ibu dan ayah apabila berada di perantauan. Berkumpul dengan kawan-kawan. Datang ke majlis ilmu. Membaca buku, atau sekadar duduk berlama-lama di dalam rumah Allah yang sentiasa menyajikan ketenangan. Semua itu terlihat sederhana tapi sangat penting.
Jangan beranggapan bahawa dua orang yang sedang kesunyian mampu saling mengubati. Tidak demikian. Cinta bukan untuk menghindarkan kesepian, melainkan untuk mengakhiri pencarian.”
Petikan dari Buku: Untuk Hati Yang Baru. Penulis: Alfi al-Ghazi
Era kini, manusia memang hobinya suka mempamerkan kebahagiaan bersama pasangan. Di media sosial, kita dipaparkan dengan hal-hal yang sedemikian. Sekali dua, mungkin kita boleh tahan hati. Tapi bila sudah sering, lama-kelamaan timbul suatu perasaan keinginan untuk mempunyai kehidupan seperti mereka. Yakni, membina mahligai rumah tangga. Demikian fitrah manusia biasa seperti kita. Sedangkan Rasulullah s.a.w pun berkahwin, inikan pula kita? Namun, janganlah sampai perasaan itu mengakibatkan kita tidak mensyukuri keadaan kita yang sekarang. Seolah-olah hidup bujang itu adalah sebuah penderitaan.
Jadilah bujang yang limited edition sebagaimana potret kehidupan ulama yang telah disebutkan di atas tadi. Berhentilah membandingkan kehidupan kita dengan insan lain. Mungkin kita lupa bahawa dunia perkahwinan juga ada pancarobanya tersendiri. Bukan mudah untuk mengendalikan bahtera rumah tangga. Ia juga memerlukan ilmu yang tidak sedikit. Memerlukan kerjasama dua individu yang berbeza karakter dan emosi mengawal kapal tersebut agar tidak mudah tenggelam dibawa arus ombak ujian. Sudahkah anda bersedia?
Menjadi bujang yang limited edition tidaklah sesukar mana. Barangkali kita tidak mampu mengukir jejak yang hebat seperti Imam Nawawi atau Ibnu Taimiyah. Kita tak mampu seratus-peratus menjadi seperti diri mereka. Tetapi, tidak salah untuk kita mencuba. Tak mengapa jika tak sempurna, asalkan kita sudah berusaha melakukan yang terbaik.
- Jangan membuang masa dengan mengintip kebahagiaan mereka yang telah berumah tangga. Fokuslah terhadap dirimu sendiri. Senaraikan impian yang mahu dicapai, seterusnya berupaya sehabis daya untuk merealisasikannya.
- Tunaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa. Bertanya kepada ibu dan ayah tentang keperluan mereka. Kemudian, berusahalah memenuhinya. Begitu juga dengan adik-beradik dan ahli keluarga yang lain. Tanya mereka apa saja yang boleh kamu bantu untuk meringankan beban mereka.
- Berkawan dengan orang-orang yang soleh. Insha-Allah, pesan-pesan kebaikan daripada mereka akan membuat semangatmu lebih berkobar dan hidupmu menjadi lebih bererti.
- Hindari gua kemurungan, yakni terus-menerus berada dalam kamar tidur berseorangan. Merenungi nasib diri yang masih membujang. Membuang air mata dengan sia-sia. Alangkah baiknya jika bilik itu dihias dengan penuh ceria. Kemudian, digunakan untuk menulis karya, juga beribadah sebagaimana para ulama dahulu kala.
Akhirul kalam, bukan suatu masalah yang besar sekiranya kamu masih single sehingga ke hari ini. Jika jodoh itu tidak kau temukan di dunia yang fana ini, insha-Allah pendampingmu kelak menunggu di negeri abadi. Jadi, apa yang mahu dirisaukan?
Jadi bujang yang limited edition itu.. Santai-santai saja lah kawan.
Disediakan oleh: Shafiyyah Mei