Bulan Ramadan merupakan bulan pengampunan dan bulan yang digandakan pahala bagi sesiapa yang berpuasa kerana Allah SWT. Pada bulan ini, kita diperintahkan untuk memperbanyakkan amal ibadah dan merebut ganjaran sebanyak yang mungkin seperti menunaikan solat tarawih, membaca Al-Quran, berzikir, qiamullail dan sebagainya.

Dijanjikan oleh Allah SWT agar segala dosa-dosa hamba-Nya yang lalu diampunkan sekiranya kita berpuasa untuk mengharapkan reda daripada-Nya. Dalilnya,

Daripada Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Sahih Al-Bukhari no.38)

Ketika kita diperintahkan untuk berpuasa, kita bukan sekadar didik untuk mengawal nafsu makan sahaja. Tetapi terdapat hal-hal lain yang wajib dipelihara bagi memastikan puasa yang dikerjakan tidak bertukar menjadi sia-sia dan tergolong dalam kalangan orang yang rugi pada bulan Ramadan. 

Ini kerana, ada yang tidak mendapat sedikit pun pahala berpuasa melainkan hanya lapar dan dahaga kerana menikmati perkara-perkara yang tidak mendatangkan keuntungan buat dirinya. Siapakah lima jenis manusia yang termasuk dalam golongan yang rugi ketika berpuasa?

  1. Tidak menjaga nafsu dan pandangan 

Bermaksud, dia tidak berusaha menjaga pandangannya dalam melihat sesuatu yang diharamkan ketika berpuasa sehingga merugikan dia. Puasa turut menuntut kita mengawal nafsu syahwat bukan sekadar menahan minum dan makan. Bayangkan, dia telah mengurangkan pahalanya secara sengaja kerana tergiur melakukan dosa.

2. Tidak menjaga percakapan

Orang yang rugi dalam bulan Ramadan juga ialah orang yang banyak menggunakan lisannya untuk berbicara yang tidak baik terhadap manusia. Oleh sebab itu, usahanya dalam berpuasa dikira tidak ada manfaatnya sekiranya ia tidak melatihnya dalam bercakap hal-hal kebaikan.

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta dan berbuat keji, maka Allah tidak perlu (atas usahanya) dalam menahan rasa lapar dan dahaga.” (Sahih Al-Bukhari no.1903)

3. Puasa tetapi tidak solat

Ada yang berpuasa tetapi tidak mengerjakan kewajipan solat fardu. Sebahagian berpendapat bahawa puasa orang yang tidak solat tidak sah. Sebaliknya pula, ada yang berpendapat ia adalah sah selagi mana keimanannya masih kepada Allah SWT manakala, Syāikh ‘Al Uthaimin mengklasifikasikan orang seperti ini dalam fatwanya yakni,

“Orang yang meninggalkan solat, puasanya tidak sah dan tidak diterima. Kerana orang yang meninggalkan solat itu kafir dan keluar dari Islam (murtad). Berdasarkan firman Allah Ta’ala, “Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama.” (Surah At-Taubah: 11)

4. Tidak bersedekah

Ramadan adalah bulan bersedekah. Hatta, Nabi Muhammad SAW paling bersemangat dan rajin bersedekah pada bulan mulia ini. Tidak bersedekah pada bulan Ramadan bererti kita telah ketinggalan dalam mengamalkan dua perkara iaitu tidak mencontohi sunnah Baginda yang sangat dermawan berbanding bulan-bulan lainnya dan terlepas merebut pahala bersedekah.

Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka, ia akan mendapatkan seperti pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” (Hadis Riwayat Tirmidzi no.807. Sahih menurut Syaikh Al-Albani)

5. Banyak tidur

Alangkah meruginya, seandainya kita banyak tidur berbanding beribadah sedangkan pada bulan ini kita seharusnya mengumpul banyak pahala. Tidur yang baik ketika berpuasa adalah apabila tidurnya itu dilakukan untuk mengumpul tenaga supaya kita dapat melaksanakan ibadah pada waktu malam. Bukan tidur kerana bermalas-malasan.

Ibnu Rajab berkata dalam Lathaaif Al Ma’arif, “Jika makan dan minum diniatkan untuk menguatkan badan agar kuat ketika melaksanakan solat dan berpuasa, maka seperti inilah yang akan bernilai pahala. Sebagaimana pula apabila seseorang berniat dengan tidurnya di malam dan siang harinya agar kuat dalam beramal, maka tidur seperti ini bernilai ibadah.”

Demikianlah lima perkara ini merupakan hal yang wajib kita pelihara agar ibadah puasa kita diterima di sisi Allah SWT. Ramai yang tidak sedar, pahalanya berkurang asbab perbuatan yang dia lakukan itu telah merugikannya. 

Justeru itu, kita harus memastikan agar kita tidak sampai terjerumus ke dalam hal-hal yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim sepanjang berpuasa. Kepada Dia lah kita memohon keampunan, perlindungan dan kekuatan.

Rujukan:

1. https://islamqa.info/id/answers/49698/puasa-tidak-diterima-ketika-menyia-nyiakan-shalat 2. https://rumaysho.com/454-tidurnya-orang-yang-berpuasa-adalah-ibadah.html

Disediakan oleh: Syuhara Suriati


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.