Ramadan is just around the corner! Bulan yang penuh barakah bakal tiba! Bersisa beberapa hari lagi, maka individu muslim seluruh dunia masing-masing sedar dengan apa yang dirasakan dan diharapkan pada Ramadan kali ini. Ada yang bercampur-baur perasaannya, ada pula yang gembira. Kegembiraan yang terlahir itu ibarat bunga rasa yang ada pada sanubari sang kekasih yang sedang menanti cinta hatinya pulang ke pangkuan. Ada rindu dendam yang perlu dilunaskan, ada bait-bait asmara yang perlu diluahkan. 

Ramadan Sebagai Madrasah Takwa

       Amat layak untuk kita namakan Ramadan sebagai ‘madrasah takwa ‘. Ini kerana Ramadan itu umpama sebidang tanah ladang yang luas untuk kita menyemai ibadah dan ketaatan. Di dalamnya juga ada pohon rendang untuk kita berteduh dari panas terik kemaksiatan. Dengan biji benih yang digaris-pandu oleh sunnah nabawiyyah ada di tangan, maka semailah benih ibadah dan taqarrub itu semahu kita. In syā’-ALLAH hasilnya yang berganda akan kita tuai di hari akhirat kelak. 

       Di dalam al-Quran, Allah SWT juga menegaskan kepada kita bahawa kewajiban puasa di dalam bulan Ramadan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menambahkan ketakwaan kita. Firman tersebut berbunyi:

{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ }

[Surah Al-Baqarah: 183]

Maksudnya: “telah diwajibkan puasa ke atas kalian seperti mana ia telah diwajibkan ke atas mereka yang sebelum kalian agar kalian bertakwa.”

Maka dapat difahami bahawa Ramadan itu adalah peluang keemasan untuk kita tingkatkan ketakwaan dengan melaksanakan segala ibadah semampu kita, dan menjauhi segala larangan Allah SWT. Sayyidina ‘Ali RA mendefinisikan takwa di dalam ungkapan ringkas dan padat yang berbunyi:

الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والرضا بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل.

Maksudnya: “(takwa adalah) takut kepada Tuhan, beramal dengan al-Quran, reda dengan sedikitnya kurniaan, dan bersedia untuk hari perpisahan.”

Golongan Yang Tidak Sabar

       Siapakah mereka yang tidak sabar menunggu kedatangan Ramadan? Jika soalan ini diajukan kepada penulis, maka sekadar pendapat penulis dan dengan rendah diri akan dijawab bahawa KITA SEMUA adalah golongan yang tidak sabar menantikan kedatangan Ramadan. Namun begitu, ada perbezaan pada jenis ketidaksabaran kita semua. Di sini akan dijelaskan dengan terperinci siapakah golongan-golongan itu dan apakah wajah perbezaan mereka.

Golongan pertama:

Mereka ini adalah golongan yang tidak sabar menanti ketibaan Ramadan seakan-akan bulan mulia ini adalah buah hati pengarang jantung yang terpisah sejak sebelas bulan. Mereka merasakan bahawa pertemuan pada sebelas bulan yang lalu tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ada ‘syair cinta’ yang tidak dilafazkan dan ibadah yang terlepaskan. Kualiti tarawihnya kurang, keikhlasan sedekahnya menyimpang, dan tadabbur Qurannya lompang. Maka seyogianya mereka bercita-cita dan berazam untuk memperbaiki amal ketaatan mereka pada Ramadan yang bakal menyingsing.

Mereka menuju Ramadan dengan membawa bekalan yang baik (azwidah shālihah) seiring sanubari yang selamat (qulūb salīmah). Bekalan utama mereka adalah takwa. Benar! Mereka ingin meningkatkan takwa dengan berbekalkan takwa pula. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 197 yang berbunyi:

وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَیۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُونِ یَـٰۤأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

Maksudnya: “cukupkanlah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa, oleh itu bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal”

Golongan kedua:

Mereka ini boleh disebut sebagai kelompok yang pertengahan (muqtaṣid). Golongan ini adalah mereka yang tidak sabar untuk memasuki Ramadan kerana ianya dianggap bulan penyuci dosa. Sebelas bulan berlalu dengan bergelumang dosa dan kurangnya takwa, lalu dengan iman yang masih tersisa mereka berharap agar Ramadan kali ini menjadi batu loncatan untuk mereka berubah menjadi muslim yang lebih baik. Cita-cita mereka ini harus dipuji. Namun di sana masih ada kekhuatiran kalau-kalau mereka ini menjadi golongan ‘ramadaniyyun’ yang tekun beribadah hanya di dalam bulan Ramadan namun cuai dan culas di luar Ramadan. Seakan-akan Tuhan yang mereka sembah dan taat di dalam Ramadan adalah berbeza dengan di luarnya. Maha suci Allah; Tuhan yang esa. 

Golongan ketiga:

Yang terakhir adalah golongan yang tidak sabar menanti datangnya Ramadan bahkan gelisah menunggu berlalunya Ramadan. Mereka seakan risau dan berduka dengan kehadiran bulan yang agung. Mereka sedar bahawa kebiasaan-kebiasaan mungkar yang mereka lakukan akan terbatas kerana orang muslim lainnya sibuk mengejar pahala. Mereka juga tahu bahawa perut dan temolok mereka akan sukar diisi pada siang hari. Perasaan malu dan resah juga mungkin akan menyesakkan dada mereka dek kerana melihat muslimin lainnya berlumba-lumba melaksanakan hal-hal ketaatan dan berpesta ibadah.

Golongan inilah yang sedang menuju kerugian dan kecelakaan, seperti mana di dalam sebuah hadis yang bermaksud: Jibril AS berdoa: ‘celakalah orang yang menemui Ramadan lalu ianya berlalu namun orang tersebut tidak diampuni dosanya.’ Lalu Rasulullah SAW mengaminkan doa Jibril tersebut.”

Jika diberi umur yang panjang, kita semua tidak dapat mengelak dari bertemu Ramadan. Namun persoalannya apakah kita bersedia untuk menyambut kedatangannya. Kita berdoa agar Allah SWT memasukkan kita ke dalam golongan yang pertama. Semoga Allah taufikkan kita dan kurniakan kemampuan ke atas kita untuk memenuhi Ramadan kali ini dengan ketaatan yang semaksimal mungkin. Semoga kita meninggalkan Ramadan kali ini dalam keadaan dosa kita diampuni seluruhnya, sehingga kita termasuk di dalam golongan yang terlepas dari neraka (‘utaqā` ). 

Wallāhu waliyyut-taufīq.

Penulis: Nasrullah Noh


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.