Masyarakat majmuk merupakan salah satu fragmen penting yang membentuk landskap kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya, dan agama hidup sekali di atas tanah di sebuah negara yang kita akui milik bersama. Islam telah diiktiraf sebagai agama persekutuan dan pada masa yang sama agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan harmoni.

Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan konflik yang meletakkan agama sebagai isu tetap berlaku di sana-sini. Adakah sukar bagi masyarakat berbeza-beza agama untuk hidup bersama-sama dengan aman damai? Adakah Islam sebagai agama yang dianuti oleh majoriti masyarakat di Malaysia melarang umatnya berhubungan baik dengan bukan Muslim?

Baru-baru ini telah berlangsung Seminar Fekah Berurusan Dengan Non-Muslim di Kangar. Dalam seminar yang turut dihadiri oleh golongan bukan Muslim tersebut, para asatizah telah mengupas isu tersebut dari pelbagai sudut pandang yang menarik untuk difikirkan bersama.

Graphical user interface, text, website

Description automatically generated

Golongan bukan Muslim boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama ialah golongan yang menolak ajaran Islam atau lebih dikenali sebagai kafir. Kumpulan kedua ialah golongan yang menyeleweng sama ada semua atau sebahagian ajaran Islam. Kumpulan ketiga pula ialah golongan yang pernah menjadi Muslim dan kemudian keluar dari ajaran Islam. Golongan ini disebut sebagai murtad.

Allah mencipta manusia dalam pelbagai rupa dan ragam. Sama seperti mana Allah mencipta kekufuran dan kemiskinan atas sebab yang hanya diketahuiNya. Pada kekuasaan Allah itu sahajalah terletak kemampuan untuk menjadikan seluruh makhlukNya tunduk kepada Tuhan Yang Satu. Dan pada kekuasaan Allah jugalah yang menjadikan makhlukNya punya kiblat pelbagai.

Dalam Surah Hud, ayat 118 dan 119, Allah berfirman:

Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu dalam agama Allah) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu. Sesungguhnya Aku akan memenuhkan neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa).

Dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam banyak ayat berkaitan golongan bukan Muslim. Begitu juga dengan hadis daripada Nabi Muhammad SAW yang menyentuh hal yang sama. Penafsiran berkenaan dalil-dalil tersebut sudah tentu berbeza-beza bagi setiap ulama yang menekuninya. Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti pengalaman peribadi ulama sendiri yang sudah tentu membentuk cara pandang tentang sesuatu perkara. Iklim dan populasi negara juga memainkan peranan.

Ulama dari negara yang majoriti rakyatnya ialah Muslim sudah tentu akan menilai sebuah dalil dari perspektif berbeza dengan ulama dari negara yang mana Muslim membentuk komposisi minoriti di situ. Bukan itu sahaja, faktor-faktor lain seperti pendidikan ulama, gerakan, politik kepartian, perebutan kuasa, dan semangat bangsa juga memainkan peranan terhadap perbezaan penafsiran dalil berkaitan dengan bukan Muslim. Apabila peranan dan posisi kita berbeza antara satu sama lain, tentulah lain juga cara kita memandang dan berinteraksi dengan bukan Muslim. Oleh sebab itu, janganlah pernah disamakan dalil itu sendiri dengan interpretasi dalil kerana dalil yang suci datang daripada Allah dan Nabi Muhammad SAW, manakala interpretasi dalil datang daripada manusia.

Apabila kita mengamati hadis-hadis berkenaan cara Nabi Muhammad SAW berinteraksi dengan golongan bukan Muslim, kita akan dapati bahawa cara baginda sangat baik selagi mana golongan bukan Muslim tidak bersikap harbi, atau memusuhi Islam. Baginda berbuat baik atas dasar kemuliaan insan dan menghormati kemanusiaan. Kita maklum akan sebuah peristiwa yang mana Nabi Muhammad SAW bangun berdiri apabila jenazah seorang bukan Muslim dibawa di hadapan baginda.

Perarakan jenazah berlalu di hadapan mereka dan mereka berdiri. Mereka diberitahu bahawa jenazah itu ialah salah seorang daripada Ahli Zimmah. Mereka berkata, “Jenazah berlalu berhampiran di hadapan Nabi SAW lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia ialah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda, “Tidakkah ia satu jiwa atau manusia?”” (HR Muslim)

Baginda juga memberi respons terhadap cercaan yang diberikan oleh bukan Muslim dengan cara yang baik dan bukan dengan turut membalas dengan cercaan juga. Hal ini menunjukkan bahawa baginda bersifat lunak dan berhikmah dalam menerima kata-kata buruk daripada bukan Muslim. Walaupun begitu, sifat lunak baginda tidaklah membuatkan baginda perlu tunduk mengalah kepada bukan Muslim, tetapi baginda memilih tindakan yang tidak melebihi kemudaratan kata-kata buruk tersebut. Hal ini dapat dilihat apabila baginda menegur cara Aisyah membalas kata-kata kesat orang Yahudi. 

Daripada Aisyah RA, katanya: Sekumpulan orang Yahudi bertemu dengan Rasulullah SAW, lalu mereka ucapkan, “As-sam alaikum (maut ke atas kamu).” Jawab Aisyah, “As-sam ‘alaikum wal la’nah (maut dan laknat ke atas kamu).” Maka bersabda Rasulullah SAW, “Ya, Aisyah! Sesungguhnya Allah suka sikap lunak dalam segala urusan.” Kata Aisyah, “Tidakkah kau mendengar ucapan mereka?” Jawab baginda, “Ya aku mendengarnya bahkan telah aku jawab, wa ‘alaikum (ke atas kamu).” (HR Bukhari & Muslim)

Kaedah baginda selari dengan apa yang difirmankan dalam Surah An-Nisa’, ayat 86: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. 

Selain sikap dan kata-kata yang sopan, pendekatan lain juga boleh diambil kira dalam berinteraksi dan pada masa yang sama berdakwah kepada golongan bukan Muslim. Kita tidak dapat menyangkal bahawa harta juga boleh menjadi alat untuk melembutkan hati manusia. Oleh sebab itu, fatwa di Perlis menetapkan bahawa golongan bukan Muslim boleh menerima zakat bawah kategori asnaf muallafah qulubuhum, iaitu golongan yang mahu diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam. Pemberian zakat seperti ini dibuat atas kemaslahatan yang ditentukan sendiri oleh ulil amri atau pemimpin. Hal ini seiring dengan tindakan Nabi Muhammad SAW memberi zakat kepada pemimpin-pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan Bin Umayyah.

Dalam berinteraksi dengan bukan Muslim, tentulah akan ada ketika berlakunya konflik apabila peraturan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan kurang jelas. Contohnya, polemik mengenai sambutan perayaan masyarakat bukan Muslim; adakah Muslim dibenarkan untuk merayakannya bersama-sama demi menzahirkan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama? 

Dalam hal ini, kita perlu sedar bahawa perayaan ialah syiar atau kebesaran dan kemuliaan bagi sesuatu agama. Hal ini tentulah melibatkan pengiktirafan kepada kekufuran dan kesesatan yang dilakukan kerana agama selain Islam sudah pasti terpesong dalam bab ketauhidan kepada Allah Yang Esa.  Pada masa yang sama, kita perlu berhati-hati dengan apa yang dikatakan sebagai tasyabbuh, atau menyerupai syiar agama lain.

Perayaan merupakan salah satu ciri khusus pada sesebuah agama, maka meraikan perayaan mereka boleh dianggap sebagai menyerupai golongan bukan Muslim. Ada pun pada mengucapkan ucapan selamat secara umum kepada golongan bukan Muslim semasa perayaan mereka, ulama berbeza pendapat tentang hal tersebut dan ia sedikit sebanyak dipengaruhi sama ada ucapan tersebut disertakan dengan kepercayaan atau pengiktirafan terhadap agama tersebut. 

Sungguh pun demikian, perayaan merupakan salah satu sahaja daripada fragmen kehidupan sosial. Tidak wajar untuk kita membataskan ruang lingkup pembudayaan kehidupan berharmoni sesama masyarakat berbilang bangsa dan agama hanya pada musim-musim perayaan. Kehidupan bermasyarakat juga menitik beratkan muamalat yang berlaku seharian. Islam menetapkan dasar dan prinsip hak bagi sesebuah negara dan ia meliputi penjagaan maruah, kesamarataan layanan, tiada diskriminasi, hak pekerjaan, hak pemilikan harta, hak jaminan keamanan dan lain-lain lagi. Semua dasar dan prinsip ini diaplikasikan kepada setiap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Di sinilah ruang lingkup yang lebih luas untuk merealisasikan aspirasi membentuk masyarakat majmuk yang dapat hidup bersama-sama secara harmoni.

Kepercayaan peribadi tidak membolehkan kita melakukan perkara yang haram kepada individu yang berbeza kepercayaannya seperti mencerca dan menghina agama mereka. Kepercayaan peribadi tidak sewajarnya menjejaskan hubungan sesama manusia yang berbeza kepercayaan. Perbezaan kepercayaan sesama manusia itu sendiri tidak seharusnya menjejaskan kepercayaan peribadi. Akuilah perbezaan pendapat dan cara ibadah masing-masing dan janganlah bersikap memaksa.

Kita harus akui, dalam setiap kumpulan manusia berasaskan bangsa, agama, parti politik, atau gerakan, akan wujud seorang dua loose cannon, atau individu yang berfikiran dan bertindak secara melampau. Janganlah menggeneralisasi secara negatif keseluruhan kumpulan dek seorang dua ahlinya yang sedemikian rupa. Malah, apabila wujud daripada golongan Muslim sendiri yang melampau, hal ini turut menambahkan api kebencian dan kemarahan golongan bukan Muslim kepada Islam. Janganlah dilupakan bahawa dalam setiap kumpulan manusia wujud juga golongan yang lebih bersederhana, yang memakai akal yang waras untuk berfikir. Janganlah juga disebabkan kebencian terhadap sesuatu kumpulan manusia mendorong kita untuk tidak melakukan keadilan. Bersikap adillah dalam semua aspek kehidupan selagi mana tidak melibatkan perkara yang haram. 

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sesama manusia yang sengaja diciptakan oleh Allah berbeza-beza dalam segala segi. Sepanjang berinteraksi dengan golongan bukan Muslim, sudah tentulah akan wujud titik buta, atau sisi yang kita terlepas pandang dan tidak pernah sentuh untuk dibincangkan. Di sinilah terletaknya kepentingan dan keperluan terhadap dakwah dan dialog yang berterusan. Pintu dialog tidak wajar dibiar tertutup. Pada pintu dialog itulah terkumpulnya perbezaan budaya, agama, latar belakang, dan bahasa. Namun, lughatul mahabbah, atau bahasa kasih sayang akan menjadi titik pertemuan yang dapat menghubungkan kita agar boleh hidup harmoni di sebuah negara yang kita akui milik bersama.

Moga bermanfaat catatan ini buat diri yang menulis dan kalian yang membaca.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim


Leave your vote

-1 Points
Upvote Downvote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.