Rezeki Allah itu adalah sangat luas tidak bertepian. Kekayaan Allah SWT tidak sedikit pun berkurangan meskipun Allah sangat pemurah dengan sifatnya yang Maha Sempurna. Diatas kehendak Nya jualah, sesiapa sahaja yang Allah mahu muliakan, pastinya akan dimuliakan. Dengan kehendak Nya jualah, sesiapa sahaja yang Allah mahu hinakan pastinya akan dihina. Soal mulia atau hina tidaklah sama sekali berkaitan dengan harta dan kedudukan. Seseorang yang kaya-raya dan berkedudukan, bukan semestinya tanda mulia. Begitu juga sebaliknya, seseorang yang miskin tidak berkedudukan, bukan semestinya tanda Allah menghina.

Kaya atau miskin seseorang itu sama sekali tidak mewakili kemuliaan atau kehinaan pada seseorang. Hal ini kerana sejarah telah menceritakan kepada kita betapa ramai manusia yang kaya namun dihumban ke neraka dan manusia yang miskin dimasukkan ke syurga. 

Misalnya seperti kisah Qarun yang menjadi manusia terkaya pada zaman Nabi Musa AS. Setelah Allah mengurniakan kepadanya kekayaan harta yang melimpah ruah, beliau berubah menjadi sombong dan takbur dengan kekayaan. Sebagai balasannya, Allah telah membenamkan Qarun bersama hartanya ke dalam bumi.

Firman Allah SWT berfirman dalam surah al-Qasas ayat 81 yang bermaksud :

“Maka Kami benamkan dia (Qarun) bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya satu golongan pun yang akan menolongnya selain Allah, dan dia tidak termasuk orang-orang yang dapat membela diri”.

Sekiranya kekayaan itu adalah merupakan lambang kepada kemuliaan, nescaya Allah akan memuliakan Qarun yang kaya-raya. Namun Qarun yang lalai dan leka dengan hartanya yang kaya, membuatkan dirinya dihukum oleh Allah dengan sehina-hinanya. Pada masa sama, kemiskinan bukanlah suatu bentuk kehinaan oleh Allah. Kerana melihat pada sirah baginda Nabi SAW, kita akan dapat melihat beberapa keadaan baginda Nabi terpaksa mengikat perut kerana ketiadaan makanan di rumah. 

Kemiskinan juga tidak bermaksud Allah murka dan benci kepada kita. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan”.

Berdasarkan hadith ini, dapat kita fahami bahawa kebanyakan penghuni syurga adalah dikalangan mereka yang fakir dan miskin. Seandainya benar miskin bermaksud hina, masakan boleh mereka ini menjadi penghuni syurga setelah mereka dihina dengan kemiskinan. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kaya atau miskin, bukanlah memberi erti mulia atau hina. Sebetulnya, yang menjadikan diri manusia itu mulia atau hina adalah berdasarkan ketakwaannya kepada Allah SWT. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Mulia atau tidak, ia terletak kepada ketakwaan kita kepada Allah SWT. Takwa di sini membawa banyak maksud. Seperti kata Saidina Ali RA, takwa adalah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan. Kata Abdullah bin Mas’ud pula, takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari. Melihat kepada beberapa definisi ini, jelas kepada kita kaya atau miskin bukanlah ukuran atau penentu untuk mulia atau hina.

Lembaran sejarah juga telah mencatatkan beberapa manusia dikalangan sahabat Nabi yang kaya-raya dimuliakan oleh Allah SWT dengan dimasukkan ke dalam syurga bahkan menjadi antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Dalam sebuah hadith riwayat Ibn Hibban yang bermaksud :

“Abu Al-Khalifah mengkhabarkan kepada kami daripada Syu’bah daripada Al-Hurr Bin Al-Siyah daripada Abdurrahman Bin Al-Akhnas bahawa ada satu ketika beliau berada di Masjid. Maka Mughirah menyebut tentang Ali dan beliau mencela Ali. Lalu Sa’id Bin Zaid bangun dan berkata : Aku bersaksi dengan nama Rasulullah SAW bahawa aku mendengar Baginda bersabda tentang sepuluh orang yang berada di dalam syurga : Nabi berada di syurga, Abu Bakar berada di syurga , Umar berada di syurga, Uthman berada di syurga, Ali berada di syurga, Talhah Bin Ubaidullah berada di syurga, Zubair Bin Al-‘Awwam berada di syurga, Sa’ad Bin Malik berada di syurga, Abdurrahman Bin ‘Auf berada di syurga. Kalau kamu mahu akan aku namakan orang yang kesepuluh. Para sahabat bertanya siapakah dia lalu Nabi SAW diam. Para sahabat bertanya lagi : siapakah dia?. Maka Nabi SAW menjawab : Sa’id Bin Za’id.”

Salah seorang sahabat Nabi yang kaya-raya yang juga dijamin syurga oleh Allah SWT adalah Abdurrahman Bin Auf. Kekayaan beliau sama sekali tidak menjadikan dirinya hina malah disebabkan kekayaannya lah Allah meninggikan darjat kedudukannya kerana sifat murah hatinya beliau khususnya dalam usaha berdakwah. 

Kemurahan hati dengan membelanjakan kekayaan pada jalan yang benar akan dapat menjadikan diri manusia itu dikasihi dan dirahmati oleh Allah. Sebaliknya, jika terdapat orang miskin tetapi sombong dan angkuh hidupnya, golongan seperti ini dibenci oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat al-Nasai’e, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Empat golongan manusia yang dibenci Allah iaitu penjual yang suka bersumpah, orang miskin yang sombong, orang tua yang suka melacur dan pemimpin yang derhaka”.

Demikianlah makna rezeki pada kehidupan. Sesungguhnya rezeki boleh datang dan pergi. Namun yang kekal dihitung oleh Allah ialah bagaimanakah kita menguruskan rezeki itu menjadi berkat dan rahmat pada kehidupan. Rezeki yang banyak, sehingga menjadi kaya, tidak semestinya bermakna Allah sayang dan mulia. Tetapi sebagai satu ujian untuk menguji keimanan kita dalam membelanjakan rezeki yang Allah berikan. Hidup dalam kemiskinan pula tidak bermaksud Allah menghina hamba Nya. Bahkan kemiskinan juga suatu ujian kehidupan bagi menguji keimanan kita dalam bersabar, berusaha dan bertawakkal kepada Nya. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.