Penceritaan berkisar rumah tangga yang selalu menjadi tunjang dalam beberapa novel buya Hamka mengajak para pembaca berfikir secara lebih meluas, ini kerana akar permasalahan yang di hadapi dalam sesebuah keluarga akan sangat berbeza dari segi penerimaan dan jalan penyelesaiannya.
Banyak aspek yang perlu dilihat dengan sangat cermat dan mendalam oleh kedua-dua pihak, peranan suami selaku pemimpin rumah tangga bukanlah hal sepele yang boleh dilepaskan begitu saja tanpa ada tanggungjawab dan amanah yang dipersoalkan dalam setiap keputusan yang diambil dalam mengemudi bahtera perkahwinan.
Seringkali keegoan menjadi punca perpecahan dan kegagalan mengendalikan konflik yang berlaku antara dua pihak, sikap kurang matang menyebabkan salah satu pihak berasa dizalimi atau paling tidak, tidak mendapatkan hak yang selayaknya.
Jika pembaca amati dengan saksama novel Si Sabariah ini, perkara yang dapat menjadi pelajaran buat kita semua adalah berkaitan dua poin penting dalam perhubungan rumah tangga.
1. Mengurus Emosi dengan Baik
Kecelaruan emosi dan gagal dalam mengendalikannya dengan baik adalah faktor terbesar dalam keretakan sesebuah rumah tangga, di mana pihak yang dibelenggu dengan emosi dan amarah cenderung melampiaskan kemarahan tanpa berfikir panjang.
Ketidakmampuan dalam mengendalikan emosi juga mempengaruhi tindakan seseorang dalam membuat keputusan yang tepat.
2. Bijak Dalam Mengendalikan setiap Permasalahan.
Konflik antara suami isteri seharusnya ditangani dengan bijak tanpa campur tangan pihak ketiga, setiap permasalahan yang timbul perlu kepada perbincangan secara menyeluruh dan bersemuka.
Memperhalusi tindakan dengan kebijaksanaan berfikir dapat menemukan solusi tuntas tanpa menindas hak mana-mana pihak.
Sekalipun novel Si Sabariah ini sudah berusia puluhan tahun, namun kisah yang seangkatan terus berlegar dalam kehidupan masa kini, demikianlah bagaimana pena buya Hamka bukan sahaja perlu dibaca tetapi ditapis ibrah dan pengajaran yang terkandung dalam setiap penulisan beliau.
Semoga ada yang mampu dituai untuk pedoman sebelum melangkah ke alam rumah tangga yang penuh liku dan duri. Bertahan atau terkandas di tengah jalan sudah tentu bergantung sebaik mana ilmu pengetahuan yang ditimba pada awalnya dipraktikkan sehingga mampu menempuh setiap ujian yang datang tidak terduga.
Disediakan oleh: Aisyah Nerina