Kata imam al-Ghazali dalam kitab bidayatul hidayah :

“Bersabarlah engkau hari ini, mungkin engkau akan mati pada malam nanti. Dan bersabarlah pada malam ini, mungkin engkau akan mati pada besok pagi, kerana mati tidak datang pada masa yang tertentu dan dalam keadaan yang tertentu dan ataupun pada umur-umur yang tertentu. Kematian pasti akan datang. Oleh itu, bersiap-siap untuk menghadapinya adalah satu kepastian pula. Dan bersiap-siap untuk menghadapinya pula adalah lebih utama daripada bersiap-siap untuk mendapatkan kebahagiaan dunia. Bukankah engkau memang sudah mengetahui bahawa engkau tidak akan lama hidup di dunia ini. Barangkali umurmu hanya tinggal satu hari atau sekali bernafas sahaja lagi.”

Teman,


Mutakhir ini banyak berita tentang kematian yang kita terima. Khabar demi khabar yang mengejutkan diri membuatkan kita turut berasa sedih dan tumpang simpati atas kematian tersebut. Sebenarnya ada satu hal yang kita terlupa dan terleka iaitu “bilakah giliran kita pula dijemput Ilahi?” 

Tiada siapa yang tahu akan tarikhnya lalu adakah kita semua sudah bersedia menghadapinya? Adakah kita telah mempersiapkan diri dengan bekal amalan yang mencukupi? Tanyalah soalan ini kepada diri sendiri.

Saat itu pasti akan tiba jua maka bersiagalah mengharunginya mulai sekarang—Iman yang teguh perlu dibina. Kita juga tahu bahawa dunia ini hanyalah sementara sahaja dan semua yang ada di dunia ini bukan milik kita.

Kematian yang amat menghibakan merupakan kematian diri sendiri. Namun, kita tidak punya peluang untuk menangisinya. Oleh sebab itu, persiapkan bekalan sebelum ke negeri abadi.

Sesungguhnya kematian yang datang menjengah tidak akan menunggu sehingga kita berubah menjadi baik. Persiapkanlah diri sebelum dijemput Ilahi.

Mungkin kita terlupa bahawa hanya ada tiga talian hayat di barzakh yang akan membantu walaupun kita sudah tidak bernyawa lagi iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak yang soleh dan solehah. Sedang kita berseronok dengan duniawi, pada bila-bila masa sahaja Tuhan boleh menarik nyawa kita. Entah esok entah lusa, kita tidak tahu.

Sejauh manakah kita yakin bahawa ibadah solat kita akan diterima? Adakah kita pasti bahawa ibadah puasa kita diterima? Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang lain entah bagaimana nasibnya. Disebabkan kita tidak yakin dan tidak pastilah maka kita perlu mencari backup untuk bekalan yang hendak dibawa ke akhirat kelak iaitu melalui amalan-amalan sunat. Bila masuk bab nak buat ibadah ini kita perlu bijak mencari ruang dan peluang.

Antara amalan yang boleh dilakukan untuk peroleh pahala yang berpanjangan ialah sedekah. Bersedekahlah supaya sekurang-kurangnya kita mempunyai bekal untuk dipersembahkan dihadapan Allah taala kelak. Miskin atau kaya tidak menjadi masalah untuk bersedekah. Sedekah mengikut kemampuan diri, yang pentingnya adalah keikhlasan dan manfaat yang bakal diperolehi. 

Kalian boleh masukkan duit ke dalam tabung masjid untuk pembinaan masjid, wakafkan al-Quran atau apa-apa sahaja bentuk sedekah yang dapat diberi. Insya-Allah ia bakal memberi pulangan yang lumayan kepada kita dalam bentuk pahala yang berpanjangan. Cuba kalian bayangkan walaupun kita sudah meninggal dunia tetapi masih ada pahala yang mengalir masuk ke akaun pahala kita secara berterusan—tanpa henti. Alangkah beruntungnya kita. Tidak mahukah kalian menjadi jutawan akhirat sebagaimana kalian ingin menjadi jutawan semasa di dunia?


Renungkanlah.

Takkanlah kita mahu mengharapkan orang lain untuk bantu kita nanti. Mahu mengemis pahala dengan siapa di akhirat nanti? Sedangkan ibu bapa kita pun pada waktu itu masing-masing sibuk dengan diri sendiri. Semuanya bergantung pada amalan masing-masing. Mereka pun sibuk memikirkan cara untuk survive walhal saat itu semuanya telah terlambat. 

Apatah lagi jikalau mahu meminta pertolongan dengan boyfriend atau girlfriend kalian, semestinya langsung tidak berguna. Mereka tidak dapat bantu dekat mahsyar nanti walaupun di dunia ini kalian meluangkan masa dengan dengan mereka 24 jam sekalipun, percayalah mereka tidak mampu dan takkan boleh bantu kalian kelak malah mungkin akan menyumbang dosa lagi kepada kalian, dosa berdua-duaan, dosa berzina—na’uzubillahi min zalik, moga dijauhkan.

Apabila nak buat sesuatu perkara memang kena fikir panjang sebab kita nak hidup lama lagi. Sekarang kita baru berada di fasa dunia, Belum masuk pun fasa alam barzakh, mahsyar dan seterusnya. Fikirlah soal masa hadapan kita, apa amalan yang nak dipersembahkan kepada Allah nanti—semua itu kena fikir.

Kadangkala kita tidak menyedari hal-hal tersebut kerana kita tidak dapat melihat akibatnya nanti. Kita tidak pernah merasai betapa panasnya neraka itu, disebabkan itulah kita rasa seolah diri ini berada dalam zon yang selesa dekat dunia ini biarpun kita sering melakukan perkara-perkara yang Allah murka. Ya, sebabnya kita tidak nampak betapa dahsyatnya azab Allah nanti.


Kata imam Hassan al-Banna :
“Ramai orang yang sibuk memikirkan hidup yang senang, tetapi lupa memikirkan cara mati yang senang. Di dunia ini bukanlah tempat tinggal, tetapi tempat untuk meninggal.”


Muhasabah.

PROFIL PENULIS :

N. Nur Nasuha berasal dari Kelantan, Malaysia. Beliau aktif berkongsi perihal agama Islam dan Kesusasteraan Melayu di media sosial instagram dan twitter @nasuharsl . 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.