Kepimpinan merupakan aspek terpenting yang ditekankan oleh Islam. Amanah sebagai pemimpin bukanlah suatu kebanggaan mutlak kerana padanya terpundak tanggungjawab yang akan dipersoalkan kelak. Allah SWT sememangnya telah menjadikan para hamba Nya dikalangan umat manusia sebagai khalifah atau pemimpin di atas muka bumi ini. Ini merupakan ketetapan yang boleh kita telusuri berdasarkan firman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 30, yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat ; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.
Melantik pemimpin juga adalah suatu tuntutan dalam hidup beragama. Realiti pada hari ini, kita diberi pilihan melalui sistem demokrasi ini bagi kita memilih dan melantik pemimpin yang kita yakini. Hakikatnya, kita tidak dapat lari daripada keluar mengundi dan memilih pemimpin. Peri penting memilih dan melantik pemimpin ini ditegaskan oleh baginda Nabi SAW sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang daripada mereka dilantik sebagai ketua”.
Sekiranya keluar bermusafir tiga orang pun, baginda Nabi SAW menyuruh kita melantik ketua. Inikan pula untuk mengurus tadbir sesebuah negara yang melibatkan jutaan warga penduduk, lebih-lebih lagi lah penting dan utama untuk kita memilih pemimpin. Namun satu hal yang menjadi polemik dikalangan masyarakat adalah apabila calon yang bertanding untuk dijadikan pemimpin adalah terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam. Persoalannya sejauh mana pertimbangan hukum syarak berkenaan hukum melantik pemimpin di kalangan orang kafir atau orang bukan Islam.
Pertamanya, Allah SWT melalui firman Nya telah melarang dan menegah orang Islam daripada menjadikan orang kafir sebagai teman rapat kita. Hal ini sepertimana firman Nya dalam surah Ali-Imran ayat 28 yang bermaksud :
“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu)”.
Berdasarkan ayat ini, Syeikh Wahbah az-Zuhaily dalam kitabnya Tafsir al-Munir, beliau menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan sekumpulan orang Islam yang menjadikan segolongan orang Yahudi yang mempunyai niat jahat terhadap Islam, dan mereka enggan untuk menjauhi mereka meskipun telah dinasihati dan diperingatkan berkali-kali tentang tipu daya mereka. Menerusi apa yang dinyatakan oleh beliau ini, larangan dan tegahan tersebut adalah diikat dengan syarat agar umat Islam yang berteman rapat dengan orang kafir tidak sehingga tahap meredai segala kekufuran dan kesyirikan yang telah mereka lakukan.
Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi di dalam kitabnya Tafsir al-Kabir, beliau menyatakan bahawa menjadikan orang-orang kafir sebagai teman rapat atau sekutu mengandungi tiga pengertian. Pertama, meredai kekufuran mereka. Hal ini jelas dilarang dan ditegah oleh Islam. Keduanya, bergaul dengan mereka secara baik sesuai dengan realiti hari ini, hal tersebut tidaklah dilarang. Ketiganya, berpihak atau menyebelahi kepada orang kafir, menghulurkan bantuan menyokong kekafiran mereka, hal tersebut dilarang sama sekali di dalam Islam.
Bagi melihat sudut pandang hukum syarak berkenaan melantik dan memilih orang kafir sebagai pemimpin, terbahagi kepada dua pandangan. Pandangan pertama, sepertimana yang dinyatakan oleh para sarjana Islam seperti al-Qadhi ‘Iyadh, Ibnu Munzir dan Ibnu Hazm dalam kitab Syarh Sahih Muslim, Ahkam Ahl al-Zimmah dan Maratib al-Ijma’, mereka menyatakan bahawa para ulama sepakat bahawa kepimpinan tidak boleh diserahkan kepada orang kafir.
Bagi mereka, adalah haram melantik dan memilih orang kafir sebagai pemimpin. Begitu juga senada dengan mereka adalah al-Jassas, dalam kitab Ahkam al-Quran, ketika beliau menafsirkan ayat 28 surah Ali Imran, beliau menyatakan ayat ini menjadi dalil pengharaman meminta bantuan bukan Islam dan mempercayai mereka.
Pandangan kedua, seperti yang dipegang oleh Ibnu Hajar al-Haitami, dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj ma’a Hashiyah al-Syarwini, beliau menyatakan bahawa adalah harus mengangkat orang bukan Islam untuk suatu jawatan jika adanya maslahah (kebaikan) padanya, dan jika jawatan tersebut tidak mampu dipikul oleh mana-mana orang Islam, atau orang Islam mempunyai sifat khianat dan yang bukan Islam tidak mempunyai sifat demikian. Namun pihak yang mengangkatnya ke jawatan tersebut perlu menyelia dan mampu mencegahnya daripada melakukan sebarang kemudaratan terhadap orang Islam.
Senada dengan Ibnu Hajar al-Haitami ialah Imam ar-Ramli, Imam Khatib as-Syarbini dan Ibnul ‘Arabiy. Dalam kitab Nihayah al-Muhtaj, Imam ar-Ramli menyatakan bahawa harus bekerjasama dengan orang bukan Islam apabila mereka tidak berniat khianat terhadap orang Islam dan terdapat keperluan ke arahnya. Begitu juga menurut Imam Khatib as-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, beliau menyatakan adalah menjadi keharusan bagi orang Islam bekerjasama dengan orang bukan Islam jika ada keperluan.
Demikian pula Ibnul ‘Arabiy dalam kitab Ahkam al-Quran, berpandangan bahawa jika melantik dan memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin itu mempunyai faedah yang muhaqqaqah, maka tidak mengapa dengan maksud harus melantik orang bukan Islam sebagai pemimpin.
Turut memberikan pandangan dalam isu ini al-Marhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menerusi penulisannya dalam kitab Ghayr fi al-Mujtama’ al-Islami. Beliau menyatakan bahawa golongan bukan Islam mempunyai hak untuk menjawat jawatan-jawatan negara kecuali jawatan-jawatan yang lebih dominan unsur keagamaan seperti ketua negara, panglima tentera, penghakiman antara orang Islam dan pengurusan zakat.
Dalam pandangan yang lain menerusi kitabnya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, beliau menyatakan sepanjang sejarah, orang bukan Islam telah banyak memegang jawatan-jawatan penting dalam negara Islam, dan tiada seorang ulama pun yang mengingkari hal ini. Adapun ayat-ayat al Quran yang melarang berteman rapat terhadap orang bukan Islam, ia khusus kepada mereka yang mempunyai permusuhan terhadap agama Islam dan penganutnya, bukan semata-mata kerana berbeza agama.
Oleh itu, kesimpulan yang boleh kita dapati ialah Islam mengharuskan kita melantik dan memilih pemimpin di kalangan orang bukan Islam dan hal itu terikat dengan beberapa kriteria. Misalnya, kita mestilah dapat mengawal dan menyelia tindak-tanduk pemimpin tersebut agar tidak bercanggah dengan tuntutan syarak. Selain itu, kita juga harus melantik orang bukan Islam untuk menjadi pemimpin selagi mana orang tersebut tidak memusuhi dan menyerang Islam secara nyata. Melantik orang bukan Islam bukanlah bermakna kita meredai kekufurannya. Sebaliknya bermaksud kita memberikan kepercayaan kepadanya untuk membantu memimpin selagi hal itu tidak membawa kepada kesyirikan dan kekufuran. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Disediakan oleh: Faidhi Azis