Terusir merupakan sebuah novel yang menceritakan kisah seorang wanita bernama Mariah karangan HAMKA.
Terasa begitu sukar sekali menahan titisan air mata daripada jatuh apabila mengenang kembali sorotan peristiwa hitam dan kelam yang dilalui oleh Mariah.
Siapa sangka, wanita yang baik-baik, hidup bahagia bersama suami dan anak tercinta akan terhumban jauh ke relung lembah kehinaan.
Ia hanya berpunca daripada sikap dengki, cemburu dan gopoh yang telah lama bersarang dalam hati manusia. Memilih jalan nista dalam lembah kehinaan bukanlah suatu jalan mudah dan indah.
Mariah diceraikan suaminya, Azhar apabila dia mendapat tahu isterinya mempunyai hubungan dengan orang lain yang ketika itu berada di dalam kamarnya iaitu Hamzah.
Tanpa sifat tabayyun, Azhar dengan sokongan kebencian yang ditabur oleh adik dan ibunya menyebabkan beliau menghalau Mariah tanpa usul periksa.
Namun, agak menarik apa yang diungkapkan oleh Haji Abdul Halim apabila memperihalkan persoalan ‘Takdir’ yang dilalui oleh Azhar terhadap apa yang berlaku diatas kegopohannya menghalau isterinya, Mariah.
“Takdir itu melalui sebab dan akibat. Suatu takdir tidak datang dengan tiba-tiba, tetapi ada garis yang dilaluinya. Takdir yang ada sekarang ini menurut fikiranku adalah buatan manusia (yang merencana untuk memisahkan Azhar dan isterinya).”
Setelah Mariah dihalau oleh Azhar, dia tinggal dengan seorang pakcik yang menjadi kenalan ayahnya pada suatu waktu dahulu.
Pakciknya tersebut tinggal bersama dengan isterinya yang masih muda, dan dia berasa tidak senang dengan keberadaan Mariah untuk tinggal menumpang bersama mereka. Akhirnya, suatu tuduhan yang tidak jelas dilemparkan kepada Mariah untuk tujuan menghalaunya.
“Memang orang miskin mudah dituduh orang, walaupun bukan salahnya. Kerana kemiskinannya itu saja sudah cukup dijadikan orang alasan untuk menyalahkannya”
Akhirnya, Mariah pergi dan meninggalkan rumah tersebut tanpa arah tujuan yang jelas dengan hati yang penuh lara dan hiba.
Apabila habis beberapa rumah yang dinaik turun untuk mencari pekerjaan, dengan sikap yang tidak berputus asa daripada rahmat Allah, akhirnya Mariah diterima berkerja sebagai pembantu rumah.
Ini adalah lebih baik baginya untuk terus hidup dengan mengorbankan kecantikan dan maruahnya demi sesuap nasi.
Setelah 5 tahun berkerja, majikan tersebut kembali pulang ke Belanda, dan akhirnya Mariah memilih untuk berkahwin dengan Yasin salah seorang pekerja daripada majikannya.
Ini kerana Mariah berfikir bahawa dia perlu tempat perlindungan dan orang yang dapat menjaganya di tempat orang. Lebih-lebih lagi dia tidak mempunyai siapa-siapa lagi di dunia ini.
Namun, perkahwinan Mariah dengan Yasin tidak panjang. Apabila belang dan perangai Yasin yang suka mengikis dan mengambil kesempatan diatas kebaikan Mariah menjadi punca mereka berpisah.
Ini ditambah lagi dengan perangai Yasin yang selama ini hanya ingin mempergunakan Mariah untuk hawa nafsu dan keinginan dangkalnya.
Akhirnya, akibat perpisahan tersebut Mariah hidup dalam keadaan merana. Menyewa di sebuah rumah petak dan sudah 4 bulan tidak membayar sewa.
Keadaan persekitaran, keruntuhan jiwa dan dikelilingi oleh orang-orang yang tidak membantu akal fikirannya, memaksa Mariah memilih jalan hitam yang sangat dibenci oleh masyarakat, iaitu menjadi pelacur.
Ia tidak tergamak melakukan kerana ia sedar bahawa itu bukanlah dirinya yang sebenar. Namun akibat kekangan hidup yang sempit dan peristiwa hitam (dihalau oleh suami dan dipisahkan dengan anak) menjadikannya hilang pertimbangan nuraninya.
Kini, dia bukan lagi Mariah yang dulu, yang putih wajahnya, halus mulus pekertinya dan memiliki hati yang suci. Kini, dia menukar namanya kepada ‘Neng Sitti’.
Nama baharu ini adalah pengenalan kepada dunia kupu-kupu malam. Dunia para lelaki yang menggunakan wang dan kuasa untuk menundukkan wanita.
Menariknya, walaupun majoriti masyarakat menolak budaya pelacuran, namun sehingga kini budaya ini terus subur dan mekar walaupun sudah berusia ribuan tahun.
Walaupun di banteras di segala pelusuk desa dan kota, maka ia akan dibuka lagi di daerah luar atau yang ada permintaan terhadapnya.
Maka membasmi perbuatan ini seperti tiada hujung dan pangkalnya. Pelik tapi inilah realitinya.
Setelah beberapa tahun yang begitu panjang berlalu. Neng Sitti sudah tidak cantik sepersis bulan purnama, apatah lagi seindah kerdipan bintang di angkasa raya.
Kini, Sofyan membesar menjadi seorang peguam yang terkemuka. Namun, sehingga kini, Sofyan tidak mengetahui punca dan sebab ibunya meninggalkan dia sejak kecil lagi.
Sebab apabila dia menanyakan hal itu kepada ibunya, maka akan ada dua jawapan daripada sang ayah tersebut. Pertama dengan jawapan ‘Entah’, kedua dengan linangan dan esakan airmata.
Maka, fahamlah Sofyan akan pertanyaan itu amat sulit buat ayahnya.
Watak antagonis dalam cerita ini adalah Wirja yang meminati Emi (Tunang Sofyan) yang cintanya ditolak kerana Emi lebih memilih Sofyan.
Wirja melakukan pelbagai tipu daya dan nista untuk memastikan Sofyan dan Emi tidak akan dapat hidup bersama.
Benarlah, “Kerana ada bermacam-macam manusia di dunia yang kesenangannya hanya pada kesakitan orang lain”.
Kemuncak dendam Wirja adalah dengan merencanakan sesuatu dengan Flora (Seorang pelacur yang menyamar sebagai setiausaha Sofyan) untuk mengoda dan memisahkan beliau dengan Emi.
Namun semuanya tidak berhasil.
Kerana Sofyan lebih teguh dan tekal pendiriannya meskipun digoda dan dipujuk rayu oleh Flora. Akhirnya, Wirja membentak dan menuduh Flora menipunya kerana tidak berjaya mengoda Sofyan, mendengar hal itu, naluri dan sifat keibuan Mariah membara.
Peristiwa ini berlaku di rumah pelacuran, yang mana Mariah terdengar perbualan diantara Wirja dan Flora.
Mariah tewas dengan perasaan keibuannya. Beliau memberitahu kepada Wirja bahawa Sofyan itu adalah anaknya, Dan dia tidak akan sesekali membiarkan Wirja mengapa-apakan Sofyan.
Mendengar penjelasan Mariah, Wirja menggunakan kesempatan tersebut untuk menyebarkan khabar bahawa Sofyan, mempunyai ibu seorang pelacur dan memiliki keturunan yang tidak baik.
Hajat Wirja tidak kesampaian, apabila Mariah dengan segenap kekuatannya menghalang Wirja untuk menyebarkan hal tersebut.
Meskipun ditumbuk, dipijak dan ditendang, Mariah masih mampu menikam Wirja dengan pisau belati, Ini adalah tindakan drastik Mariah daripada menghalang Wirja.
Bagi Mariah, biarlah Sofyan hidup dalam keadaan bahagia, tenang dan sentosa. Mariah tidak sanggup melihat kedukaan dan nestapa menghurung kehidupan anak tersayangnya.
Mesti hancur dan remuknya perasan Sofyan apabila dia dapat tahu bahawa ibunya merupakan seorang pelacur. Akhirnya Neng Sitti atau Mariah ditangkap dan dipenjara.
Namun, takdir Allah SWT siapa yang tahu.
Mahkamah menetapkan bahawa Sofyan perlu menjadi peguam bela kepada Neng Sitti atas kes pembunuhan yang berlaku.
Disini dapat dilihat bagaimana hiba dan perinya perasaan sang ibu melihat anaknya di depan mata setelah bertahun berpisah.
Sudah ratusan purnama dia menanti untuk mencium dahi dan kening anak kesayangannya itu. Berkali-kali juga Sofyan bertanya kenapa Neng Sitti membunuh Wirja yang Sofyan kenal sebagai orang yang tidak menyukai dirinya apabila bersama Emi.
Namun, Mariah atau Neng Sitti hanya mengatakan bahawa ia dilakukan untuk melindungi orang-orang yang beliau sayangi. Ketika hari perbicaran, Sofyan meminta Ayahnya, Azhar dan Haji Abdul Halim untuk datang, kerana ini adalah kes beliau yang pertama.
Beliau memerlukan sokongan moral untuk kes ini. Pada hari kejadian, Azhar tercenggang dan terpaku. Haji Abdul Halim juga tidak dapat berkata sepatah kerana mereka melihat yang berada di kandang tertuduh adalah Mariah yang mereka kenal.
Pandangan wajah Mariah terhadap Azhar begitu kelam seperti kegelapan malam yang hitam memekat tanpa disinari rembulan. Ia adalah paksi dan manifestasi kekecewaan yang paling dalam yang dirasakan oleh Mariah terhadap bekas suaminya, Azhar.
Bilamana perbicaraan berlangsung, sesi soal jawab diantara Hakim dan Mariah pun bermula. Mariah menjelaskan dengan lebih terperinci kenapa dia boleh terjerumus ke lembah kehinaan sebelum terjadinya kes pembunuhan tersebut.
Azhar yang khusyuk mendengar menjadi tidak keruan dan dihimpit rasa serba salah yang paling berat dia rasakan. Kerana apa yang dilalui oleh Mariah sebenarnya adalah berpunca daripada tindakan gopohnya menghalau Mariah dahulu.
Terbit rasa kesal dan penderitaan yang tidak berpenghujung. Namun, dia tidak gagah untuk menyatakan kebenaran kepada Sofyan bahawa yang duduk dikandang tertuduh itu adalah ibunya yang sebenar.
Apabila sampai giliran Sofyan untuk mengulung hujah, beliau menyatakan bahawa yang perlu dijadikan pesalah sebenar dalam kejadian ini adalah suami Neng Sitti kerana dialah punca sebenar kejadian ini.
Selain ditambah dengan paradigma dan stigma masyarakat yang kurang cerdik, dan tidak berfikir panjang menjadi penyebab bahawa semua ini berlaku.
Sofyan lebih suka mengheret perbicaraan ini dengan mengenal pasti punca asal kenapa Neng Sitti ini memilih ke lembah kehinaan dan seterusnya terlibat dalam kes pembunuhan.
Azhar tersentak mendengar hujah dan tindakan Sofyan. Baginya ini adalah pukulan maut yang sakitnya tiada siapa yang tahu. Kalaulah Sofyan tahu bahawa yang dimaksudkannya adalah ayahnya. Sudah pasti itu akan meremukkan dan menghancurkan jiwanya.
Akhirnya, sebelum keputusan mahkamah keluar, Mariah berasa kurang selesa. Dia meminta untuk memeluk Sofyan dan mencium dahi dan keningnya.
Sofyan tanpa berfikir panjang bersetuju atas permintaan Mariah. Setelah memeluk erat dan melepaskan rasa kerinduan yang terhunjam kerana perpisahan panjang.
Sofyan seperti dapat merasakan sesuatu daripada pelukan dan ciuman tersebut. Akhirnya, dengan esakan tangisan kegembiraan Mariah atau Neng Sitti terjatuh selepas memeluk Sofyan. Setelah diperiksa, rupanya Mariah telah pergi menghadap Ilahi buat selamanya.
Keputusan mahkamah sebenarnya mendapati Neng Sitti dibebaskan atas tuduhan bunuh tersebut. Namun, semuanya sudah tidak bermakna lagi kerana Mariah sudah bertemu dengan Sang Pencipta. Beliau bebas daripada ‘penjara dunia’ yang menghukum atas nama keegoan, cemburu dan hasad dengki.
Sebulan selepas pemergian Mariah, Azhar sakit tenat dan beliau meminta Sofyan datang diiringi oleh Haji Halim. Lalu, Azhar menjelaskan bahawa ada satu rahasia yang dia simpan selama ini.
Wanita yang Sofyan bela semasa di mahkamah itulah ibunya, Mariah.
Azhar meminta supaya Sofyan memaafkan beliau, kerana tidak berterus terang. Azhar juga menjelaskan bahawa beliaulah punca ibunya meninggalkan mereka berdua. Malah, beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan mencari Mariah. Kerana dia sedar dia melakukan kesilapan terbesar.
Haji Halim yang berdiri disamping Sofyan mengiyakan bahawa apa yang diucapkan oleh Azhar adalah benar. Dan dia adalah saksi kepada semua itu.
Sofyan kelu dan tidak dapat berkata apa-apa. Wajarlah bila dia bertemu dengan Mariah di penjara dulu dia seperti mempunyai perasaan yang akrab bila melihatnya.
Azhar, sebelum menghembuskan nafasnya, meminta supaya Sofyan memaafkannya. Kerana tragedi yang berlaku kepada ibunya adalah atas kesalahannya.
Dengan esakan dan iringan tangisan, Sofyan memaafkan ayahnya dan barulah dia faham. Bahawa mengapa sehingga kini ayahnya terus menduda selepas pemergian ibunya dari rumah mereka ketika dia masih kecil lagi.
Oleh: Rashidin Idris