Dalam melayari kehidupan seharian, ada kalanya kita merasa seperti dihimpit rasa sunyi yang mendalam. Ujian datang dari pelbagai sudut terkadang menjunamkan kita ke lembah yang begitu jauh, rasa terasing dan cukup terpinggir.
Hati seakan meronta ingin keluar dari kemelut perasaan, kesunyian dan kekecewaan. Tetapi buntu tidak tahu apa yang ingin dilakukan. Pernah bukan kita merasa situasi seperti ini?
Sikap ingin tahu semua perkara, dan terlalu memikirkan apa yang bakal berlaku hanya akan menjadikan jiwa kita terbeban, kerana kita tak mampu mengawal apa akan berlaku di masa akan datang. Namun untuk menghindari pelbagai persepsi dalam diri begitu sulit sekali. Lebih-lebih lagi jika orang-orang sekeliling kurang memberi sokongan dan ramai yang hanya memberi pandangan negatif tanpa mempedulikan kesan buruknya.
Bagaimana mencari solusi untuk mengubati hati?
Sudah semestinya pandangan setiap orang berbeza, mungkin ada yang suka melancong untuk mencari ketenangan, ada juga yang gemar memasak, mengemas rumah dan melakukan pelbagai kerja yang disukai dengan sengaja menyibukkan diri agar tidak terlalu memikirkan masalah yang melanda.
Bagi seorang suri rumah sepenuh masa seperti saya, banyak perkara yang perlu dititikberatkan, dari segi kewangan dan juga masa, mungkin dua faktor ini yang membuat saya cenderung menjadikan membaca dan menelaah buku sebagai satu terapi hati. Tidak dinafikan minat juga sebagai pendorong utama dalam hal ini, mencipta ruang dengan buku lebih mudah tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar. Jika tidak ada perpustakaan mini di rumah, boleh ke perpustakan setempat atau kafe berhampiran yang menyediakan pelbagai bahan bacaan.
Ruang untuk membaca tidaklah semestinya bersifat ‘mewah’ dengan susunan perabot mahal dan sebagainya, cukuplah suasana yang nyaman dan tenang, yang tidak mengganggu fokus membaca.
Mengapa buku menjadi pilihan utama?
• Kerana hanya dengan menemukan sebuah buku yang tepat menjadikan fikiran dan minda kita menjadi lapang. Lapang dari terlalu memikirkan sesuatu yang bukan dalam pengetahuan dan kekuasaan kita.
• Memberi gerak fikir dari sudut yang berbeza, dalam bab ini yang ramai antara kita yang kurang menyedari, buah fikiran dari sebuah penulisan sebenarnya banyak membantu kita memperbaiki diri.
• Buku adalah penasihat berterusan, antara kelemahan kita adalah kurang dalam menerima nasihat yang datang dari orang terdekat, lebih-lebih lagi jika nasihat itu benar-benar seolah-olah ‘menampar’ diri kita. Tidak dinafikan kurang senang ditegur itu antara sifat tersembunyi dalam diri kita. Tetapi situasi ini agak berbeza dengan sebuah buku, teguran yang kita dapatkan di dalam sebuah penulisan tidaklah terlalu menyakitkan berbanding kata-kata yang diucapkan, adakah ia tidak bernada? Atau penerimaan kita yang perlu dipersoalkan? Sama-sama kita tepuk dada dan tanya kepada diri sendiri!
Dipasaran lambakan buku-buku yang boleh dijadikan peneman, namun mencari yang sesuai dengan diri kita perlu penelitian yang rapi, dalam kondisi sebegini, ulasan buku dari pembaca sangatlah diperlukan.
Platform seperti Goodreads dan Konfess Buku sangat membantu untuk mencari buku-buku yang sesuai. Temukanlah buku-buku yang boleh memberi motivasi juga manfaat kepada diri, kerana pada fasa ujian yang banyak menekan jiwa, minda haruslah diasah dengan nasihat dan kata-kata yang boleh memulihkan juga membina seolah-seolah pembacaan itu bukan sekadar memujuk hati tetapi sekaligus membuka ruang untuk belajar berdepan dan mengawal emosi dalam menghadapi apapun situasi yang pastinya menuntut ketahanan mental.
Buku adalah teman yang akrab. Buku tidak pernah meninggalkan kita kecuali apabila kita yang memilih untuk meninggalkannya terlebih dahulu, kerana itu pembacaan secara semborono hanya menghasilkan keseronokan yang bersifat sementara. Tidak hairanlah mengapa pandangan setiap orang terhadap sebuah buku berbeza, ada sesetengah orang memperoleh ‘kenikmatan’ dalam bacaan, ada juga sebahagiannya yang tidak merasai ‘kenikmatan’ tersebut walaupun membaca buku judul yang sama. Faktor ini dipengaruhi oleh pemahaman dan penghayatan seseorang adakah ia benar-benar fokus kepada intinya ataupun hanya sekadar bacaan tanpa mendalami mesej yang terkandung didalamnya. Tidak hairanlah mengapa ada sebahagian pembaca yang mampu ‘mengorek’ mesej-mesej tertentu dalam sebuah buku walaupun bergenre fiksyen.
Dalam isu pemilihan buku, ianya bergantung kepada minat dan kecenderungan seseorang. Tidak perlu berbalah atau tergesa-gesa dalam memberikan pandangan genre apa yang sesuai ataupun tidak, ianya terpulang dan hak setiap individu. Apa yang penting bacalah sesuatu yang anda rasa serasi dengan situasi yang dihadapi pada saat itu. Kerana pemilihan buku yang kurang tepat akan membuat anda lebih bercelaru. Bukan saja tidak menemukan ketenangan malah menghilangkan minat membaca.
Membacalah dalam kondisi yang tenang, tidak tergesa-gesa menghabiskan bacaan, dengan begitu hati dan minda akan menjadi lapang, mudah menerima lautan ilmu pengetahuan sekaligus merawat hati agar tetap tenang dalam perjuangan di medan kehidupan.
Disediakan oleh: Aishah Nerina