“Negara ini, tidak akan merdeka tanpa merdekanya kaum wanita.”

Suatu perasaan hormat timbul terhadap para wanita Melayu yang berjuang atas nama pembangunan anak watan melalui pelbagai cawangan bidang. Penulis, Maisarah Mohd Pauzi, dengan hemat dan cermat menghidangkan sajian kesedaran kepada wanita-wanita, khususnya berdarah Melayu, untuk menjengah peri pentingnya perjuangan wanita di Alam Melayu; Nusantara untuk diteladani, terutamanya dalam konteks Malaysia.

Sekiranya ditinjau pada Indonesia, tokoh-tokoh wanita menjadi suatu wacana umum yang dibanggakan sehinggakan tidak kurang ramainya para juang wanita yang ditampilkan dengan pelbagai peringkat gelaran. Bahkan pada suatu peringkat dijulang menjadi sebuah hari yang istimewa seperti Hari Ibu Kartini pada tanggal 21 April dan lagu khas baginya didendangkan di setiap sekolah di sana.

Melihat kepada kelompangan sejarah peranan wanita dalam wacana awam yang kurang ditekankan di Malaysia, beliau berusaha menyuluh serba-serbi pancaran cahaya bagi menelusuri secara ringkas untuk meninjau individu-individu bergelar wanita dan hasil sumbangannya dalam masyarakat.

Selain itu, laungan dan perjuangan emansipasi wanita sepertimana dicanangkan oleh golongan feminis Barat terbit daripada penindasan berbentuk patriarki yang tidak memberikan kesamarataan terhadap wanita dianggap sebagai suatu isu global, walaupun konteks perjuangannya bersifat lokal khusus di Eropah. Gema feminisme ini bertempiaran ke setiap pelosok dunia dan sahutan itu diterima tanpa memahami acuan disebalik gema ini yang mempunyai kebudayaan, pandangan alam, dan kesejarahan yang begitu sekali berbeza. Penulis, dengan mengambil konteks Malaysia atau Alam Melayu, cuba menonjolkan elemen idea kesetaraan yang terselindung di sebalik tirai korpus kesusasteraan dan catatan perjuangan “patriarki” bagi menyaksikan kedudukan, dan kesetaraan para wanita yang dikatakan “tertindas” sepertimana di Barat.

Buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu dimiliki oleh bekas Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

Tema tumpuan buku ini dikarangkan adalah perjuangan wanita khusus kepada pra dan pasca kemerdekaan Malaya. Penulis tidaklah semata meletakkan tokoh-tokoh ini sebagai mauduk perbincangannya, melainkan melibatkan himpunan karya kesusasteraan, perfileman, dan seni yang berusaha mengangkat martabat wanita pada darjatnya yang istimewa. Namun demikian, kesukaran mengakses terhadap karya-karya ini membuatkan penulis hanya memberikan maklumat asas pengenalan kepada pembaca. Perkara ini bukanlah bererti membantutkan pembaca pada setakat itu sahaja tetapi membuka laluan baharu kepada pembaca untuk direntasi bagi mengembangkan wacana sejarah dan perjuangan wanita di Malaysia.

Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian utama besertakan tajuk-tajuk kecil dengan temanya tersendiri. Bahagian-bahagian ini dapat dilihat seperti berikut:

1) Tokoh Kemerdekaan.
2) Peristiwa.
3) Novel Emansipasi Wanita Tanah Melayu.
4) Citra Wanita dalam Karya Seni dan Sastera.
5) Sejarah Silam Perempuan Nusantara.

Pada bahagian pertama, penulis membawakan pembaca dengan meneliti biografi ringkas tokoh wanita Melayu besertakan peranannya. Menarik untuk dinyatakan di sini bahawa kebanyakan daripada mereka adalah berlatarkan pendidikan agama yang memilih perjuangan bangsa berbanding leka dibuai kesenangan duniawi. Mereka seperti Ibu Zain, Tan Sri Aishah Ghani, Shamsiah Fakeh, dan Khatijah Sidek ditampilkan sebagai qudwah, walaupun sebahagian mereka begitu kontroversial, dalam perjuangan kemerdekaan melalui pelbagai wadah bertungkus-lumus memerdekakan jiwa bangsa daripada dipasung akan cengkaman kolonial, berbentuk jasmani, aqli, dan rohani.

\
Ibu Zain
Tan Sri Aishah Ghani
Shamsiah Fakeh: Aku tak menyesal lawan British, tak menyesal masuk hutan |  SOSCILI
Shamsiah Fakeh
Khatijah Sidek

Bahagian kedua membawakan kita kepada peristiwa-peristiwa besar melibatkan para wanita pada 10 tahun sebelum kemerdekaan Malaya. Usaha kelompok parti bersayap wanita dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) seperti Angkatan Wanita Sedar (AWAS) berdiri teguh dan bersuara lantang terhadap inisiatif penubuhan Malayan Union dan berusaha mengusulkan kemerdekaan rakyat. Peristiwa Darurat bermula pada tahun 1948 bagi membendung gerakaan komunisme membawakan kepada penglibatan dari berbagai pihak termasuklah para wanita dengan inisiatif Home Guard, dan Unit Polis Wanita. Peristiwa Natrah merupakan salah sebuah peristiwa penting dalam tahun 1950-an yang melibatkan isu penjagaan seorang remaja perempuan berdarah Belanda, yang kemudiannya dipaksakan kembali kepada agama Kristian, menaikkan kemarahan orang Melayu turut dibicarakan dalam buku ini.

Bahagian 3 dan 4 membicarakan tinjauan kesusasteraan, kesenian, dan perfileman yang memberikan mengangkat atau mengetengahkan isu kewanitaan. Novel berbentuk kritikan tajam terhadap sistem patriarki yang berakar kuat termasuklah terhadap perempuan itu sendiri dipamerkan dan menampakkan hujah penulis adalah seimbang. Begitu juga kesenian dan perfileman melakonkan kebitaraan wanita dalam menyelesaikan sesebuah isu bagi mengekalkan martabat kewanitaannya.

Bahagian 5, dengan merentas sempadan nasionalisme, cuba membawakan pembaca untuk menjengah rakaman sejarah melalui cerita rakyat mahupun catatan sejarah. Walau penindasan terhadap wanita wujud dalam rakaman sejarah ini, seperti legenda Mahsuri, tidak kurang juga wanita-wanita yang mendapatkan kedudukan tinggi dalam masyarakat sehingga menjadi pemerintah atau sultanah pada rakyatnya, sepertimana dilihat di Aceh dan Pattani. Bahkan juga terdapat wanita berjiwa pahlawan yang membuatkan musuhnya tidak senang tidur dan memikirkan kaedah untuk menumpaskannya yang memakan waktu yang panjang, sepertimana dilihat pada Laksamana Keumalahayati, Cut Nyak Dhien, Cut Meutia, Pocut Meurah Intan, dan Tengku Fakinah.

Buku ini, secara asasnya, amatlah berguna dan menjadi gerbang kepada mereka yang ingin mengenali tokoh dan peranan wanita-wanita perkasa berdarah Melayu. Rujukan dan gambar dilampirkan dengan gaya presentasi yang bersahaja dipaparkan supaya menjadi mesra kepada pembaca.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan dan menelaah buku ini, bolehlah didapati di Galeri Buku Jejak Tarbiah melalui pembelian secara talian atau secara langsung. Memandangkan kini wabak Covid-19 semakin menular dan perintah kawalan pergerakan mendesak kita berada di dalam rumah, maka buku ini sesuai menjadi tatapan pembaca bagi mengisi waktu lapang di rumah.

Fhadrul Irwan,
20 Mac 2020.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.