Sejak dari zaman primitif lagi, manusia mempunyai fitrah untuk bersandar harap dan memohon pertolongan kepada sesuatu unsur yang dianggap mempunyai kuasa tertentu. Kewujudan alam semesta yang padanya terdapat air, tanah, angin, api dan lain-lain menjadikan manusia lebih takjub akan adanya unsur tersebut sehingga pada awal zaman tersebut, unsur-unsur inilah yang menjadi tempat penyembahan.
Melalui perjalanan roh, manusia meraba-raba mencari hakikat Tuhan yang sebenar dengan memuja dan menyeru roh-roh orang terdahulu. Semangat roh yang hadir telah membina kepercayaan bahawa roh itu adalah Tuhan bagi manusia.
Perubahan alam semesta secara tidak langsung telah merubah cara fikir manusia yang sentiasa memikirkan hakikat Tuhan yang sebenar. Anugerah akal yang waras dan sihat, mencari Tuhan dengan menggunakan logikal dan empirikal bagi memuktamadkan hakikat Tuhan yang sebenar. Kekaguman melihat matahari, memberi sinar cahaya yang padanya juga menghasilkan tenaga baharu alam, membuatkan ramai berfikir adakah ini hakikat Tuhan. Tidak sampai seharian, tibalah masa untuk matahari beredar pergi meninggalkan bumi.
Dilihat pula bulan, yang muncul menunjukkan wajahnya yang bercahaya, menyuluh makhluk bumi menemai kesunyian malam, ditambah pula dengan kedinginan malam yang menyapa, timbul semula di benak fikiran, barangkali bulan inilah hakikat Tuhan. Tidak lama kemudian, aturan alam menentukan masa untuk bulan berlalu pergi bersilih ganti dengan kemunculan matahari. Apakah hakikat Tuhan itu silih berganti menjaga alam? Adakah Tuhan itu memerlukan aturan syif bagi memelihara alam selari dengan perubahan siang dan malam ?
Perkembangan ilmu dan cara fikir manusia telah mengubah anjakan paradigma fikir kita untuk mengaitkan kewujudan Tuhan itu dengan ilmu dan kuasa sains. Dikaji dan dicari bagaimana tertegaknya langit tidak bertiang, hamparan bumi yang luas berbentuk bulat, kesan graviti bumi yang menarik dan menolak sehinggalah kepada kajian penemuan atom, proton, neutron, elektron dan seumpamanya bagi mencari hakikat Tuhan sebenar. Ajaibnya, sistem suria yang jutaan lamanya wujud, telah beredar dan bergerak mengikut laluan orbit masing-masing dan tidak berlanggaran sesama sendiri.
Selain itu, tubuh badan manusia yang sempurna terkandung padanya beribu urat, menghasilkan sel setiap padanya dan kemudiannya beralir darah bergerak ke seluruh pelusuk badan membekalkan tenaga dan kekuatan. Pada awal kita dilahirkan, tidak punyai gigi untuk mengunyah, tidak punyai upaya untuk bertutur, namun tanpa diajar, dengan sendirinya kita mencari susu untuk dihisap sebagai bekalan tenaga. Aturan kehidupan ini penuh keajaiban yang padanya menunjukkan ada sesuatu yang berkuasa disebalik rencana ini.
Inilah empirikal kehidupan bagi mencari hakikat Tuhan yang sebenar. Ketakjuban setiap yang ada pada alam ini akan menatijahkan bahwa ada sesuatu yang berkuasa mengawal selia tiap-tiap aturan kehidupan ini dan semestinya yang mengawal semua ini bukanlah terdiri daripada apa yang ada di alam. Bukan bulan, bukan matahari, apatah lagi air, tanah dan unsur lain. Kerana semua itu adalah yang dicipta (makhluk) dan makhluk tidak dapat menciptakan makhluk yang lain kerana makhluk tidak punyai kuasa seperti yang menciptakannya. Seperti kata Herschel, seorang tokoh falsafah abad ke-18, beliau menyatakan :
“Bertambah luas daerah ilmu, bertambah jelas dan bertambah banyaklah dalil yang menunjukkan adanya hikmah tertinggi. Yang menciptakan semua yang ada dan mempunyai kekuasaan mutlak. Sarjana-sarjana ilmu bumi, punyai kekuasaan mutlak. Sarjana-sarjana ilmu bumi, ilmu ukur, ilmu alam, pada hakikatnya menyediakan hasil usaha mereka itu untuk menegakkan nilai ilmu untuk kebaktian dan meninggikan kalimah al-Khaliq (Pencipta)”.
Tokoh falsafah kuno, Socrates ketika membicarakan mengenai hakikat Tuhan, beliau ada menyatakan bahawa alam yang kita lihat dalam bentuk seperti sekarang ini bukanlah jejak dari suatu segala hal yang tiba-tiba dan kebetulan, bahkan segala segi dan bahagiannya menuju kepada suatu tujuan. Tujuan itu menuju lagi kepada tujuan yang lebih tinggi, sehingga sampai kepada hujung yang berdiri sendiri dan Esa. Demikian Socrates memuktamadkan pencarian hakikat Tuhan ini dengan menyatakan bahawa setiap segala sesuatu yang terjadi ini, ada hikmah yang perlu digali. Dan paling tinggi hikmah tersebut adalah dengan meyakini Tuhan itu wujud dan Dia lah Tuhan yang Maha Esa.
Maka pertamanya, apakah masih ada ruang untuk kita mengatakan bahawa Tuhan itu tidak wujud. Dari perjalanan menyeru dan memuja semangat roh, berpindah ke kajian sains dan teknologi, kemudian mengheret akal berfikir akan ketakjuban penciptaan diri sendiri, mustahil akal yang sihat menolak kewujudan Tuhan. Oleh itu, langkah seterusnya adalah untuk mencari siapakah Tuhan kita sebenar. Bagaimanakah rupa dan sifatnya ? Segah manakah kuasanya dan apakah Tuhan memerlukan kita atau kita yang memerlukannya ?
Pertamanya kita harus tahu bahawa Pencipta tidak akan sekali-kali sama seperti apa yang diciptakannya. Jika sebaliknya sama, maka untuk apakah pencipta mahu mencipta dirinya semula? Oleh itu, Allah SWT telah menyatakan dalam al Quran, menerusi surah as-Syura ayat 11, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dia (Allah) tidak menyerupai sesuatu pun dari makhluk Nya (baik dari satu segi mahupun semua segi), dan tidak ada sesuatu pun yang menyerupai Nya”.
Berdasarkan firman tersebut, ayat ini adalah bagi mensucikan Allah dari sebarang penyerupaan makhluk. Pada masa sama, Allah dengan tegas menyatakan diri Nya tidak ada yang boleh menyerupainya. Jelas bahawa sifat Tuhan itu tidak dapat digambarkan dengan sebarang lakaran, imaginasi khayalan atau lain-lain. Ini bermakna, patung berhala atau apa-apa bentuk ukiran atau lakaran tidak sama sekali mewakili Tuhan. Sia-sia sahaja jika menyembah patung berhala kerana padanya itu bukanlah Tuhan dan langsung tidak ada kuasa untuk memberi pertolongan.
Hakikat Tuhan yang sebenar telah dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT dalam surah al Ikhlas ayat 1-4. Firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad) : “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa (1). “Allah tempat meminta segala sesuatu (2)”. “(Allah) yang tidak mempunyai anak dan tidak pula diperanakkan (3)”. “Dan tidak ada sesuatupun yang setaraf dengan Nya (4)”.
Demikian hakikat Tuhan yakni Allah SWT. Pada sifat Tuhan itu, Dia lah satu-satunya tempat untuk kita meminta. Tidak ada wakil untuk mewakili Nya menerima permohonan doa hamba Nya. Pada Tuhan itu juga tidak terikat akan aturan hidup seperti makhluk Nya yang mempunyai anak dan keturunan, mempunyai isteri dan segala macam hal lagi. Tuhan itu tidak tertakluk dibawah aturan makhluk Nya. Tidak berhajat kepada keperluan dunia seperti makan dan minum, rehat dan tidur, dan hidup dan mati. Akhir sekali, pada ayat terakhir Allah memuktamadkan segala hakikat Tuhan itu dengan menafikan Allah sama seperti makhluk Nya yang lain.
Disediakan oleh: Faidhi Azis