Dalam sistem yang mementingkan naungan, bakat dan wibawa tidak sangat diberikan perhatian untuk mendapatkan kenaikan daripada keberpihakan politik lazimnya. Kita saksikan tawar menawar, kompromisasi prinsip hidup. Seringkali dalam perlawanan sengit berkenaan, prinsip akan tercedera, kadang terbunuh oleh faktor lain yang mengalahkan.
Justeru juga di ranah realiti banyak teknokrat serta bakat-bakat yang terbuang dari tempatnya yang layak hanya kerana tidak mengambil pendirian berpihak. Dia keras mempertahan, memberi khidmat kepada nilai sejagat sebagai alat menuju matlamat akhirnya yang dia percaya.
Kita perhatikan orang yang halus jiwa, senang dengan keindahan, dekat dengan keramahan, dia lebih senang mencari-cari titik persamaan daripada persengketaan. Jika dia diminta berjarak, dia bertindak malah lebih untuk mendekat. Bukan menjadi lalang, Cuma menjadi akar lilit yang dapat mempercantumkan dua kelompok yang dilihat bercakaran, agar menyatu tidak dipangkal, dirantingnya dapat terikat.
Peribadi begini wujud. Ia ada. Tetapi langka. Namun, sekali dia masuk ke dalam sistem yang bersifat naungan, peribadinya yang bersifat pendamai, penjambatan itu turut akan tenggelam.
Medan Karya
Tidak mudah menciptakan manusia yang berwatak bold, tegas dan thabit dengan pendirian. Ketika ia memancung putus, menikam tembus. Tidak kepadanya, adalah tidak. Walaupun ditengahi juga oleh rasa dan budi kemanusiaan, tetapi apa yang diputusinya maktub.
Ia boleh lahir daripada latihan fizikal, dilambung ujian hidup yang menyeksakan. Namun, saya ingin majukan di sini, dorongan terhebat yang boleh mendirikan kekerasan prinsip seseorang adalah – kekuatan batin.
Sepanjang rihlah hayati dalam perjalanan musafir kembali diri ini, banyaklah faedah ditaakul ketika penulis rapati ilmuwan, sarjana, rausyanfikir, intelektual, aktivis, birokrat, orang kampung, orang kebanyakan, pejuang jalanan, pemimpin pelajar dengan fikiran terbuka untuk dapat menambah nilai. Dua ciri peribadi berwibawa yang disebutkan oleh para sarjana iaitu pertama, Human transformer dan kedua, Cultural builder.
Pengubah manusia, pencipta budaya. Tidak sukar menemui manusia yang kemudian daripada hanya menurut sahaja kebiasaan sehari-hari, menambah tidak mengurang bahkan lagi, tiada nilai untuk kita dekati.
Demikian juga di sana terdapat kelompok manusia yang berbeza, mendekatinya sebagai mendapatkan siraman spiritual, semangat keras untuk memulangkan bakti di persada manusiawi. Kriterianya, mereka ada keberanian menciptakan budaya baru yang berlawanan dengan budaya perdana yang lembam, lesu diganti dengan kemajuan, kemaraan yang baik-baik dan berharga.
Bila sahaja berpeluang dekati, dengarkan dan lihat bekas kerja mereka, adakah jiwa-jiwa baru tercipta, budaya-budaya baru direkayasa atau tiada antara keduanya, malah meruntuh lagi yang sedia terbina.
Mereka – yang telah meninggalkan tauladan untuk hidup berperibadi ini tidak semestinya kita berpeluang temu mata, boleh jadi ‘temu rohani’ lewat bacaan buku-buku tulisan mereka atau mengenai mereka yang ditulis oleh pengarang dekat.
Pesan yang terkandung dalam karangan berkenaan mewakili diri maknawi mereka. Indera kita yang menyambut pendaratan maksud yang daripada tokoh berkenaan menjadi murid tidak semuka.
Kita perlukan syor begini untuk mengambil semangat mereka dalam menempuh gelora perjuangan yang keras. Membaca tauladan daripada para pendahulu yang telah menjual tinggi harga budi, sehingga tiada yang terdaya membeli melainkan mereka yang tahu benar menghargai. Emas dan kaca ada tempatnya tertentu.
Kepada para pemuda yang akan menempuh realiti di padang tempur perlawanan juang akan mula membuka mata. Ada banyak keadaan, samada oleh kesempitan atau kesempatan, matlamat baik yang menghalalkan cara yang jelek, nafsi dan gelojak nafsu, semua ini sering menggugah kekukuhan diri mempertahankan prinsip. Jika terjual, harganya murah. Kerana tidak sanggup membeli yang tinggi, banyaklah yang didapati kecundang di timpa silauan fatamorgana.
Terutama menghadapi tiga serangkai senjata yang paling banyak mematahkan asa untuk tampil hidup bermaruah ; kuasa, takhta dan harta, mungkin tidak sedikit juga yang dipanah asmara dunia – Wanita atau sorak sorai pengaruh jelata.
Buya Hamka di hujung usianya mendapat sorotan lampu limpah di seluruh Nusantara perihal fatwanya mengenai Natal. Kita tidak bicarakan letak duduk hukumnya. Kita mahu mengambil sikap yang boleh ditauladan. Makalah beliau “Bisakah Suatu Fatwa Dicabut” muncul oleh tekanan hebat daripada pemerintah agar Buya Hamka menariknya semula di tengah masyarakat. Makalah berkenaan termuat dalam rubrik “Hati ke Hati”, Majalah Panji Masyarakat, No. 324, Tahun 1981 (Boleh ikuti tulisan Dr Adian Husaini) lebih lanjut.
Hamka menyimpulkan keputusannya tidak bermudah-mudahan menarik atau mengatakan suatu yang berlawanan dengan dhamir, hati nurani, sanubari kita. Tidak mudah dijual beli, maruah dan kehormatan tidak terbanding.
Beliau lukiskan rasanya itu dalam puisi di bawah ;
Hati Sanubari
Biarkanlah saya menyebut apa yang terasa;
Kemudian tuan bebas memberi saya nama
dengan apa yang tuan sukai;
Saya adalah pemberi maaf,
dan perangai saya adalah mudah, tidak sulit.
Cuma rasa hati sanubari itu
tidaklah dapat saya menjualnya;
Katakanlah kepadaku, demi Tuhan.
Adakah rasa hati sanubari itu bisa dijual?
Kita ambil pelajaran. Dorongan kekukuhan pendirian tumbuhnya daripada batin yang kuat. Dengan bahasa mudah, kuat di dalam, yang diluar akan tegap. Justeru, tidak susah memancung dan menikam dengan putus dan tembus. Buya Hamka seorang daripada peribadi kontemporari yang wajar dirujuk oleh generasi muda bahawa ada yang lebih tinggi dan mahal daripada habuan-habuan duniawi. Itulah hati sanubari yang thabit.
Lapangan Aktivisme
Kita perhatikan sampel kes di lapangan sebagai yang ramai para aktivis muda terlibat. Beberapa jenis kelompok para pendaki perlu diketahui. Ianya akan dilukiskan di bawah. Sebelumnya, kita bicarakan dahulu bagaimana rupa watak yang bersanubari untuk menghadapi medan tempur di lapangan ini.
Tidak mudah menciptakan manusia yang berwatak bold dengan pendirian tegas. Sikap berkenaan muncul sesudah menjadi tabiat tidak sekadar bertingkah laku oleh dorongan ganjaran tertentu. Tabiat ditolak oleh kesedaran dhamir, di dalam gelap dan terang sama sahaja beroperasi, tidak terpengaruhi. Ia boleh tumbuh di ranah yang telah membudaya.
“Budaya” adalah sehimpunan lambakan kebiasaan, kelaziman-kelaziman yang dipupuk oleh suatu tempoh waktu yang lama untuk tercipta. Dibaja, disiram, sehingga tegak tumbuh berurat akar.
Para pemuda boleh menciptakan budaya berprinsip sebagai gelanggang tempat bermain. Jatuh bangun, tidak terperosok di tanah lumpur atau longkang yang menyempadani.
Di luar mereka akan menemui berbagai kumpulan dengan beberapa kepalsuan. Daripada pejuang kesiangan yang mencari makan dengan menjual harga diri. Melompat ke sana sini untuk selamat dan kenyang.
Setengahnya juga perlu dikenalpasti mereka berada di sekitar. Sejauh perjuangan mereka adalah untuk mendaki segala gelar-gelar sosial (social climbing). Membuat kerja-kerja sosial untuk mendapatkan gelar sebagai penghormatan beraksesori demi mempertingkatkan imej dan profil kendiri. Tidak kurang lebih ramai lagi berada di garis political climber. Ini sudah tentu. Pemain politik yang bekerja untuk mendapatkan faedah nama, kerusi untuk menguasai punca kuasa tidak kira untuk apa tujuan.
Tidak berhenti di dua domain – sosial dan politik sahaja, kelompok purawan ini juga merembeskan bibit mereka di loka akademik. Daerah yang dianggap harus bersih daripada kekacauan.
Fenomena di lapangan akademik tidak kurang meresahkan dengan peristiwa yang justeru terjadi berlawanan sekali. Sedangkan, tugas ahli akademik itu lebih tinggi, murni, bersih dan besar daripada hanya dilumurkan dengan sungutan demi sungutan soal naik gred, naik pangkat dan gelar. Ahli ilmu (dengan kata lain), mereka yang bergumul di lapangan pencerdasan, pencerahan, pelangsung peradaban sepatutnya memberatkan perhatian pada soal “makna”, gagasan, idea, penyelesaian krisis manusia moden, berkhidmat kepada nilai yang membawa sejahtera. Penulis kenal ramai daripada kalangan ahli akademik, mereka tidak pernah sekali-kali mengira-ngira untung dan rugi, pangkat dan gelar kebangsawanan akademik.
Tulisan, renungan aqal budi, karya mereka membawa banyak kesedaran baharu terhadap soal-soal kunci dalam hidup. Pada mereka, gelar, pangkat, gred itu bukan didaki, tetapi dituruni. Ia mendatangi, bukan dikejari. Terlebih halus dan seni, mereka bicara soal bagaimana membentuk, mencetak para graduan menjadi insan adabi, manusia budiman, manusia multidimensi yang di tangan mereka keadilan dapat diratakan, hak golongan terabai ditebus dikembalikan, ‘izzah ummat ditegakkan, karamah insan digilapkan. Mereka tidak tenggelam dengan selubung kebangsawanan yang kadang lebih berat, lebih terbeban menyesakkan daripada amanah ilmu di bahu, sehingga meruntuh kerusi keakademikan (dalam maksud keilmuwan) tempat mereka itu didudukkan.
Beberapa contoh ini kita majukan, supaya para aktivis boleh menimbangkan penciptaan budaya baru yang tidak terseret masuk. Kita boleh bekerja dengan jujur, ikhlas dan kerja keras. Segala yang tidak diminta-minta akan tanpa sengaja mendatangi. Ia tidak mudah, tetapi sudah pasti tidak mustahil. Jika kita tidak bercita-cita, tiada kesanggupan untuk mara membina.
Belajar Daripada Seneca
Bahagian ini saya pastikan bahawa dikutip dan dikembangkan daripada seorang sahabat saya yang mulia, Sdr. Luqman Tamizi yang telah membuat ulasan terhadap karya yang belum sempat saya miliki. Isinya bermakna, wajar dikongsi di sini.
Mengenali Lucius Annaeus Seneca, para pembaca akan menemui beliau sebagai seorang ahli falsafah akhlak dan nilai-nilai mulia (ethics and virtue) bermazhab Stoicisme. Disamping itu, taklifan kepada beliau juga sebagai tutor serta penasihat kanan kepada Maharaja Nero – salah seorang maharaja Rom yang paling ganas dan kejam. Karya beliau yang ditelaah dalam tulisan ini disorot daripada tulisan “Seneca’s Letters From a Stoic”.
Berkenaan falsafah dan kekuasaan, falsafah Stoic terkenal sebagai antara mazhab falsafah Greek-Roman yang sangat mengadvokasikan penglibatan aktif dalam ranah politik. Tapi Seneca pergi lebih jauh daripada itu: setelah dibuang negeri kerana didakwa terlibat dengan konspirasi percubaan membunuh Maharaja Claudius, beliau akhirnya menapak naik hingga memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan Rom pada waktu itu.
Oleh kerana cita-cita dan karier politik inilah ramai pengkaji menghukum Seneca sebagai hipokrit; bersyarah tentang fana’nya kemewahan dunia tapi dia sendiri tinggal dalam mahligai berdulang emas, tidak putus-putus dilimpahi harta kurniaan maharaja. Berfalsafah tentang nilai mulia, tapi tidak bersuara mencegah kezaliman Nero yang tergamak membunuh adik tiri, isteri dan ibunya sendiri.
Kita akan mudah terjun pada kesimpulan mungkin beliau hipokrit. Namun, apatah lagi kalua bukan kehidupan sentiasa dihadapkan pilihan sukar antara mempertahankan prinsip yang tumbuh samada entah sudah cukup dibaja, atau bongsai dengan tawaran berlawanan yang lebih menggiurkan. Keadaan congakan ini muncul demi kelangsungan hidup termasuk survival politik dan kemajuan perniagaan serta tidak lupa, dalam dunia aktivisme termasuklah tidak lepas daripada godaan.
Bercakap benar dihadapan pemerintah zalim satu hal yang terpuji; tapi jika dilibas oleh Nero, hidup pasti tidak lama. Dilema ini terus menjadi “bread and butter” atau makanan ruji kepada para pejuang daripada kalangan manusia budiman hingga ke hari ini.
Falsafah di atas kertas yang kontradik dengan pengamalan dan kehidupan sebenar beliau mengajar bahawa tidaklah hidup ini melainkan pertentangan antara cita-cita ideal melawan realiti yang sentiasa menarik kita ke dalam lembah kumuh yang sering kita teriakan melawani.
Mungkin juga surat-surat yang ditulis beliau di hujung usianya ini merupakan satu cara Seneca menzahirkan penyesalannya, seolah berpesan: “aku gagal hidup sebagai seorang yang mulia, usahlah kamu mengulanginya duhai sidang pembaca!
“The point is not how long you live, but how nobly; and often, living nobly means you cannot live long!”
Lucius Annaeus Seneca
Kisah ini dibawakan sebagai pedoman semak dan imbang kepada para aktivis yang selama ini mengidentifikasikan diri mereka sebagai ejen penyemak dan pengimbang dalam masyarakat sivik. Untuk hidup bermaruah, mehnah dan tribulasinya tidak mudah, bahkan amat payah. Satu antara dua yang bakal dicapai, samada hilang atau terbilang. Itulah sunnah para pejuang, disepit antara sanubari terdalam atau godaan-godaan, hambatan dan ancaman yang datang beriringan. Termasuklah pada penulis ini, tulisan ini pertama-tama dahulu perlu ia hadam.
Selamat berjuang.
Disediakan oleh,
Muhamad Hanapi b. Jamaludin