Ayat pertama yang diungkapkan dalam kitab Muqaddimah karangan Ibnu Khaldun pada pasal ke-47 berbunyi,
“Ketahuilah, hal pertama yang menjadi nilai sastera terletak bukan pada maknanya tapi pada lafaznya”.
Ibn Khaldun
Hal inilah yang menyebabkan sastera sering dipandang sepi oleh masyarakat umum karana ia tidak dipandang sebagai alat yang bermanfaat untuk kemajuan sebuah masyarakat melainkan hanya diambil sebagai penyedap telinga dan hiburan semata-mata.
Agak mengecewakan apabila kedudukan Al-Allamah Iqbal sebagai penyebar ‘kebenaran’ telah dilupakan atau mungkin saja cuba disembunyikan dari mata masyarakat. Beliau sebagai seorang penyair telah menggunakan puisi-puisinya sebagai alat untuk menyampaikan apa yang beliau fikirkan sebagai satu kebenaran. Justeru, di sinilah terletaknya kebesaran beliau sebagai seorang penyair yang mempunyai keberanian yang jitu mempamerkan kebenaran dalam syair-syair beliau.
Persoalannya, bagaimanakah bentuk ‘kebenaran’ yang sering diluahkan oleh Iqbal lewat karya-karyanya?
Melihatkan sosok Al-Allamah Iqbal sebagai seorang yang berpegang teguh pada agama sedari kecil hasil didikan kedua orang tuanya yang sangat menitikberatkan pendidikan agama mungkin membuatkan kita membina andaian tentang bentuk-bentuk luahan karya beliau berkisar lewat tentang ketuhanan atau perjalanan mencari Tuhan.
Sebaliknya, beliau kelihatan lebih mencari ‘manusia’ lewat puisi-puisinya yang halus dan mempesona itu. Dalam erti kata lain, beliau lebih menumpukan perhatiannya dalam membela nasib sesama manusia melalui karya sasteranya.
Penyair agung kelahiran Sialkot, Pakistan ini telah menunjukkan sikap prihatinnya dengan memberikan penghargaan terhadap manusia tentang makna harga diri lantas mejelaskan tentang takdir-takdir manusia sehingga usaha beliau dipandang sebagai penawar bagi manusia yang teraba-raba dalam kegelapan dan mencari-cari perlindungan daripada ancaman golongan manusia yang terbabas dalam kancah materialisme, imperialisme, fasisme, komunisme, dan sebagainya.
Selain itu, beliau juga menerangkan kepada masyarakat jalan yang bagaimana manusia dapat mengembangkan diri (self-transcendent) dalam erti kata lain bekerja untuk diri sendiri bagi menentukan takdir mereka sendiri. Falsafah al-Allamah Iqbal pada hakikatnya adalah mengenai falsafah ‘peribadi’.
Beliau mengatakan bahawa manusia harus mengenali personaliti mereka untuk mencapai ‘harga diri’ mereka dengan cara memperjuangkan kebebasan. Sebab itu, beliau berjuang kearah penghapusan sistem politik yang menindas dan menghambakan rakyat bawahan yang sering dilakukan oleh golongan pemimpin mahupun golongan elit hatta golongan agamawan.
Beliau mengecam hebat golongan elit serta agamawan yang sewenang-wenangnya merampas harta negara untuk kepentingan sendiri dan keluarga mereka. Hal ini membuatkan beliau melihat perhambaan politik dan ekonomi sangat menguntungkan mereka dan dalam masa yang sama menindas pihak yang lain. Tidak hairanlah beliau sering disebut-sebut sebagai pemegang fahaman sosialisme dan pengkagum idea-idea karl Marx sehingga dibenci dan diperlekeh segelintir golongan fanatik agama.
Harus kita ingat al-Allamah Iqbal adalah seorang yang objektif pemikirannya bukan konklusif. Beliau menyokong idea-idea Karl Marx tentang konflik antara kelas kerana itulah realiti hidup yang berlaku sedari dulu hingga kini dan perlu diperhalusi oleh semua pihak bagi mengelakkan dari berlakunya perkara-perkara yang tidak baik kepada sesuatu pihak seperti penindasan dan kezaliman.
Sebaliknya beliau seorang yang sangat teguh berpegang pada ilmu Tauhid, tidak pernah menyetujui idea pengasas komunisme itu tentang aspek-aspek agama dan ketuhanan kerana mereka sama sekali tidak mempercayai kewujudan Tuhan sekalipun. Dalam syairnya beliau mengungkapkan:
“Manusia masih terus menjadi mangsa daripada eksploitasi dan imperialisme, Bukankah ini suatu bencana yang sangat menyedihkanManusia harus menjadi mangsa dari manusia?”
Al-Allamah Iqbal mengambil usaha menyelamatkan kaum Muslim daripada pengaruh-pengaruh yang diterima mereka dari orang-orang yang berkuasa yang cuba mengeksploitasi golongan kelas bawahan disamping cuba menghapuskan pengaruh imperialisme.
Imperialisme yang dimaksudkan beliau di sini ialah golongan manusia yang beragama Islam tetapi mempunyai perwatakan ‘penghisap darah’ Muslim yang lain yang jauh lebih lemah daripada golongan imperialisme tersebut. Dengan itu, beliau berpendapat apabila semua ini dapat dicapai maka apa yang terkandung dalam ide Islam yang mempropagandakan tentang keadilan sosial dapat dikecapi oleh sekalian manusia.
Beliau berpendapat pemimpin mempunyai fungsi yang besar untuk memajukan taraf sosial seluruh rakyatnya tanpa menafikan atau melebihkan hak pihak-pikak tertentu demi kepentingan sendiri. Baginya, harta nagara bukanlah kepunyaan golongan elit tetapi harus dinikmati oleh seluruh rakyat di bawah pemerintahan pemimpin tersebut.
Menurutnya lagi, kependetaan atau kepadrian dalam agama Kristian atau ahli-ahli agama dalam Islam juga menjadi alat yang ampuh untuk menghambakan rakyat dengan maksud merampas sesuatu daripada hak rakyat bagi diri mereka sendiri. Mereka telah menjadikan agama sebagai alat untuk menghambakan manusia bukan untuk mentaati apa yang terkandung dalam al-Quran.
Kesan daripada keberanian beliau mendedahkan ‘kebenaran’, beliau sering diancam hebat oleh golongan yang berasa terancam dengan teguran-teguran jujur beliau lewat hasil sasteranya meski berupa bahasa yang sangat halus namun menikam bagi golongan-golongan tertentu. Namun, ternyata beliau tidak gentar walau sedikit justeru tidak hairanlah setelah 47 tahun, al-Allamah Iqbal masih tetap terpahat dalam ingatan manusia di seluruh dunia.
Kemuliaan al-Allamah Iqbal pada pesona sasteranya tidak terhad pada kesenian semata-mata tetapi dengan adanya nilai kemanusiaan yang diluahkan melalui karya sasteranya, ia dipandang sebagai sebuah ‘kebenaran’ yang harus didedahkan kepada umum demi menyelamatkan hak sesama manusia dan menjaga kemaslahatan sekalian manusia dari kezaliman golongan yang tidak mengerti erti kehidupan sebenar.
Disediakan Oleh,
Athiah Mohd Noor
Graduan IIUM Gombak