Jam 1.15 pagi, berdekatan kolej kediaman Tun Fatimah.
Kelihatan seorang penuntut kolej perempuan sedang duduk bersandar lemah di gelanggang bola keranjang kolej.
Pandangannya dilemparkan kosong ke langit. Hujung tudungnya ditiup perlahan oleh angin malam.
“Kenapa masih aku yang diuji?….. kenapa aku..” Bisik hatinya.
Matanya ditutup perlahan dan air matanya dibiarkan perlahan keluar. Matanya dibiar tertutup untuk merelakan emosi dan melepaskan sahaja semua yang disimpan. Kakinya dirapatkan ke tubuh.
Tangisan dan esakannya mula memecah kesunyian malam.
“Al, nah.” Bahunya disapa lembut sambil dihulurkan tin kopi Nescafe.
“Huh? Mel….” Alia kelihatan terkejut dengan sapaan itu.
Rupanya sahabatnya, Melisa telah lama memperhatikannya dari tingkat atas dan ambil keputusan untuk turun menemaninya.
“Nah, ambik la ni. Kau perlukan ni, aku tahu.” Melisa menghulurkan sekali lagi tin Nescafe tadi.
“Mana kau tahu….aku…” Alia mengambilnya perlahan sambil mula mengesat air matanya.
“Kita kenal sejak sekolah rendah, Al. Sejak dari mesyuarat Exco kolej tadi, aku dah nampak muka kau lain macam. Tapi kau sorok. Itulah kelebihan kau, pandai sorok. Tapi, bukan daripada aku. Jangan kau pernah berani sangka kau boleh sorok apa-apa daripada aku eh. Never.” Melisa terus memotong sambil memberikan jelingan tajam kepada sahabatnya.
Tin Nescafe dibuka dan air diteguk perlahan.
Kedua-duanya senyap. Memberi masa untuk satu sama lain.
“Apa dah berlaku. Boleh cerita dengan aku?” Tanya Melisa, perlahan.
Air mata Alia jatuh sekali lagi, kalini lebih deras. Tin Nescafe yang dibuka tadi diletakkan di tepi. Tangannya terus ditekup ke wajah.
Bahu Alia terus diraih dan Melisa terus memeluk Alia sambil berbisik perlahan, “Tak apa. Kau ada aku, kan? Kau tahu aku akan selalu berusaha untuk terus ada dengan kau dan sekarang pun aku ada dengan kau.”
Belakang tubuh Alia digosok perlahan oleh Melisa.
“Aku….aku tak pasti kenapa.. Semuanya makin mencabar…untuk aku….” Alia berkata sambil diselangi esakan kecil.
Melisa mengangguk perlahan. Dia bersedia untuk terus mendengar.
“Deadlines kejar aku dari semua arah. Isu-isu yang kita kena selesaikan pula macam tak berkesudahan, Mel…belum campur hal belajar lagi…”Alia menyambung.
“Tapi….tapi aku kena kuat depan semua orang….kan?” Alia menambah sambil esakannya terus dibiarkan perlahan.
“Aku….tak tahu apa nak buat Mel…..aku buntu.” Esakannya semakin jelas kedengaran.
Melisa terus menggosok tubuh sahabatnya secara perlahan.
“Kau nak tahu sesuatu….Al? It’s okay….” Melisa cuba memujuk.
“Semua orang kenal betapa tabahnya Cik Presiden kolej kita ni. Terutamanya, ahli-ahli jawatankuasa perwakilan kolej kita. Aku percaya semua kenal dan tahu betapa tabahnya seorang bakal doktor Nur Alia Abdul Rashid ni.” Melisa menambah perlahan.
“Aku tak rasa….aku mampu jadi pemimpin yang baik kalau…kalau..masalah aku sendiri pun aku….tak boleh..uruskan. Dengan isu-isu residen kolej kita yang masih menimbun…” Esakannya semakin perlahan.
Melisa membiarkan sahabatnya melepaskan semua. Dah tiba masanya. Mungkin sudah lama semua ini dipendam sendiri.
“Kau nak tahu sesuatu lagi tak, Al?” Melisa bertanya perlahan. Matanya diredupkan kearah sahabatnya itu.
“Apa dia….?” Alia memalingkan wajahnya ke arah sahabatnya.
“Bukan sepanjang masa kita perlu menjadi hero. Bukan setiap masa kita perlu jadi orang yang dilihat sebagai wira yang kuat dan gagah. Kita tidak perlu untuk menipu diri kita sendiri. Tak perlu, Al. Kita juga tak perlu salahkan diri kita atas perkara yang di luar kawalan kita. Kita dah usaha, kita tawakkal. Kemudian, kita serah kepada Allah untuk menilai. Allah maha adil dalam menilai dan Allah juga adil apabila meletakkan kita dalam satu-satu situasi. Okay, Al?” Terang Melisa sambil memegang dagu sahabatnya itu.
Esakan Alia semakin kuat. Air matanya semakin deras berguguran di pipinya.
“Tak apa, Al. Nangis kat bahu aku. Walaupun dalam perwakilan kolej, aku sebagai Exco kau je, tapi aku lebih lama jadi sahabat kau daripada jadi Exco kau.” Melisa mengeratkan dakapannya.
Esakan sahabatnya dibiarkan terus memecah kesunyian gelanggang bola keranjang kolej pada malam itu.
“Tak salah untuk kita menjadi jujur. Semua orang perlukannya. Terutamanya kepada diri kita sendiri.” Melisa sambung berbisik perlahan.
Angin malam terus bertiup perlahan menemani dakapan erat kedua-dua sahabat tadi.
Nukilan: Anwar Mohd. Nor