“Mas, awak pergi jumpa pakar psikiatri?”

“Aah ya akak”

“Swasta?”

“Haah, bawah majikan”.

“Oh patutlah. Mahal, tak mampu. Akak dah pergi sekali, ada depresi, tapi dah taknak pergi. Tak membantu.”

Itu antara satu perbualan yang membuatkan saya persoalkan – kenapa hidup ini tidak adil? Hanya orang kaya sahaja ke yang boleh sakit?

Hujung-hujung tahun ini ada beberapa persoalan yang membuatkan saya rasa, kenapa dalam hidup ini tak semua dapat akses kemudahan yang sama. Saya bukan ingin mempersoalkan keadilan Tuhan, cuma saya terfikir, kenapa sukar untuk orang lain juga mendapat apa yang saya dapat (walaupun kerap juga saya mencemburui apa yang orang lain ada.)

Tahun 2021 saya kira sedikit sukar kepada saya. Tahun ini tahun saya jatuh berkali-kali, tapi juga tahun yang saya mula mengenali diri saya sendiri dengan lebih dalam, terutamanya selepas beberapa kali sesi dengan pakar psikiatri. Barangkali “jatuh” saya tidak dalam. Cuma kegagalan saya mengurus emosi dan masa dalam menyeimbangkan kehidupan sebagai seorang pelajar Ijazah Sarjana dan juga pekerja membuatkan saya terlalu tertekan dengan keadaan diri saya. Tapi ia tetap “jatuh” yang dalam bagi saya. 

Kerana di usia 25 yang tak lari dari “quarter life crisis”, saya berkali-kali mempersoalkan niat kenapa saya lakukan apa yang sedang saya lakukan sekarang, dan mengapa saya memilih jalan ini (jalan menuntut ilmu sambil bekerja). Sehinggakan saya merasakan bahawa hidup ini kadang tidak ada makna.

Takdir Allah, saya terdetik untuk membeli dan membaca buku Rembulan Tenggelam Di Wajahmu, karya Tere Liye ini sebelum meninggalkan tahun 2021 yang mencabar ini. Usai membaca buku ini, saya merasakan hati saya terawat. Banyak persoalan kehidupan yang dijawab melalui buku ini. Entah berapa kali mata saya hanya mampu bergenang mengaitkan kisah-kisah dan pesan penulis dalam novelnya. 

Klik gambar untuk beli buku!

Hidup kita semua berkait antara satu sama lain.

Dalam beberapa bab pertama penulis berjaya membangkitkan emosi geram dan marah saya kepada Ray. Betapa Ray, yang pada asalnya mungkin seorang yang bersifat “melindungi”, ketepi soal perkaitan kehidupan kita dengan orang lain. Tindakannya yang mengikut “darah muda” tanpa sedar telah membuatkan orang lain terkesan dengan cara yang buruk walaupun niatnya baik. Dia lupa tentang sebab dan akibat. Dia lupa bahawa, kehidupan ini bukan hanya tentang kita seorang. Satu tindakan kita tidak hanya akan memberi kesan kepada kehidupan kita seorang, tapi juga orang lain. 

Konsep sebab dan akibat yang dilakarkan dalam watak-watak di dalam novel ini juga indah. Setiap yang kita lakukan, yang kita menjadi sebab atas sesuatu, semuanya ada akibatnya. Tetapi akibatnya tidak semestinya ditunjukkan kepada kita di depan mata. Kadangkala, ada yang Tuhan sembunyikan dari pengetahuan kita atas sebab-sebab tertentu. Cumanya dalam cerita ini, Ray “bertuah”, kerana dia dapat mengetahui banyak akibat dari perbuatan masa lampaunya melalui pengembaraan tentang masa lampaunya. 

Dan dari pendedahan-pendedahan inilah yang buat kita, pembaca belajar – benar, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Namun hikmah itu tak semestinya diperlihatkan kita di dunia ini. Dari kisah anak kecil yang memeluk beruang- Ray- Diar- Penjaga Panti – Plee – Koh Cheu—watak-watak ini membawa kita ke pengembaraan “sebab-akibat” yang sangat dekat dengan kehidupan kita.

Mengapa kehidupan ini tidak adil?

Kita ini manusi,  kita kena mengakui bahawa kapasiti kita terhad dan pengetahuan kita juga terhad. Sepertimana tak semua hikmah dan akibat dari setiap kejadian atas dunia ini diperlihatkan kepada kita di dunia, begitulah juga keadilan. Apa yang terlihat tidak adil bagi kita, seringkali cuma berasal dari neraca yang terhasil dari pengetahuan kita yang terbatas. 

Seperti Ray yang selalu persoalkan, mengapa dia perlu dibesarkan di panti itu? Mengapa orang jahat hidupnya senang tetapi orang baik itu sebaliknya? Mengapa yang kaya selalu “menang” dan yang miskin selalu “kalah”?  

Apa yang kita nampak cuma dari mata kasar kita. Mereka mungkin terlihat “menang” tapi penyesalan mereka di akhir kehidupan barangkali tinggi. Seperti Plee dan Koh Cheu, mereka sanggup membuat apa saja di akhir kehidupan mereka, asalkan, mereka dapat menebus dosa-dosa silam mereka. Meskipun orang yang terluka dek ketidakadilan yang menimpanya tidak akan sembuh, sekurangnya kita belajar, jika mereka tidak dibalas di dunia, mereka tetap akan dibalas di “sana”.

Tujuan hidup itu sederhana, tapi bermakna.

Cara Tere Liye menyampaikan pesan ini sangat sederhana, namun mengesankan. Cuma daripada watak Fitri, dalam rumah tangganya. Dari hasrat dan keinginannya yang cuma satu, iaitu diredai oleh suaminya, penulis menyampaikan bahawa jika matlamat kita jelas, kita akan berjuang untuk mendapatkannya. Kita akan sentiasa memastikan setiap tindakan kita ke arah matlamat tersebut.  

Dari kisah Fitri, kita dapat melihat pengakhiran hidupnya tertulis dengan sangat baik, meski sejarah hidupnya buruk, teramat buruk. Dan begitulah juga kita, manusia yang hidup di dunia realiti. Jika kita jelas, kehidupan ini untuk mendapatkan redaNya dan mengejar syurgaNya, apa jua kesukaran yang kita hadapi akan membuatkan hati kita percaya, bahawa semua itu ialah perjalanan, dan “kos” untuk kita sampai ke kemuncak kehidupan yang kita impikan, yakni mendiami syurga yang dijanjikan Tuhan. 

Dari watak Fitri juga kita belajar, permulaan kehidupan yang baik, tak menjanjikan pengakhiran yang juga baik, begitu juga sebaliknya. Fitri mengajar kita bahawa syurga itu tidak eksklusif, tetapi Tuhan itu Maha Baik, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dan Dia tak akan sia-siakan hambanya yang kembali. 

Ini merupakan novel pertama yang saya baca daripada penulis Tere Liye. Susunan penceritaan yang sangat indah dan watak-watak yang sangat relevan antara satu sama lain. Emosi turun naik dalam pengembaraan bacaan novel ini membuatkan saya sangat menghargai novel ini. Ia hadir pada waktu yang tepat, pada waktu saya terkapai-kapai mencari makna kehidupan.

Semoga penulis terus berkarya dan terus menitipkan pesan-pesan kehidupan kepada pembaca. Kalau dulu saya merasakan novel hanya sebuah buku yang mengisahkan cerita rekaan semata-mata, kini tanggapan saya berubah. Saya lupa, yang penulis juga manusia, dan penulis pasti juga mengalami pengalaman-pengalaman hidup seperti kita, pembaca. Dan dari kisah-kisah kehidupan kita dan orang lain juga lah kita boleh mengambil pengajaran buat bekal kehidupan yang barangkali panjang.

Disediakan oleh,

Mastura, Perak.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.