Berjalan di atas bumi Allah SWT ini benar-benar mengingatkan kita bahawa kita ini hanyalah seorang hamba yang kerdil sahaja. Hamba yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan izin dan jagaan-Nya serta diberi peluang untuk membuka mata dan minda ketika bertemu dengan umat manusia yang pelbagai.
Sejujurnya, saya juga mengimpikan untuk berkelana ke bumi Amerika. Namun, sepertinya keinginan untuk kesana tidaklah sekuat untuk perasaan untuk mengembara ke negara-negara Eropah atau Asia. Namun, usai saja membaca buku Menjejaki Firmanmu di Langit Amerika, karya Ustaz Hariri ini menghadiahkan satu-persatu maklumat baru kepada saya dalam melihat negara Amerika daripada pelbagai sudut. Lain rasanya membaca travelog yang mampu menarik kita untuk bersama-sama berjalan dan dalam masa yang sama, mengajak kita untuk mencari ibrah di sebalik pengembaraan itu.
Ada banyak persamaan rasa yang dituturkan oleh Ustaz hariri yang turut saya rasakan ketika saya mengembara. Namun, ada satu jawapan yang selama ini saya juga turut tertanya-tanya tetapi dapat dijawab oleh beliau dalam bukunya ini.
Saya sering tertanya-tanya, “Mengapa Malaysia tidak seperti negara itu? Mengapa kita tidak boleh, mereka boleh? Mengapa sistem pengangkutan di Malaysia tidak seperti negara itu?” dan banyak lagi yang saya kerap persoalkan ketika sampai di tempat orang. Walhal, negara kita sebenarnya boleh juga mencapai kemajuan seperti mana negara-negara lain tetapi mengapa sukar sekali kita mencapainya?
“Dalam sejarah pemikiran bangsa, ilmuan-ilmuan negara sudah mula bimbang. Antaranya Pendeta Zaaba merumuskan cabaran umat bangsa hari ini adalah miskin. Miskin hati dan budi, miskin intelektual dan rohani. Lebih parah lagi, sebagaimana kata Profesor Dr. Syed Hussein al-Attas tentang minda tawanan. Wujudnya golongan terpelajar dalam kalangan anak bangsa yang terkurung dalam minda penjajahan Barat. Kita mempunyai ramai anak muda terpelajar tetapi tidak meneroka pemikiran sendiri, lebih suka mendesak pihak majoriti supaya memahami dan meminta gebang mereka diterima.”
Saya benar-benar tersentak dengan penutup yang turut mengajak saya bermuhasabah. Adakah benar perjuangan yang kita perjuangkan, adakah benar kita mahu memenuhi hak asasi manusia atau sekadar memenuhi hak asasi individu untuk kepuasan diri sendiri sahaja? Apakah matlamat, prinsip dan jalan yang kita pegang untuk menjadi manusia yang bermanfaat kepada sekalian alam?
Kadang, dalam kita berjuang, bersuara menuntut hak, kita dilalaikan dengan suara hati sendiri. Kita alpa, terlalu ghairah dan membuta tuli dalam memperjuangkan isu-isu dalam masyarakat.
Maka, dalam kita berlumba-lumba untuk berjuang untuk masyarakat, hendaklah kita sentiasa beringat bahawa al-Quran itu adalah jalan, sunnah itu petunjuk jalan agar kita tidak akan tersimpang jauh dari jalan-Nya ini. Berpeganglah dengan kedua-duanya, maka kita dapat membentuk satu keluarga, komuniti yang mampu bergabung tenaga untuk sama-sama memajukan negara. Siapa yang tidak sayang akan tanah tumpahnya darah kita ini? Kitalah pemuda pemudi zaman ini, yang akan memacu negara ini pada zaman akan datang.
إِنَّ هَـٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) serta memberikan berita gembira buat orang-orang yang beriman”. [al-Isra’:9]
Disediakan oleh,
Jiha Jahari