“Be Eshme Elohim. Dengan nama Allah, Tuhan si Ghulam!”
Secara jujurnya, saya bukanlah seseorang yang fanatik terhadap bacaan fiksi dan karya Dr. Maszlee Malik ini adalah bacaan pertama. Tidak dinafikan, faktor utama yang mendorong saya untuk membeli buku ‘Be Eshme Elohim’ ini adalah kerana melihat tajuknya yang unik dan mampu menarik jiwa para pembaca untuk memilikinya dengan hanya sekali pandang. Keunikan itu menambah lagi keterujaan saya apabila saya mendapat tahu bahawa perkataan ‘Be Eshme Elohim’ itu berasal daripada bahasa Ibrani yang bermaksud ‘Dengan nama Allah’ seperti yang sering kita lafazkan di dalam bahasa Arab iaitu ‘Bismillahirahmanirahim’.
MashaAllah! Dengan hanya mengetahui tentang perihal penggunaan bahasa itu sahaja sudah cukup untuk mencelikkan hati saya bahawa tidaklah agama mentauhidkan Allah itu menggunakan bahasa Arab sahaja, tetapi pelbagai mengikut peredaran zaman dan setiap kitab yang diturunkan kepada seluruh umat zaman tersebut. Indahnya bila kita menyedari bahawa meskipun kita berbeza warna kulit, bangsa, budaya dan bahasa pertuturan, tetapi kita tetap berkongsi bahasa Al-Quran yang sama dan mempunyai Tuhan yang sama iaitu Allah SWT.
Saat saya membuka lembaran pertama naskhah ini, hati saya sudahpun tertarik dengan kata-kata yang diucapkan oleh ibu si Ghulam, Maisarah :
“Kegembiraan adalah ciptaan hati kita sendiri.
Kedukaan juga hasil ciptaan hati sendiri.
Maka, sama ada suka ataupun duka
Kita sendirilah yang menentukannya.”
Indahnya penggunaan bahasa yang digunakan penulis seawal helaian pertama, membuat hati saya membuak-buak perasaan ingin tahu yang lebih lagi tentang kisah ini. Menyelami penceritaan penulis, kisah ini adalah inspirasi daripada kisah Ashabul Ukhdud yang diceritakan di dalam surah Al-Buruj dan kisah Ghulam bersama Tukang Sihir dalam sebuah hadis. Walau bagaimanapun, penulis menjelaskan bahawa kisah yang beliau bawakan ini bukanlah olahan daripada hadis tersebut tetapi lebih kepada perantaraan untuk berbicara kepada jiwa para pembaca yang menginginkan sedikit simbahan rasa spiritual.
Naskhah yang mempunyai sebanyak 228 muka surat ini menceritakan tentang perjalanan seorang budak lelaki di Kota Aden yang mencari erti kehidupan sebenar di celah-celah kejahilan raja dan masyarakatnya. Ghulam, nama yang dititipkan buatnya. Nama yang menjadi saksi keteguhan akidah yang tidak sedikitpun terpesong dengan ancaman bahaya dan maut yang menantinya.
“Basirah ialah ketajaman hati. Mata kita melihat melalui basar (penglihatan), hati kita melihat melalui basirah. Penglihatan mata terhad dan sering menipu, tetapi penglihatan basirah tepat dan tidak bertepi, kerana dipandu dan dipimpin oleh Tuhan.”
Hasil garapan yang baik daripada penulis menghidupkan tiap-tiap watak terutama watak Sang Rahib di pertengahan cerita. Umpama saya turut berada bersama-sama Ghulam mendengar dan menghirup segala hikmah dan sisipan yang disampaikan oleh beliau. Berpaksikan pada ‘basirah’ sebagai penuntun hati untuk sentiasa memilih jalan yang benar, Ghulam akhirnya memilih untuk bersama-sama Sang Rahib mempertahankan agama Allah dan berjuang menentang Shah yang zalim lagi jahil.
Perjuangan Ghulam dalam menyebarkan ajaran agama Hanif tidaklah semudah menyampaikan cerita-cerita hikayat seperti yang sering dilakukan Ma’di. Perjuangannya kali ini menuntut pengorbanan besar persis nabi-nabi dan rasul-rasul zaman sebelumnya yang mendapat tentangan hebat daripada masyarakat dan pemerintah sehingga ada yang dibunuh dengan begitu kejam sekali. Namun, segala ancaman dan mehnah yang bakal dilaluinya tidak sedikitpun menggerunkan Ghulam asbab jiwanya telahpun dipandu oleh ‘basirah’nya yang tidak berpenghujung.
“Apabila Tuhan yang kita letakkan di dalam hati, maka basirah akan memandu kehidupan kita. Pada waktu itu, dunia tiada lagi ertinya, hanya sebagai tempat tumpangan dan laluan sementara. Akhirat yang lebih dikejarkan kerana ia kekal abadi.”
Meskipun novel ini bukanlah olahan daripada hadis sahih berkaitan Ghulam, tetapi pengakhirannya juga tidaklah seindah cerita-cerita dongeng sang puteri yang sering kita baca. Pengakhiran novel ini amat menginsafkan jiwa para pembaca dan mampu membuat air mata saya jatuh berguguran dan termenung panjang memikirkan betapa besarnya keteguhan akidah yang dimiliki Ghulam dan para pengikutnya yang beriman.
Saya tersentuh pada satu babak seorang ibu yang kasihnya terhadap bayi yang digendongnya. Saat ibu tersebut berada di bibir parit yang menjulang apinya, dia menjadi ragu-ragu untuk terjun kerana memikirkan bayinya. Tetapi, Allah berbicara dengannya melalui perantaraan bayi tersebut bahawa syurga sedang menunggu mereka! Saat basirah menjadi penuntun hati, tiada apa yang dapat menggoyahkan ketauhidan mereka terhadap Allah SWT.
Begitulah manusia jika hanya berpusatkan basar sebagai penglihatan dalam mencari kebenaran, maka kehancuranlah yang akan ditemuinya. Hal ini kerana basar sering menipu dengan keindahan dan nikmat dunia yang sementara. Kemanisan Iman hanya mampu dikecapi seseorang mukmin yang benar-benar yakin di dalam hatinya bahawa hanya Allah yang layak disembah dan dianuti sepenuh jiwa dan raga.
Akhirul kalam, buku ‘Be Eshme Elohim’ amat wajar dimiliki dan diselami penceritaannya agar kita dapat sama-sama mengambil segala iktibar yang dihamparkan oleh penulis buat pembacanya. Bacalah naskhah ini dengan mata hati dan dengan nama Tuhan yang menciptakan. Saya akhiri pengulasan ini dengan sedikit lagi sisipan hikmah daripada Rahib Samuel ben Rauben :
“Tanpa mengembalikan diri kita kepada asal, iaitu kepada Yang Maha Pencipta, kita hanyalah sebujur jasad yang dikagumi kerana sifat-sifatnya, tetapi tidak mempunyai erti lebih daripada itu.”
Disediakan oleh,
Syuhadah Zakiah