Selain itu, isu hifz al- din yang turut dibawa oleh menteri agama dengan fahaman menjaga kewujudan semua agama sedikit sebanyak mengandungi unsur pluralisme agama yang selama ini menjadi sebahagian dari tunggak perjuangan liberalisme. Walau bagaimanapun, Mujahid memberi kefahaman bahawa menjaga kewujudan semua agama bukan beerti membenarkan semua agama di atas kebenaran yang sama. Namun begitu, makruf di dalam kalangan ulama’ jumhur bahawa konsep hifz al-din adalah sebahagian daripada tujuan pensyariatan ajaran-ajaran Islam. Lafaz al-din di dalam bahasa arab dengan lafaz ma’rifah (kata nama khas) memberi penjelasan bahawa yang dimaksudkan dengannya adalah menjaga agama Islam bukan selainnya. Andainya terdapat pandangan yang marjuh menjelaskan bahawa al-din itu membawa maksud semua agama, lalu mengapa kita meninggalkan pandangan yang rajih (jelas) serta berdalilkan dengan dalil-dalil yang marjuh (lemah)? Jika dalil-dalil agama yang diimplementasikan di negara kita adalah dalil-dalil yang lemah semata, maka Islam di Malaysia akan menjadi Islam yang lemah dari sudut penghujahannya sebagai agama kebenaran.
Di samping itu, jika yang dimaksudkan dengan hifz al-din adalah menjaga kewujudan semua agama, bayangkan sekiranya terjadi situasi di mana seluruh penduduk di sebuah perkampungan sudah beragama Islam dan hanya tinggal seorang sahaja lagi penduduk yang beragama Kristian, misalnya. Maka adakah kita akan menghalang orang Kristian ini untuk memeluk agama Islam dengan alasan untuk hifz al-din iaitu menjaga kewujudan semua agama? Sudah tentu ini adalah suatu hal yang tidak dapat diterima oleh akal yang sihat.
Begitu juga ketika kita membicarakan soal mazhab, begitu banyak sekali mazhab fiqh yang terdapat di dalam Islam. Namun, hanya empat mazhab yang dipraktikkan di seluruh dunia kerana ketepatan silsilah yang sampai kepada kita menerusi metod pendalilan dan penghujahan yang jelas. Bayangkan sekiranya umat Islam dunia mengenepikan empat mazhab yang utama ini dan mencari-cari mazhab yang tidak jelas pewarisannya, sudah tentulah akan berlaku huru-hara di dunia kerana masing-masing berpegang pada pandangan-pandangan yang tidak diketahui kesahihan hujahnya.
Maka di sinilah peranan ulama Islam beratus tahun lamanya yang telah menumpukan segala usahanya, menggembeleng semua keringat dan upaya agar Islam yang sampai kepada umat hari ini adalah Islam yang disegani dan teguh untuk dijadikan pegangan sepanjang kehidupan.
Oleh itu, desakan-desakan masyhur pihak Islam liberal masa kini yang ingin menuntut pentafsiran al-Quran terhadap semua pentafsiran sama ada ayat yang berbentuk muhkamat, jelas hukumnya dan ayat-ayat berbentuk mutasyabihat yang sememangnya memerlukan kepada ijtihad untuk memahaminya adalah tidak wajar kerana usaha penafsiran yang dilakukan oleh mereka tidak dipengaruhi oleh faktor sosiobudaya dan politik sepertimana yang diwar-warkan. Hal ini kerana untuk berijtihad dan menjadi seorang mujtahid di dalam Islam bukanlah satu kerja warisan yang boleh dilakukan oleh siapa pun bahkan mereka melalui pembelajaran dari pelbagai jenis bidang ilmu terutamanya ilmu-ilmu alat seperti ilmu nahwu dan sorf, balaghah, usul fiqh, ulum al-Quran, dan lain-lain sebelum melayakkan mereka mentafsir ayat-ayat suci al-Quran.
Para ulama’ yang ditaklifkan dengan tugasan ini adalah mereka yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw sebagai pewaris para nabi dari sudut ilmu, akhlak, dan kerohaniannya. Para nabi itu sifatnya tidak bercakap bersandarkan kepada nafsu semata. Firman Allah swt: Dan tidaklah dia (Muhammad) mengucapkan sesuatu menurut hawa (nafsunya). Melainkan dengan apa yang telah diwahyukan kepadanya. Justeru, mustahil para ulama’ yang mewarisi legasi keilmuan dan kerohanian para Nabi ini juga menuturkan sesuatu mengikut kehendak dan pemikiran mereka semata tanpa berpandukan kepada petunjuk Rasulullah saw dan para nabi yang lainnya.
Kesimpulan
Ideologi liberalisme atau Islam Liberal yang semakin menyubur di negara kita merupakan satu doktrin yang sangat mengancam akidah umat Islam hari ini. Pengaruh yang kuat daripada kemodenan barat telah mengakibatkan umat Islam kehilangan jati mereka sendiri bahkan sanggup menjual agama demi kepentingan dunia. Mereka bertuhankan humanisme yang tidak akan pernah berasa puas dengan apa yang telah dimiliki. Hamza Yusuf di dalam bukunya The Purification of Heart menyatakan bahawa segala permasalahan yang terjadi di dunia yang nyata adalah berpunca daripada kerosakan dari dalam diri manusia. Justeru, pembaikan adalah bermula daripada dalam diri dan terzahir kepada peribadi. Ancaman kini bukan sahaja datang daripada mereka yang bukan beragama Islam bahkan daripada mereka yang beragama Islam namun tidak lagi mahu terikat dengan agama yang dianggap kolot, konservatif dan tidak selari dengan dunia modenisasi. Islam yang sepatutnya menjadi panduan dalam mengatur kehidupan kini cuba diubah sesuaikan dengan kehidupan manusia sedangkan kehendak manusia adalah suatu hal yang berubah-ubah dan tidak akan pernah selesai. Oleh itu, betapa besarnya peranan para agamawan hari ini dalam mengenal pasti ideologi-ideologi baru yang membawa nama Islam namun hakikatnya mengahancurkan agama sendiri. Satu pendekatan yang serius perlu diambil oleh pihak berwajib dalam agama khususnya menteri agama negara yang menjadi tunggak dalam mencorak realiti Islam di Malaysia, Kita mengimpikan Malaysia yang berwajah baru, namun bukan Islam yang berwajahkan liberalisasi dan penunggang agama.
Oleh: Hawa Dalila binti Md Fazil