Pada tanggal 31 Mei 2021 sehari sebelum kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan kali ke 3.0 saya dan bakal isteri saya ketika itu telah menerima pelawaan daripada pihak kadi Pejabat Nikah JAWI sama ada untuk menikah atau tidak. Saya dan pasangan dengan suasana yang agak hiruk pikuknya berbincang dengan dua buah keluarga lalu memilih untuk terus bernikah kerana sebelum ini banyak kali tarikh pernikahan kami ditunda dan terpaksa ditukar.
Kami berdua fikir bahawa langkah kerajaan dalam fasa pandemik kali ini kemungkinan agak lama sebab kes hampir mencecah 10 ribu kes sehari, kalau dahulu masa awal-awal pun baru seratus lebih pun hampir tiga bulan kita dikurung. Maka kami pun melaksanakan pernikahan pada tarikh tersebut bagi meredakan kekusutan kemaskini dokumen dan sebagainya.
Saya bergerak seorang diri dari Johor Bahru dimana tempat saya duduk semasa bujang dan bekerja. Ibu saya dan ahli keluarga lain tak dapat sertai kerana masa begitu singkat dan agak kelam kabut ketika itu. Saya hanya ditemani seorang kawan bekas rakan sekerja bagi membeli sebuah cincin segera dan perhiasan hantaran seringkas mungkin.
Sampai di Kuala Lumpur, saya bermalam di sebuah hotel yang berdekatan dengan rumah mentua saya. Lalu keesokan harinya termeterailah dua ikatan cinta dengan sekali lafaz “aku terima nikah..”
Saya sempat meluangkan masa sejam dua begitu untuk sesi bergambar, bersidang di Google Meet bersama keluarga yang jauh untuk menyaksikan detik penting antara kami berdua iaitu majlis akad nikah. Juru nikah pun waktu itu cuba meringkaskan sebaik mungkin kerana hendak memberi laluan dengan mudah kerana nak menjaga SOP majlis dan pasangan lainnya.
Walaupun cara pernikahan kami agak pantas, laju dan sekelip mata. Saya terfikir juga, bagaimana saya mampu berdepan untuk sarung pakaian pengantin seorang diri, ambilkan baju pengantin perempuan lalu singgah ke rumah mentua dengan seorang diri. Hampir kebanyakannya saya ‘melanggar adat’ orang melayu secara umumnya demi menghalalkan hubungan kami dengan segera.
Dari manakah kekuatan yang saya ada? Sedangkan dari saya remaja saya sering bergelut dengan masalah rendah keyakinan diri (low self-esteem), merasa ragu-ragu (self-doubt), dan selalu berasa bimbang (anxious). Bila saya amati semula, rupanya saya belajar banyak perkara daripada buku-buku psikologi dan bacaan umum self-help dari perspektif barat dan islam.
Sepanjang perhubungan saya dan isteri, kami ada sebuah amalan terapi yang unik iaitu selalu tinjau ke pesta buku seperti Big Bad Wolf, kedai buku Kinokuniya, BookXcess, MPH dan sebagainya. Selain itu, kami akan lepak makan sambil bual pasal buku yang kami beli.
Genre kebanyakan buku yang kami akan terokai selalunya dalam ruang lingkup psikologi, self-help, atau anekdot yang ada intipati yang baik. Sebab waktu kami kecil, kemungkinan kami ada masalah ‘attachment’ yang sama iaitu Neglected-Child Attachment atas faktor ekonomi dan masalah-masalah keluarga yang lain. Disebabkan faktor dan cara kami dibesarkanlah menyumbang kepada minat yang sama dalam genre yang sama.
Peta Cinta (Love Maps) ini saya timba daripada idea psikologi yang dikemaskan oleh pasangan suami isteri iaitu Prof Dr John Gottman dan Julie Gottman dalam buku terkenal mereka “The Seven Principles For Making Marriage Work” dimana mereka berdua memasukkan ‘Love Maps’ di bawah payung besar yang diberi nama The Sound Relationships House.
Beliau mengumpamakan perkahwinan suami-isteri ini ibarat sebuah rumah, dimana ada dindingnya, lantainya, dan di antara dinding dan lantai di dalamnya ada elemen-elemen lain sebagai pengukuh yang berpanjangan agar rumah itu tidak mudah roboh.
Peta cinta pula terletak di bahagian lantai rumah. Sebelum pergi pada benda lain, kita perlu sediakan tapak perhubungan yang paling asas iaitu lantai. Kalau tiada lantai, macam mana kita nak berjalan dengan selamat dalam rumah. Contohnya sebelum ada rumah, lantai kita tanah yang berumput, berulat, kotor dan lembab. Semua itu perlu diukur kontraktor untuk pastikan jenis tanahnya sesuai atau tidak untuk ditampalkan dengan mozek.
Begitulah dalam perhubungan, sebelum nak menyatakan hasrat hati yang kita mencintai dia, kenal betul-betul atau sekadar casual dating? Casual dating bermaksud kita sekadar keluar berjumpa dia untuk berseronok, bukan untuk bersuai kenal yang mendalam.
Sebelum akad nikah termeterai, kami membina persahabatan berdua agak panjang iaitu selama tiga tahun. Cara kami ‘settle down’ atau ‘deep down’ ialah dengan sering mengisi masa kami dengan masa berkualiti. Bersembang pasal kehidupan kami semasa kanak-kanak, kenapa kami bemula dengan zaman kanak-kanak? Sebab saya teringat sebuah teori dari Sigmund Frued dimana, apabila kita membesar dewasa, ada sebuah pemikiran ‘minda bawah sedar’ kita yang akan membentuk sikap, minat, motivasi, dorongan dan pribadi kita sewaktu dewasa.
Maka saya perlu untuk kenal siapa dia melalui zaman kanak-kanaknya. Dari situlah kami berdua betul-betul bersikap ‘vulnerable’ (terbuka dan jujur) siapa diri kami. Maksudnya, apa keperluan emosi kami berdua, apa bahasa konflik kami berdua, apa cita-cita kami, apa motivasi kami. Kesemua itu penting untuk kita faham supaya kita berdua saling memahami secara dua hala tentang persahabatan kami berdua di mana titik temunya.
Apabila kita ada titik temu yang jelas, kita ada falsafah yang sama dipegang erat. Dari situlah kita akan bina sistem kepercayaan yang jitu dan mampan. Tak cukup sekadar itu, kita juga perlukan usaha yang kuat untuk membesarkan lagi perhubungan ini dengan elemen-elemen lain supaya sentiasa mekar, sejahtera dan berpanjangan.
Berbalik pada peristiwa dimana kami berdua telah selamat disatukan, saya pun pulang seorang diri semula ke Johor Bahru pada malam 31 Mei 2021 dan mula pindah ke rumah kami di Johor Bahru. Duduk berseorangan dan bekerja dari rumah selama tiga bulan. Bagaimana saya hadapi waktu kesunyian yang agak lama? Apa teknik “emotional resilient” (kebingkasan emosi) yang saya tanam dan pasakkan?
Bukan mudah untuk uruskan kesunyian yang agak lama. Ada sebuah ciapan berita, seorang lelaki yang tak dapat bertemu dengan ahli keluarga mengamuk melepaskan tumbukannya ke cermin masjid. Sampai tangannya berdarah, lalu dia balik dalam keadaan yang parah dan mati meninggal dunia.
Puncanya? Kesunyian yang gagal di uruskan. Saya pun tak tahu jadual kehidupannya secara pribadi maka saya hanya ucap takziah sahaja dalam hati.
Rasa sedih, sesal itu ada.
Lalu macam mana pula saya hadapinya? Saya juga melalui waktu yang sukar juga, banyak kali pernah rasa panik dan tertekan.
Cuma ini ada beberapa teknik yang saya ingin kongsikan :
- Saya banyak berbual secara maya dengan rakan-rakan di Google Meet tentang isu semasa untuk minta idea, pendapat, meluahkan dan berkongsi. Sebab kita makhluk yang bersosial, Cuma kita perlu adaptasi cara baru untuk bersosial.
- Video online dengan orang tercinta dan sentiasa ada waktu untuk berhubung, sentiasa beritahu peristiwa kecil mahupun sederhana secara spontan dan kerap.
- Menonton Podcast ilmiah, baca artikel ilmiah, dan sertai forum webinar yang boleh beri kita sesuatu motivasi.
- Bina jadual rutin yang sama dari bangun pagi sampai tidur waktu malam, kerana rutin amat mustahak untuk kekalkan posisi kesihatan mental dan fizikal. Rutinnya termasuklah jaga makan, tidur, kawalan stres dan selalu bertafakur.
Saya teringat satu temu bual Podcast antara Prof Dr Jordan B. Peterson dengan seorang pelawak Kanada Nicole Arbour, apabila Nicole bertanya pada Jordan mengenai situasi hubungan dia dan isteri. Jordan jawab, apabila usia kita semakin menua, kita akan pergi fasa lebih penting dari seks itu sendiri iaitu keakraban (romantic and friendships) dan dari situ kita beroleh anak dan cucu. Walaupun barat agak liberal tentang berkahwin dan ada anak, namun Jordan kata pentingnya kita ada sebuah keluarga supaya kita sentiasa memiliki sebuah jalan cerita kehidupan yang kukuh (continuity of narrative) yang berpanjangan sehingg ke akhir hayat.
Allah swt berfirman :
وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا لِّتَسكُنوا إِلَيها وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”(Surah Ar-Rum ayat 21)
Nabi saw bersabda :
إِذَا تَزَوَّجَ العَبْدُ فَقَدْ كَمَّلَ نَصْفَ الدِّيْنِ ، فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ البَاقِي
”Jika seseorang telah menikah, dia telah melengkapi separuh agamanya. Separuh lagi hendaklah dia bertakwa kepada Allah swt” (HR. Al-Baihaqi dan Hakim. Dinilai shahih oleh Al-Albani dalam Silsilah Ash-Shahihah no. 625)
Tujuan islam anjurkan perkahwinan ialah yang pertama kita dapat elak daripada bermaksiat, keduanya hidup kita lebih tersusun dan berdisiplin. Sebab itulah para anbiya sebelum berdakwah dan memimpin, mereka cemerlang terhadap isteri dan anak mereka kebanyakannya. Kerana sebuah keluarga yang bahagia akan melahirkan jati diri yang teguh dan berprinsip jelas.
Di negara barat, meskipun mereka amalkan kebebasan yang luar biasa. Namun mereka juga bergelut dengan masalah sosial yang semakin meruncing dan melelahkan kerana mereka kehilangan ruh kebapaan. Kerana lambakan anak luar nikah dan hubungan yang bersimpang siur dan tak kekal lama.
Statistik perceraian semakin lama semakin menggusarkan, ditambah dengan tekanan kewangan dan emosi tatkala perintah isolasi yang ditetapkan oleh kerajaan agak lama dan berpanjangan. Semoga kita semua beroleh kekuatan dalam menempuh fasa-fasa kedukaan ini hingga sinar mendatang.
Disediakan oleh,
Muhammad Saifuddin Bin Hamizan