Sedar atau tidak, dalam kehidupan seharian kita sebagai hamba, banyak permintaan yang diajukan kepada Allah SWT berbentuk paksaan.
“Ya Allah, aku mahu rezeki yang melimpah-ruah, supaya aku jadi kaya raya… Ya Allah, aku mahu berkahwin, datangkan wanita yang cantik dan sedap mata memandang… …” dan pelbagai lagi.
Tidak salah apa yang diperlakukan, cuma caranya tidak sama sebagaimana memujuk manusia untuk memenuhi hajat kita. Dalam tidak sedar, kebanyakan doa yang dipohon kepada Allah seolah-olah memaksanya untuk mengabulkan, sedangkan hak untuk mengabulkan itu ada pada-Nya bukan kita. Malah yang lebih mengetahui doa yang dipohon itu baik atau buruk juga Dia, bukannya kita.
Hati-hatilah dalam berdoa, tanya semula pada diri, adakah aku ini berdoa dalam bentuk memohon atau memaksa. Ada yang bertanya, apa beza antara kedua-duanya? Bezanya jika memohon, jawapannya boleh jadi, ‘Ya’ atau ‘Tidak’, tetapi jika memaksa jawapannya mesti, ‘Ya’.
Cuba difikir sejenak, dalam 10 doa mungkin salah satu adalah paksaan atau lihat sahaja respon kita apabila doa yang dipohon tidak dikabulkan? Apakah reaksi kita? Adakah kita akan menerimanya dengan reda dan memikirkan hikmah di sebaliknya, atau kita marah kerana hajat tidak kesampaian? Jika itu yang terjadi, nauzubillahi min zalik, perbaikilah.
Tidak salah memohon kesenangan dunia atau apa sahaja yang dikehendaki, cuma cara dan gayanya perlu selari dengan kita sebagai hamba. Selitlah doa dengan kata, “Ya Allah yang Maha Agung, kurniakanlah kepadaku….” Bahkan, ulama juga sudah banyak membicarakan tatacara berdoa yang mustajab, antaranya harus dimulai dengan istighfar iaitu memohon ampun kepada Allah SWT, mengakui kesilapan yang dilakukan supaya kita tunduk mengakui diri ini hamba yang sangat kerdil dan ditambah pula dengan selawat Nabi. Barulah disusuli dengan pujian dan kemudian diikuti dengan rangkuman permohonan.
Inilah yang diajarkan di dalam surah al-Fatihah, yang diawali dengan syukur, diikuti dengan pujian Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, lalu disertai dengan keinginan. Bukankah Allah SWT sudah beri tahu atau mungkin kita yang lupa dan boleh jadi tidak perasan.
Wahai manusia, Allah SWT sendiri menyeru hamba-Nya berbuat kebaikan dengan pujukan dan kemudian diikuti dengan ganjaran atas kelakuan baik tersebut, inilah konsep targhib supaya manusia itu rasa dihargai, bermotivasi untuk melakukan apa sahaja yang dipinta. Justeru, malulah kita sebagai hamba apabila berhadapan dengan Pencipta, kita lebih menggesa terus melulu tanpa memikirkan adab sesuatu perkara.
Pohonlah kepada Allah SWT dengan cara yang paling berhikmah, sebagaimana kita memujuk dan merayu kepada orang yang paling rapat dengan kita atau orang yang paling kita sayangi. Insya-Allah segala pengaduan akan didengari dan akan dibalas dengan baik apabila sampai masanya. Mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat kerana sesungguhnya Allah SWT bersama orang yang sabar.
Yakin dan percaya bahawa Allah SWT akan mengabulkan doa. Sekiranya doa itu belum dikabulkan, maka berbaik sangka mungkin Allah SWT bukan tidak mahu memberi apa yang dipinta, tetapi mungkin ada perancangan yang lebih baik di luar pengetahuan kita. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali `Imran, ayat 54 yang bermaksud,
“Dan mereka merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang.”
Ada orang yang berdoa pada usia muda tetapi dikabulkan di usia tua, seperti Nabi Zakaria AS yang memohon zuriat sehingga dirinya sudah dimamah usia, tidak pernah mengalah dan tidak pernah berburuk sangka, malah doanya dialun dengan pengakuan dirinya sebagai hamba yang lemah dan memerlukan pertolongan Allah SWT. Jadi, hati-hatilah wahai manusia dalam berdoa, biar kita memohon jangan memaksa kerana yang mengabulkan itu hak Sang Berkuasa, Dia yang Mengatur segalanya.
Disediakan oleh,
Rusydiah Salehudin