Saya yakin bahawa tidak ramai dalam kalangan kita yang biasa mendengar perkataan resilien ini terutama sekali kepada mereka yang tidak terlibat secara langsung dengan penyakit mental mahupun isu kesihatan mental. Oleh itu, dalam penulisan saya kali ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian tentang apakah itu resilien dan bagaimana cara pandang tentang memupuk jiwa resilien dari kaca al Quran dan psikologi.
Bagi definisi resilien, secara mudahnya untuk kita fahami ia merupakan satu istilah yang digunakan bagi merujuk kepada seseorang yang mempunyai kemampuan dan ketahanan untuk bangkit dan memilih untuk berhadapan dengan ujian hidup yang pelbagai.
Saya juga yakin yang setiap orang mendambakan dirinya untuk menjadi kuat atau menjadi manusia yang paling ampuh dalam menghadapi ujian-ujian hidup. Kita barangkali sudah penat dengan ujian yang diberikan, tambahan pula di waktu pandemik ini.
Tiada siapa yang tidak terkesan dengan apa yang sedang berlaku pada hari ini. Ramai yang telah kehilangan ahli keluarga tersayang, kehilangan punca pendapatan, hilang nikmat kesihatan fizikal dan mental serta macam-macam lagi. Perkara ini sangat membimbangkan kita semua kerana boleh menjejaskan keseimbangan dan kebahagiaan hidup kita.
Tetapi jika kita melihat di sekeliling, masih ada orang yang tetap berdiri, tetap memilih untuk berjuang tatkala ramai yang memilih untuk menyerah dan kalah. Mereka yang tetap cuba untuk kuat dalam keadaan diuji itulah, merupakan orang yang mempunyai jiwa resilien.
Lalu kita tertanya-tanya, bagaimanakah caranya untuk kita memiliki jiwa resilien seperti mereka? Iaitu jiwa yang tidak cepat ‘koyak’ atau jiwa yang sentiasa memandang cabaran dan ujian hidup itu sebagai peluang untuk mereka belajar, bertumbuh dan bergerak ke hadapan. Di dalam artikel ini, kita akan melihat cara pandang dari sudut Quran dan psikologi tentang memupuk sebuah jiwa resilien di dalam diri kita.
Sebelum kita melangkah lebih jauh, saya ingin berkongsi tentang sifat-sifat atau tabiat semula jadi manusia yang Allah sebutkan di dalam surah al-Ma’arij, iaitu ayat 19, 20 dan 21.
إِنَّ الإنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا (١٩) إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا (٢٠) وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا (٢١)
Maksudnya: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bersifat keluh kesah. Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila menimpanya kebaikan, sangat kikir.
Kata Ustaz Syaari Ab Rahman di dalam Kapsul Motivasi dan Introspeksi 2.0, Transformasi Mukmin: Memupuk Jiwa Resilien Dari Kaca Mata Qurani & Psikologi, anjuran Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia, perkataan هَلُوعًا dihuraikan oleh Allah tentang perkara yang membawa kepada dosa iaitu apabila dia ditimpa satu kesusahan, mulutnya cepat untuk mengeluh (جَزُوعًا ).
Maka dengan keluhan itu tadi manusia akan mula bertanya,
“Kenapalah aku yang diuji seperti ini?”
“Kenapa baru sekarang Tuhan nak uji aku?”
“Kenapa berat sangat ujian yang Tuhan berikan ni?”
Tetapi selepas mendapat satu berita kesenangan atau kebaikan, manusia itu menjadi sangat perahsia, dia tidak mahu berkongsi akan kebaikan yang diperolehi, dan dia menjadi lupa.
Perkataan هَلُوعًا datang daripada هَلَع iaitu bermaksud panik, sedih, resah, takut, trauma, fobia dan gemuruh. Menarik apabila dengan satu perkataan ini, kita dapat melihat betapa Allah sangat mengenali sifat-sifat hamba-Nya. Jika diperhatikan, maksud هَلَع itu sendiri sudah cukup dekat dengan diri kita yang mana pada ketika ini, ramai yang sedang melalui perasaan tersebut.
Seterusnya, Ustaz Syaari ada berkongsi tentang kaedah yang terdapat di dalam Al-Quran untuk membina jiwa resilien iaitu pada ayat yang ke-22 dan 23:
إِلا الْمُصَلِّينَ (٢٢) الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلاتِهِمْ دَائِمُونَ (٢٣)
Maksudnya: Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.
Melalui ayat ini, Allah berikan penyelesaian cara untuk mengawal perasaan هَلُوعًا , iaitu perasaan yang telah disebutkan tadi. Tetapi perlu kita ingat, solat tidak akan dapat menghapuskan perasaan sedih kita. Jika kita solat beratus rakaat sekali pun, ia tidak dapat memadamkan perasaan sedih tersebut. Sedih itu tetap akan ada, tetapi bagaimana kita menjelmakan tindakan kita selepas kesedihan itulah yang akan dipersoalkan dan yang akan menentukan dosa dan pahala kita oleh Allah SWT.
Jika kita ingati semula kisah Nabi Yaakub yang diuji dengan kehilangan anak-anaknya, kita akan teringat akan sifat kesabaran yang ada pada baginda. Malah, baginda juga digelar sebagai tokoh manusia yang bersabar dengan sabar yang indah.
Di dalam Al-Quran, surah Yusuf telah menggambarkan kesedihan yang ditanggung oleh Nabi Yaakub sehinggakan baginda kehilangan pandangan matanya. Ini menunjukkan bahawa baginda seorang manusia yang turut bersedih di atas sebab kehilangan.
Tetapi adakah kita perlu berkata kepada baginda untuk solat agar kesedihan itu hilang? Adakah kita ingin kata baginda itu lemah iman kerana sedihnya yang terlampau? Sedangkan baginda itu sendiri seorang nabi yang mana sudah tentulah keimanan baginda jauh lebih bagus daripada kita. J
adi perkara ini menjelaskan lagi bahawa zikrullah atau solat sekali pun tidak dapat menghilangkan kesedihan tetapi dengan perbuatan di dalam solat itu, mampu membantu kita untuk melakukan tindakan yang lebih baik selepas kesedihan tersebut.
Kata Ustaz Syaari, solat itu merupakan satu perbuatan dan juga proses kita dalam meminta pertolongan dan petunjuk daripada Allah. Dalam masa sehari, sebanyak 17 kali kita meminta petunjuk kepada Allah iaitu dalam surah Al-Fatihah, ayat ke-6:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (٦)
Maksudnya: Tunjukilah kami jalan yang lurus
Jika sudah 17 kali kita meminta petunjuk dalam masa sehari, itu bermaksud kita sedang ada masalah. Analogi yang diberikan oleh ustaz, ibarat kita menerima missed call daripada sahabat kita sebanyak itu, maka itu menunjukkan dia sedang berada dalam satu masalah atau mungkin ada kecemasan yang memerlukan bantuan daripada kita.
Maka disebabkan itulah, kita akan sentiasa memerlukan petunjuk daripada Allah kerana Dia itu Al-Hadi, Yang Maha Memberi Petunjuk. Pada akhirnya, kita akan sentiasa memerlukan Allah untuk memandu hati kita ke jalan yang benar melalui basirah.
Seterusnya, apabila kita konsisten menunaikan solat sambil memahami maknanya dan berada dalam kesedaran yang penuh, kita akan mendapat kesannya iaitu membentuk diri kita untuk menjadi seseorang yang sentiasa menyemak semula tingkah laku, respon dan tindakan diri kita terhadap segala perkara yang terjadi di dalam hidup.
Bukan itu sahaja, impak solat juga akan menjadikan kita sebagai seseorang yang boleh menerima segala takdir yang telah berlaku. Seorang manusia yang beriman tidak akan menyesali dengan apa yang sudah terjadi dan tidak akan merisaukan dengan perkara yang belum terjadi. Hal ini kerana, dia tahu Tuhannya itu Maha Penyayang dan Tuhannya sedang membawa dan menyediakan sesuatu yang baik dan bermakna untuk dirinya.
Apabila kita merasa risau atau takut dengan apa yang terjadi, ingatkanlah diri kita akan surah Yusuf, ayat ke-21:
وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الأرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِنْ تَأْوِيلِ الأحَادِيثِ وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ (٢١)
Maksudnya: Dan demikian itu Kami beri kedudukan bagi Yusuf di bumi, dan kerana Kami akan mengajarkannya takwil mimpi-mimpi. Dan Allah berkuasa atas urusanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Menurut Dr. Ahmad Rostam iaitu seorang pakar perunding psikiatri, seseorang itu dikatakan mempunyai jiwa resilien apabila dia memiliki keupayaan untuk bangkit tanpa memberi kesan sampingan atau komplikasi yang teruk kepada dirinya, personalitinya, masa depannya atau masa silamnya. Kata beliau, setiap orang mempunyai kemampuan tersebut dan setiap orang mampu untuk bangkit tetapi, setiap daripada kita mempunyai tahap resilien yang berbeza disebabkan ujian kita yang unik.
Seseorang yang mempunyai jiwa resilien juga, dia mampu untuk menggunakan perkara yang menjadi kejatuhannya sebagai kekuatannya untuk bangkit dan menuju ke depan. Dia menggunakan sejarahnya, kesakitannya, emosinya, kegelisahannya, dan ketakutannya untuk bangkit. Inilah perbezaan yang ada pada seseorang yang mempunyai jiwa resilien berbanding mereka yang tidak mempunyai jiwa resilien.
Tidak dinafikan bahawa manusia memang akan ada saat-saat yang membuatkan dirinya jatuh terduduk tetapi apabila berhadapan dengannya, dia mampu untuk menghadapi emosi negatif yang ada pada ketika itu. Maka itulah yang dikatakan sebagai seseorang yang memiliki jiwa resilien.
Dr. Ahmad Rostam juga telah menyenaraikan ciri-ciri orang yang memiliki jiwa resilien dari sudut pandang psikologi, iaitu:
1) Mereka mampu menamakan, mengiktiraf, dan mengenali emosi-emosi yang ada
2) Mereka tahu tujuan
3) Mereka tahu apa yang mereka mahu
4) Mereka tahu apa yang meraka tidak mahu
5) Mereka tahu apa yang mereka ada
6) Mereka tahu apa yang mereka tidak ada
7) Mereka tahu apa kekuatan mereka
8) Mereka tahu apa kelemahan mereka
9) Mereka merasai dan menjiwai apa yang mereka lakukan
Kesimpulannya, kemampuan untuk menamakan kekuatan dan kelemahan diri kita merupakan akar kepada membentuk jiwa dan diri kita yang resilien. Semoga kita dapat memahami bahawa untuk memupuk dan memiliki jiwa resilien ini, ia pastinya memerlukan usaha, semangat yang kental, tidak mudah berputus asa, doa yang kencang dan sangka baik yang berterusan kepada Allah.
Semua ini adalah sebuah proses, jadi janganlah tergesa-gesa apatah lagi berlaku kasar terhadap diri sendiri jika masih belum sampai ke tahap memiliki jiwa resilien. Kerana sebuah proses itu memerlukan masa dan lambat atau cepat, kita pasti akan sampai juga. Jadi, berdamailah dengan diri kita dan berbaiklah dengannya.
Disediakan oleh,
Faha Anuar
Pelajar psikologi UMS.