Momok dalam Almari
Aku mahu berbicara tentang kejahilan kita
dan juga tentang kealpaan kita,
kekhilafan kita, ketamakan kita.
Namun kau memaling muka.
Lalu mengherdik ku dan berkata,
“Kita bukan begitu!
Apa kau sudah lupa asal usulmu?
Kita umat diangkat tertinggi,
Kita genggam utuh al Quran dan Sunah Nabi.”
Aku merenung wajahmu
Kerutan jelas marahkan ku
Aku bertanya perjuangan yang mana?
Kau kata nenek moyang kita mengusir penjajah
Kita penyambung warisan dan khazanah
“Tanah ini kita punya,
Yang lain itu cuma pendatang.”
Aku tunduk melihat tanah di bawah telapak kaki
Terfikir sejenak berapa banyak sudah berebutkan tanah ini
Sejak Adam turun ke bumi
Dan siapa lagi yang mereka cipta sebagai
momok dalam almari.
Nukilan,
Zainab Abd Aziz
***
Mencapai Merdeka
Bertahan atau berjuang
ia pilihan.
Tetapi
mereka memilih untuk berjuang.
Pengorbanan mula membuahkan hasil,
Darah dan air mata
bertukar senyum dan tawa.
Merdeka berjaya dicapai.
Namun,
perjuangan tidak terus terhenti.
Setelah 64 tahun
tanah air dicengkam penjajahan baharu
malah seluruh dunia merasainya.
Dunia berdarah,
mangsa semakin ramai dan meningkat.
Apakan daya,
masih terus berjuang
dan sentiasa berharap
agar ada sinar disebaliknya.
Nukilan,
Balqis Nur Farhana