Pada tanggal 17 Ogos 1945, Sukarno bersama Hatta dengan berani memproklamasikan kemerdekaan Indonesia ketika nasib negara masih belum tentu hujung pangkal. Jepun baru saja menyerah kalah dan ada kemungkinan Belanda akan kembali. Namun mereka tetap juga memproklamasikan bangsa Indonesia sudah merdeka.
Proklamasi yang dilaungkan di Jakarta, gemanya kedengaran di Tanah Melayu. Kalimah “Merdeka” yang keramat itu telah disahut oleh Tunku Abdul Rahman dan Tanah Melayu telah diisytiharkan Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957. Merdeka! Merdeka!
Namun apakah merdeka itu? Sejauh manakah kita memahami perjuangan mereka yang telah berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan?
Merdeka itu bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Terlepas dari genggaman dan bebas tidak bergantung pada yang lain. Sudah berjilid-jilid kitab ditulis tentang perjuangan merebut kemerdekaan namun coretan pena tidak pernah habis meriwayatkan perjuangan tokoh-tokoh silam. Kisah perjuangan mereka itu ditulis dengan tinta emas yang bersinar cahayanya, terus menerus memperlihatkan sinarnya kepada kita semua.
Bermula daripada penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, Siam, Jepun dan kembali semula ke dalam genggaman Inggeris, kemudian digugat pula oleh komunis, darah dan air mata sentiasa bercucuran demi mengejar kebebasan dan kemuliaan bangsa. Ramai yang terkorban dalam perjuangan. Ada nama dalam kenangan, ada nama yang tidak sering didendangkan. Namun kisah-kisah mereka itu, menjadi panduan penuh hikmat kepada kita.
BERMULA SEJAK ZAMAN PORTUGIS DAN BELANDA
Kita tidak akan lupakan riwayat Sultan Ahmad Shah dan Bendahara Tepok menaiki gajah bertempur melanggar Portugis mempertahankan daulat Melaka. Mereka mahu merempuh bermati-matian namun dihalang daripada berbuat demikian supaya tidak terkorban awal. Kedua-duanya mahu gugur sebagai syuhada mempertahankan Melaka. Akhirnya tumbanglah semarak Kesultanan Melaka pada 24 Ogos 1511, menjadi kenangan pahit bangsa Melayu ratusan tahun lamanya.
Habis istana dihancurkan, masjid agung hilang entah di mana. Makam-makam Sultan, para pembesar dan ulama Melaka lenyap dimusnahkan dan diambil batu-batu nisan menjadi batu binaan. Portugis yang zalim itu membina sebuah kubu batu, hari ini salah satu gerbangnya masih wujud diberi nama “A Famosa”. A Famosa masih ada, namun tiada satu pun kesan peninggalan Kesultanan Melaka yang masih wujud. Yang tinggal hanyalah nisan Sultan Mansur Shah di Muzium Negara dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah yang berada di Pagoh. Keagungan Melaka hanya tinggal dalam riwayat, kerana pusaka yang tinggal hanyalah nisan dua orang Sultan.
Selepas Portugis menguasai Melaka, pada tahun 1641 Belanda pula mengambil alih Melaka. Munsyi Abdullah menyatakan dalam hikayatnya bahawa Belanda adalah penjajah yang zalim di Melaka. Pegawainya jahat-jahat ketika rakyat hidup melarat. Raja Haji Fi Sabilillah dari Riau datang ke Melaka mahu menghambat Belanda keluar dari Melaka. Namun beliau gugur sebagai kesuma bangsa di Teluk Ketapang, Melaka.
Di Hindia Belanda (Indonesia hari ini), Belanda sendiri mengiktiraf kezaliman bangsanya apabila pemimpin mereka yang zalim menjadi pahlawan nasional mereka. Wajah Gabenor Jeneral Hindia Timur Belanda, Jan Pieterszoon Coen (1587-1629) terpampang pada wang kertas Hindia Belanda pada tahun 1930an. Itulah wajah orang yang menakluk Jakarta dan mengasaskan penjajahan Belanda di Indonesia. 15,000 orang mati atau dijadikan hamba ketika Coen mahu menggenggam tanah jajahannya. Hampir semua penduduk Pulau Banda dibunuh oleh angkatan Belanda ketika Belanda menyerang pada tahun 1621.
Kekejaman beliau ada digambarkan dalam filem Sultan Agung (2018). Sebuah terowong yang dibina di Amsterdamn pada tahun 1966 diberi nama “Coentunnel” sempena nama sang penzalim Coen. Hari ini, patung Jan Pieterszoon Coen masih megah berdiri di Bandar Hoorn, Belanda. Patung sang penakluk Jakarta!
Belanda terus mencengkam Hindia Timur (kini Indonesia) manakala Melaka jajahan Belanda telah diserahkan kepada Inggeris dengan hanya goresan pena antara dua kuasa besar (Perjanjian Inggeris-Belanda 1824). Melaka telah bertukar tuan, daripada Portugis, Belanda kemudian menjadi wilayah Inggeris.
INGGERIS MENJADI TUAN
Apabila Belanda telah keluar dari Tanah Melayu, Inggeris mula menggenggam tanah nenek moyang kita. Dengan goresan pena, Inggeris memiliki Pulau Pinang (1786). Dengan pena, Sultan Hussein Syah tergadai Singapura kepada Inggeris (1819). Melaka bertukar tangan daripada Belanda kepada Inggeris juga dengan pena dua bangsa (1824). Di atas kapal Pluto, dengan pena juga termeterailah Perjanjian Pangkor (1874) yang menyebabkan Inggeris berdaulat di Perak.
Raja-Raja Melayu zaman itu tertewas dengan pena Inggeris. Akhirnya dengan perlahan, seluruh Tanah Melayu berada dalam genggaman. Ternyatalah pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Kadangkala, pena itu sendiri membawa pedang. Akibat goresan pena, dilibas lah pedang. Pedang itu mahu menghambat Inggeris keluar!
Orang Melayu kemudian bangkit menentang Inggeris. J.W.W. Birch telah dibunuh di Pasir Salak (1875) kerana sikapnya yang kurang ajar. Seluruh bangsawan Perak termasuk Sultan Perak terlibat dalam pembunuhan dan semua yang terlibat dihukum oleh penjajah. Sultan Abdullah yang memerintah Perak dibuang negeri ke Seychelles. Sultan Ismail dibuang negeri ke Johor. Tengku Menteri Ngah Ibrahim, jutawan Melayu Perak zaman itu dibuang negeri ke Seychelles bersama Sultan Abdullah kerana menyokong pembunuhan Birch. Disebabkan beliau dihukum buang negeri, Ngah Ibrahim yang asalnya jutawan telah kehilangan harta benda akibat dirampas penjajah dan lombong bijih timah miliknya habis diambil orang.
Ramai yang tidak tahu, bangsa Melayu pernah mempunyai jutawan yang mampu menggajikan orang Inggeris sebagai polis. Begitu kaya Ngah Ibrahim sehingga beliau mampu menggajikan Kapten Speedy ketika Inggeris masih belum berkuasa di Perak lagi! Namun disebabkan Perjanjian Pangkor, Kapten Speedy naik tocang dan Ngah Ibrahim pula yang perlu tunduk mendengar arahan Kapten Speedy.
Perangai kotor British ini bahkan kita boleh lihat 50 tahun sebelum termeterainya Perjanjian Pangkor. Kita tidak akan lupakan peranan British ketika Siam melanggar Kedah pada tahun 1821 dalam “Perang Musuh Bisik”. Disebabkan rakyat Kedah tidak lagi memberi hormat kepada Bangkok, tidak membayar ufti dan enggan memberikan bekalan keperluan untuk menyerang Burma, angkatan Siam telah menyerang Kedah.
Tentera Siam mendapat bantuan senjata dari tentera British yang serba lengkap. Walaupun perang ini merupakan perang antara angkatan Kedah dan angkatan Siam, namun British yang berada di rantau ini memberikan sokongan kepada Siam. Ribuan rakyat Kedah bangkit melawan “Siam perut hijau” di bawah pimpinan Tunku Kudin (serangan 1831) dan Tunku Muhammad Saad (serangan 1838). Kedua-duanya syahid fi sabilillah menentang Siam sehingga ke titisan darah terakhir.
Angkatan Tentera Laut British telah mengepung perairan Kedah dan membantu Siam mendapat kemenangan. Ramailah yang gugur melawan Siam demi mempertahankan negeri Kedah. Antara yang terkorban dalam perang ini ialah ulama masyhur, Syeikh Abdul Samad al-Palimbangi. Masjid Zahir yang menjadi pusaka kebanggaan Kedah dan masjid terindah di Tanah Melayu dibina atas tapak kuburan para syuhada yang gugur melawan Siam. Perang Kedah melawan Siam memakan masa hampir 21 tahun kerana rakyat Kedah tidak mahu menyerah kalah!
Pada tahun 1842, Raja Siam akhirnya bersetuju untuk mengembalikan takhta Sultan Kedah. 30 tahun kemudian selepas pengembalian takhta, British masuk campur dalam pentadbiran Negeri Perak (1874) dan juga negeri-negeri Melayu yang lain. Satu persatu negeri Melayu dikuasai Inggeris. Ramailah pahlawan-pahlawan Melayu bangkit menentang penjajah Inggeris seperti Dato’ Dol Said, Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tok Janggut namun tidak berjaya menghalau Inggeris keluar dari tanah air…. sehinggalah pada tahun 1942..
DATANG JEPUN, DATANG KOMUNIS
Pada tahun 1942, semarak kebesaran Inggeris tidak tahan dengan bahang matahari Jepun. Tentera Jepun dengan jayanya menghambat keluar Inggeris dari rantau ini. Bendera Union Jack berkibaran bersebelahan bendera putih di Singapura – petanda bahawa Inggeris mula hilang taringnya di Asia. Asia untuk Asia! Apakah kita akan dimerdekakan oleh Jepun? Ramai yang bersorak dengan kehadiran tentera Dai Nippon.
Akhirnya sorak bertukar tangis. Bahkan Jepun itu lebih kejam dari Inggeris. Insaflah bangsa kita, penjajah dari Eropah atau penjajah dari Asia, sama sahaja. Kisah perjuangan anak jati Kajang, Leftenan Adnan bin Saidi menentang Jepun sehingga titisan darah terakhir di Bukit Chandu, Singapura menjadi riwayat gilang gemilang bangsa Melayu. Leftenan Adnan mempertahankan tanah air ketika Inggeris sudah tidak lagi mampu melindungi jajahannya. Bangsa Melayu sudah tersedar dari lamunannya, kita perlu memerintah tanah air kita sendiri, tanpa memerlukan bantuan dari kuasa Barat atau kuasa Timur.
Selepas Jepun mengangkat tangan mengibarkan bendera putih pada tahun 1945, komunis pula mahu merampas kuasa hendak memerintah negeri. Rasa dendam orang Cina Komunis yang melihat segelintir orang Melayu menjadi kakitangan Jepun mula terserlah. Disebabkan penjajahan Jepun, benih kebencian antara kaum Melayu dan Cina mula bercambah. Kebencian ini lahir akibat penjajahan. Komunis mengamuk selama tiga minggu. Beberapa panglima Melayu terkenal dari keturunan Banjar dengan parang panjangnya, telah menunjukkan darah perwira. Itulah yang berlaku di Batu Pahat, Johor dan di Sungai Manik, Perak. Perjuangan mereka menimbulkan kesan besar yang menginsafkan orang Cina Komunis seluruhnya.
Kita juga tidak akan melupakan, tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong (1950) dipimpin oleh komunis Melayu bernama Mat Indera. Ramai yang terkorban hangus dalam tragedi serangan ini termasuklah isteri-isteri dan anak-anak kecil ahli keluarga anggota polis yang berjuang. Kuburan syuhada Bukit Kepong di Muar hari ini sentiasa diziarahi pencinta sejarah. Lawatlah pusara pejuang Bukit Kepong, mengenang tragedi polis yang terkorban mempertahankan tanah air daripada dikuasai Komunis tidak kira Komunis Cina atau komunis Melayu.
GELOMBANG MERDEKA
Gelombang “Merdeka” sudah berdenyut dalam hati seluruh orang Melayu. “Malayan Union” ditentang orang Melayu habis-habisan. Inggeris mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai jajahan mahkota dan Raja-Raja Melayu akan hilang daulatnya. Dato’ Onn Jaafar berdiri di tengah-tengah gelombang itu memimpin bangsanya yang mahu menghumban Malayan Union. Kita tidak mahu diperkotak katik Inggeris lagi. Begitu marahnya orang Melayu kepada Malayan Union sehingga Sultan Johor, Sultan Ibrahim yang menandatangani Perjanjian Malayan Union disuruh letak jawatan!
Orang Tujuh Muar – yang dipimpin oleh Dato’ Abdul Rahman bin Mohamed Yassin – menuntut supaya Sultan Ibrahim turun takhta kerana baginda telah menandatangani Perjanjian Malayan Union 1946. Tindakan itu bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Sultan tidak boleh menggadaikan negeri! Baginda Sultan Johor sedar tentang perkara ini dan kemudian turut berjuang bersama menentang Malayan Union. Almarhum Sultan Iskandar, cucunda kepada Sultan Ibrahim bahkan menyatakan Inggeris ini penjajah yang “kotor”. Malayan Union pun dihumban ke dalam tong sampah sejarah dan tertubuhlah Persekutuan Tanah Melayu 1948.
DEMIKIANLAH RIWAYAT
Setelah dijajah ratusan tahun, pada tanggal 31 Ogos 1957, laungan Merdeka bergema di Stadium Merdeka. Perjuangan-perjuangan ratusan tahun lampau telah membuahkan hasil. Merdeka yang dikecapi itu bukanlah dicapai dengan mudah. Laungan merdeka 31 Ogos bermula dari keringat, darah dan air mata generasi terdahulu. Betapa banyak riwayat perjuangan nenek moyang tersembunyi dalam kitab-kitab lama sehinggakan kisah-kisah mereka itu kita sendiri sudah lupa. Kenanglah semangat perjuangan mereka dan pertahankan apa yang kita miliki sekarang. Semoga kemerdekaan yang kita peroleh ini akan kekal sehingga ke akhir zaman. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Disediakan oleh,
Syed Azharul Asriq