Reading slump ialah sebuah istilah yang tidak asing dalam kalangan pembaca buku atau bibliofil. Reading slump terjadi apabila seseorang tidak dapat membaca sesebuah buku dalam suatu tempoh masa yang lama mahupun sekejap. Rasa malas, berat dan tidak fokus untuk membaca apa-apa buku. Di sini, saya ingin kongsikan cara-cara saya mengatasi reading slump.
Antara perkara yang saya akan lakukan ketika menghadapi reading slump ialah saya akan membaca buku-buku yang nipis dan mempunyai jumlah halaman yang sedikit. Misalnya, saya membaca buku Sayonara Jahiliyyah tulisan Muharikah, buku mini With Love Allah tulisan Iffah Nizar dan buku Sebelas Patriot tulisan Andrea Hirata (terbitan PTS Litera). Buku-buku ini dapat dihabiskan bacaannya hanya dalam masa beberapa jam sahaja. Saya tidak berasa berat untuk membaca buku-buku yang nipis sebegini. Bukankah membaca buku dengan kuantiti halaman yang sedikit lebih baik daripada tidak membaca langsung?
Saya juga akan membelek buku-buku yang belum dibaca di rak sambil membaca isi dan sinopsis buku tersebut. Kadang-kadang saya akan meletakkan buku tersebut di ruang tamu atau di tepi katil. Cukuplah untuk membangkitkan kembali rasa untuk mengulit helaian-helaian kertas di dalam buku dan membaca.
Seterusnya, saya akan mencari dan menonton video-video tentang buku di Youtube. Antara kata kunci yang saya cari ialah ‘how to read?’ Terdapat banyak video yang berkisarkan cara-cara untuk membaca buku dengan jumlah yang banyak dalam setahun, cara-cara membaca buku dengan efektif, cara-cara untuk keluar daripada reading slump dan sebagainya. Saya juga menonton reviu-reviu buku yang menarik di Youtube.
Boleh juga berinteraksi dengan pembaca-pembaca buku yang lain untuk berbincang tentang reading slump yang dihadapi masing-masing. Sama ada berinteraksi melalui mesej peribadi atau menyertai kelab-kelab buku yang ada di sekeliling anda. Berbincang tentang buku dan membaca boleh menambahkan semangat untuk keluar daripada belenggu reading slump. Luahkan juga rasa berat untuk membaca kepada teman-teman pembaca yang lain.
Selain itu, apa yang saya lakukan untuk melepasi fasa reading slump ini adalah dengan menyunting gambar poster buku-buku yang dibaca untuk bulan tersebut lebih awal. Dalam bahasa Inggeris biasanya disebut sebagai monthly reading wrap-up. Saya akan menjadi lebih bersemangat untuk membaca dan menambah lagi gambar buku-buku ke dalamnya. Cara ini sangat berkesan untuk saya. Namun, haruslah diingatkan bahawa tujuan kita membaca bukanlah sekadar untuk mengumpul kuantiti buku yang paling banyak dibaca. Cukuplah sekadar menjadi pembakar azam untuk terus membaca walaupun nipis bukunya.
Akhir sekali, saya akan melakukan apa-apa saja hobi yang saya gemari. Tamsilannya, mendengar lagu-lagu kesukaan di Youtube dan di dalam telefon bimbit. Dengan ini, saya akan mencari mood untuk kembali beriltizam membaca buku seterusnya keluar daripada lembah reading slump.
Itulah antara cara saya meloloskan diri dari reading slump. Banyak lagi cara-cara yang efektif dan kreatif yang boleh dilakukan. Boleh juga jika hanya ingin menikmati dan meraikan fasa reading slump dengan melakukan aktiviti-aktiviti lain seperti menonton filem dan drama, berkebun, memasak dan lain-lain. Terpulang kepada diri masing-masing, asalkan kita semua gembira dengan keadaan diri sendiri.
Selamat mencari cara yang unik dan terbaik untuk diri sendiri!
Disediakan oleh,
Norsyahirah Shahrir