Tahun 2009 merupakah tahun aku menduduki peperiksaan SPM yang merupakan antara peperiksaan yang terpenting dalam perjalanan hidup sebagai seorang pelajar di Malaysia. Perkataan SPM merupakan singkatan kepada Sijil Pelajaran Malaysia. Namun perkataan itu sendiri mempunyai takrifan yang berbeza menurut pandangan pelajar.

Ada yang yang menggelarkan SPM itu sebagai,

“SIJIL PALING MAUT”

“SAAT PALING MENCABAR”

“SIBUK PIKIR MASA DEPAN”

“SAAT PALING MENEKAN”

Dan pelbagai lagi tafsiran lain yang tidak mampu aku coretkan dalam tulisan ini kali ini.  Pasti kalian pernah mendengar gelaran-gelaran seperti ini.

Barangkali, setiap tafsiran yang lahir daripada benak fikiran para pelajar ini sedikit sebanyak menterjemahkan perasaan terpendam selama ini dalam lubuk sanubari para pelajar. Resah gelisah, gundah gelana, lemah semangat pasti seringkali menghantui pelajar-pelajar sekolah. Hal yang sedemikian kerana sebahagian pelajar tidak memberikan tumpuan dan penekanan yang serius semasa di Tingkatan 4 dan 5 peringkat sekolah Menengah.  

Sebahagian pelajar merasakan tempoh pembelajaran sewaktu Tingkatan 4 sebagai tempoh “Honey Moon” setelah berhempas pulas dalam menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada zaman dahulu dan sekarang sudah bertukar kepada Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Namum, realitinya adalah sebaliknya.

Tempoh pengajian ketika di tingkatan 4 merupakan satu tempoh yang sangat mustahak untuk seorang pelajar dalam memberi penekanan yang serius terhadap subjek-subjek yang dipelajar, kerana tempoh pembelajaran sewaktu Tingkatan 4 merupakan permulaan kepada satu proses pengajian yang bersifat pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu seperti bidang Sains Tulen, Sains Teknikal, Sains Perakaunan dan Vokasional dan lain-lain.

Malangnya, sebahagian pelajar tidak memberikan fokus yang sepatutnya terhadap subjek-subjek yang diajar dalam di kelas disamping sebahagian mereka banyak menghabiskan masa dengan penyertaan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang sedikit sebanyak menjejaskan daya tumpuan mereka.

Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan kurikulum di luar kelas amat digalakkan kerana ia merupakan sebahagian para-syarat yang ditetapkan oleh pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha menghasilkan pelajar yang tidak hanya sekadar cemerlang akademiknya bahkan kemahiran-kemahiran yang lain agar pembentukan insan holistik dapat dihasilkan.

Namun, ketidak mampuan dalam mengimbangi tuntutan dalam mengikuti proses pembelajaran dalam kelas dan penglibatkan dengan aktiviti di luar kelas mengakibatkan sebahagian para pelajar tersebut menjadi kelam kabut saat menjelang peperiksaan SPM.

Sikap kelam kabut itu timbul lantaran memikirkan timbunan buku yang perlu diulangkaji dan topik-topik yang belum dikuasai. Malah tiada usaha yang proaktif yang diambil oleh para pelajar tersebut seperti mendapatkan bimbingan guru di luar kelas, berbincang dengan kawan sebaya yang menguasai pembelajaran dan lain-lain dalam menangani masalah-masalah berbangkit itu.

Keadaan menjadi lebih parah dengan sikap sebahagian guru yang seringkali memomokkan bahawa SPM ini perkara yang sangat penting dan mustahak dalam hidup pelajar. Maka munculnya ayat-ayat seperti berikut:

“SPM penentu masa depan awak”

“SPM boleh tolong awak untuk maju ke depan”

“SPM boleh bantu awak masuk Universiti”

Momokan-momokan seperti ini menambahkan lagi tekanan dan kerunsingan pelajar di ambang menghadapi SPM. Bak kata pepatah Melayu, “Sudah Jatuh Ditimpa Tangga’. Inilah realiti pahit yang terpaksa dihadapi oleh sebahagian pelajar yang bakal menghadapi SPM. Kesannya, para pelajar tersebut tidak dapat menjawab dengan baik dalam peperiksaan SPM dan keputusan yang diperolehi juga tidak memberangsangkan!

Kembali semula kepada kisah SPM aku, keputusan SPM yang aku perolehi cukup menyedihkan, semua jenis gred berjaya dirangkul. Namun, aku bersyukur semua subjek-subjek lulus, Alhamdulillah!

Saat menerima slip keputusan SPM daripada guru kelas tingkatan 5 ketika itu, mataku terbeliak, reaksiku kaku. Seluruh badan menjadi mengigil kesejukan. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat. Hatiku berbisik, “Biar benar ini adalah keputusan SPM aku! Tidak!” Hatiku meronta-ronta tidak dapat menerima senarai keputusan yang terpapar di slip peperiksaanku itu.

Namun, akhirnya aku pasrah walaupun hati aku berkecai, bercampur baur dengan sebuah perasaan yang berkecamuk dalam menerima sebuah suratan takdir yang pahit itu. Hasrat ibu ayahku hancur.  Kepiluan yang menyelubungi hati saat itu tidak mampu aku ungkapkan dengan bait kata.  Bukankah itu semua sudah ketentuan Tuhan yang mengatasi segala-segalanya.

Akhirnya, aku pasrah dan reda dengan harapan sedikit sebanyak dapat mngubati hati yang sedang berduka lara. Sesungguhya masa yang sudah berlalu tidak mungkin dapat dipatah balik. Hidup mesti diteruskan walaupun rintangan yang melanda sebesar gunung dan seluar lautan bergelora.

Aku memandang ke arah ibu yang sedang tecegat berdiri di sebelah, setia menemani aku mengambil slip peperiksaan.  Lantas, aku memaklumkan kepada ibu dengan nada sayu dan memujuk:

“Mak, minta maaf banyak-banyak mak.”

Tiada sepatah perkataan yang keluar daripada mulut ibuku. Lama beliau mendiamkan diri seakan lidah kelu tidak berjumpa dengan tutur kata yang sesuai. Namun, diri ini sangat faham bahawa beliau terkejut dengan sebuah “hadiah” yang cukup menyayat hati daripadaku. Sesungguhnya tidaklah dapat aku bayangkan bagaimana remuknya hati seorang ibu dek sebuah harapan yang disia-siakan oleh anak yang diharapkan.

Pemergian insan tersayang yang merupakan pasangan jiwa masih belum reda dan kini bertambah pilu hatinya saat menatap keputusan anak yang cukup menghibakan dan menambahkan kedalaman luka hati sedia ada. Jiwaku itu diselubungi perasaan serba salah yang teramat mendalam. Masakan tidak, seorang anak telah menghancurkan hati ibu. 

Sedangkan begitu banyak pengorbanan ibu. Ibulah yang telah menyediakan persediaan yang cukup.  Saban minggu dibekalkan dengan makanan yang sedap, kiriman duit belanja tiap kali melawat di sekolah, mendapatkan guru tuisyen bagi mengajar subjek-subjek susah, diberi peluang untuk mengikuti kelas tuisyen percuma bagi subjek-subjek kritikal yang ongkosnya ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan negeri.

Maka, nikmat apakah yang engkau telah dustakan wahai diri?! Ternyata aku telah mempersia-siakan segala usaha penat lelah ibu dan semua pihak yang mahu membantu diri ini dalam memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Saat itu aku merasakan masa depanku begitu kelam, seakan-akan tidak ada harapan untuk aku untuk mara ke hadapan. 

Namun, Aku tidak akan sesekali mengaku kalah dan putus asa dalam jalan perjuangan ini. Gagal Sekali Bukan Gagal Selama-lamanya. Aku mahu mahu bangkit daripada sebuah kegagalan. Kerana aku mahukan buktikan kepada ibuku dan semua orang bahawa SPM bukan segala-galanya!”

Bersambung…

Coretan,

Fathi Anwar

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.