“Angin kau bawakan rasa ini
Jauh merentas kenangan
Sungguh aku rindu dengan kenangan lalu
yang mengetuk ruang fikiran ini”
Cuaca pagi ini cukup dingin sekali. Aku memeluk tubuh kedinginan saat diriku terbangun mendengar ketukan tabuh yang memecah kesunyian alam. Seusai subuh, al Quran dibaca sebagai penawar hati. Kali ini aku terasa sebak sekali entah mengapa perasaan ini tiba-tiba menjengah. Jauh aku membuang atma ini nun di lubuk yang paling dalam agar nirmala tidak mudah ternoda dengan perasaan yang bercampur baur ini.
Ketika ingin duduk dibarai katil, aku terpandang potret usang yang semakin lama pudar warnanya. Tiba-tiba perasaan rindu kepada insan yang aku tatap ini semakin meluap-luap tanpa aku sedari sebutir air mata menitis di pipi. Fikiranku mula terhenyak dalam emosi, sudah lama ia meninggalkan kami tetapi kerinduan terhadap insan itu ibarat seperti bunga yang tidak pernah layu.
“Yeay! atok dah balik”
“Hati-hati jangan lompat-lompat nanti jatuh, kesian cucu atok”, nasihat datuk kepadaku.
“Baik atok” Aku tersenyum seperti kerang busuk saat datuk berkata demikian.
“Atok ada tak belikan gula-gula untuk Nur”
“Mestilah ada, mana boleh lupa untuk cucu kesayangan atok ni”
” Yeay! Terima Kasih atok, sayang atok” ucapku kepada datuk.
“Ya, sama-sama”
Aku menjerit kegirangan tatkala datuk membawa buah tangan untukku, walau ia hanya sebiji gula-gula tetapi keseronokkan itu terpancar di wajah suciku.
Nama aku Nur Sumayyah, nama ini diberi oleh datuk sendiri. Kata datuk, Sumayyah ini adalah salah seorang Sri Kandi terbilang pada zaman Nabi dahulu. Justeru itu, datuk memberikan namaku Nur Sumayyah supaya kelak aku menjadi seorang wanita yang sentiasa bertakwa kepada Allah.
“Assalammualaikum, Nur Oh Nur”
Lamunan aku terhenti tatkala namaku diseru dari luar bilik. Segera aku mengesat air mata supaya tidak diketahui oleh rakanku.
“Waalaikumussalam, Oh Ain”
“Nur, kau sudah siap ke? Jom kita pergi kelas sama-sama”
“Ya, sudah siap”
“Jom kita gerak sekarang”.
Ain, rakan sekuliahku dan juga sahabat susah senangku. Ketika aku dalam kesusahan, Ain sering menghulurkan bantuan dan sentiasa memberi sokongan kepadaku. Ain memang sahabat yang mempunyai hati yang lembut selembut baldu. Terima kasih Ain, Allah sahaja yang dapat membalas semua kebaikan kau.
Aku menyambung pengajian di salah sebuah Universiti Awam yang terkenal di Malaysia dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, menjadi seorang kaunselor yang berjaya memang azamku. Aku sudah menanam azam untuk membantu mereka yang mempunyai masalah dan memberi sokongan kepada mereka di luar sana.
Tatkala senja ingin melabuhkan tirai, hati ini merundum kerinduan kepada insan yang telah tiada. Manakah tidak, insan itu yang memelihara aku saat masih bayi lagi. Ketika mak dan ayah mencari sesuap rezeki, insan ini ada sewaktu aku lapar dan dahaga. Insan ini juga yang tidak jemu-jemu mencurah kasih bagai air yang tidak henti mengalirnya.
Bagaimana mungkin untuk aku melupakannya? Walau sesaat masa berlalu, walau hari berganti hari, bulan berganti bulan bahkan tahun sekali pun, ia takkan mudah lenyap walau sekelip mata kerana setiap ukiran kenangan itu tersimpan suatu cerita yang akan dikenang kelak.
“Nur” datuk memanggilku.
“Ya, atok”
“Mari mengaji dengan atok, atok nak semak bacaan kamu”
“Baiklah atok”
“Baca Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 10, baca dengan teliti”
“Baik atok, terima kasih ingatkan”
“Sadaqallahul Azim“
“Alhamdulillah, pandai cucu atok, atok nak ingatkan kepada kamu supaya baca Al-quran ni kena hari-hari selapas maghrib iaitu antara solat maghrib dan isyak, luangkan sedikit masa untuk baca Quran supaya hati kita menjadi terang” pesan datuk kepadaku.
“In Sya Allah baik atok, Nur akan sentiasa ingat selalu pesan atok”.
“In Sya Allah hendaknya”
“Dah jom kita solat Isyak, sudah masuk waktu ni”
“Baiklah”.
Setiap pesanan dan nasihat datuk kepadaku, aku simpan dalam memori ingatanku agar kelak dewasa aku akan cuba mengamalkan setiap nasihat yang datuk sampaikan.
***
Ya Allah! Sudah tiga kali aku tidak mengangkat panggilan daripada ibu. Lama betul aku mengalamun. Lekas aku mendail semula nombor telefon ibu. Agaknya ada perkhabaran yang ingin ditanya ibu.
“Assalammualaikum ibu”
“Waalaikumussalam, Nur pergi mana? Kenapa tak angkat panggilan emak” Tanya emak kepadaku.
“Nur agak sibuk tadi mak, tu yang tak perasaan ada panggilan”
“Ouh patutlah, ni kamu sihat ke? Dah makan?” Tanya emak kepada ku.
Aku hanya mempunyai dua beradik sahaja, adikku masih dibangku sekolah. Tahun ini dia bakal menduduki peperiksaan yang besar.
“Alhamdulillah sihat, Nur sudah makan tadi, mak dan ayah sihat ke?. In Sya Allah kalau tiada halangan, Nur balik minggu hadapan sebelum puasa”.
“Alhamdulillah sihat, baguslah kalau macam itu. Mak dan ayah pun nak buat kenduri tahlil untuk arwah atok kamu”
“Ouh, kalau macam begitu minggu depan kita jumpa ya mak”
“In Sya Allah. Baiklah, emak nak sambung buat kerja sikit ni, Assalammualaikum”
“Baik, Waalaikumussalam”.
Talian diputuskan. Saat ini kerinduan kepada keluarga tercinta di kampung semakin utuh dihati ini.
***
Awal pagi lagi aku sudah berada di perhentian bas untuk pulang ke kampung halaman, tiket bas aku pegang dengan rapi sambil melihat jam di tangan yang baru menunjukkan pukul 8.30 pagi. Kata petugas kaunter tiket, bas akan tiba tepat pukul 9.00 pagi. Dengan lafaz bismillah, bas menuju ke utara tanah air, tempat aku membesar.
Aku membuang pandangan ke arah luar tingkap melihat keindahan alam ciptaan Ilahi, sungguh tenang sekali. Sesekali aku melihat potret yang tersimpan kemas di dalam diariku, potret ini aku simpan untuk melepas rindu kepada insan yang telah tiada. Sesekali aku terbawa emosi menuai kenangan lalu. Walaupun rasa perit untuk diluah, tidak akan aku hendak mengolah takdir dalam erti kata lain aku harus reda.
Saat aku menyelak langsir ingatan, dada aku terasa berat sekali. Walau sudah tiga tahun berlalu perasaan pilu masih ada.
“Assalammualikum Nur, mak long, pak long!”
“Waalaikumussalam. Ya Allah! Kenapa ni Budi? Kenapa dengan kamu ni, dah macam kena kejar dengan anjing” kata mak long kepada Budi.
“Atok, Mak long” jawab Budi termengah-mengah sambil mengesat peluhnya.
“Ya, kenapa dengan atok?”
“Haa? Budi, kenapa ni?” tegur aku.
“Nur, mak long, atok sudah tiada, atok sudah meninggal”
Waktu itu ibarat dunia berpusing tanpa henti, kakiku lemah gemelai.
“Innalillah Wainna Illahi Rojiun” ucap ku dengan ibu serentak.
Aku menangis semahunya, tubuhku lemah saat mendengar khabar tentang berita kepulangan atok ke negeri abadi. Bumi ibarat berputar dengan laju, kepala aku terasa begitu berit sekali. Air mata tidak henti-henti membasahi pipiku. Jiwaku melayang saat mendengar keperitan itu.
Aku menjerit semahunya.
“Atok!”
Jeritan itu masih lagi tergiang-giang dicorong telingaku. Lalu aku rebah tidak sedarkan diri.
“Allah akhbar Nur!” Ibu menjerit cemas saat tubuhku rebah longlai.
“Mari tolong angkat Nur ke katil” pinta ibu kepada Budi waktu itu juga ayah baru pulang dari kebun.
“Allah! kenapa ni?” Tanya ayah kepada emak.
“Nur pengsan, bang”
“Sebab apa?”
“Ayah bang, ayah sudah meninggal dunia”
“Innalillah wainna Ilahi Rojiun“.
Saat aku tersedar, jenazah arwah datuk sudah siap dikafankan. Aku masih lagi terkejut dengan berita kematian itu. Bagaikan satu mimpi yang panjang. Tetapi aku harus terima bahawa setiap insan tetap akan kembali kepada pencipta yang hakiki.
“Dik”
lamunan ku terhenti di telan kabus kenangan. Saat pemandu bas itu mengejutkan aku dari lamunan.
“Kita sudah sampai ke destinasi yang dituju, kamu turun dekat terminal sini ke” Tanya pemandu tersebut kepadaku.
“Ouh ya betul, terima kasih ya”
“Baik, sama-sama”.
Alhamdulillah sampai juga di tanah kelahiranku, “Atok..Nur sudah sampai” bisik hati kecilku. Di sinilah tempat aku membesar dan tempat aku bermain. Kampung ini juga yang sentiasa datuk membawaku berjalan bersama basikal tuanya.
***
Seusai solat isyak, bacaan yassin dan tahlil arwah berjalan dengan lancar sekali. Ramai yang turut hadir ke kenduri tahlil tersebut. Aku tersenyum sendiri saat melihat sanak saudaraku, lebih satu dakat aku tidak bertemu dengan mereka. Lagi pula, aku hanya pulang pada cuti semester sahaja. Waktu beginilah masa untuk berkumpul ramai-ramai dan bertanya khabar.
“Alhamdulillah kenduri kita berjalan dengan lancar”
“Nur, esok ada mahu kemana-mana ke?” tanya emak kepada Ku.
“Nur ingat nak ziarah pusara arwah atok, sejak sambung belajar ni jarang sekali dapat ziarah kubur arwah atok”.
“Baguslah macam tu, boleh kamu bersihkan kubur arwah”.
“In Sya Allah mak, boleh nanti Nur tolong bersihkan” kataku kepada emak.
“Baiklah mak, Nur masuk tidur dulu ya esok nak ke kubur lagi”
“Baiklah”.
Aku membuka jendela biliku, aku memandang ruang langit yang terbentang luas dengan rasa kagum sekali. Malam begitu indah ditemani kerlipan bintang-bintang di langit, aku rasa tenang sekali saat melihatnya. Aku hamparkan badanku di katil, mataku terkebil-kebil sukar untuk lelap. Aku melirik jam di dinding, jarum menunjukkan tepat pukul 12 malam. Bunyi burung hantu di luar memecahkan kesunyian malam.
Tiba-tiba langsir ingatan mengajakku untuk kembali ke masa lalu. Waktu kecil dahulu, datuk sering membacakan sebuah buku cerita sebelum tidur.
“Atok, tolong bacakan buku ni, Nur nak dengar” aku berlari menuju ke arah datuk.
“Boleh, mari sini atok bacakan, wahh menarik tajuknya Sang Kancil yang Pintar”
“Jom kita mulakan” atok baca dengan nada yang riang sekali.
Aku bersorak keriangan saat datuk menunjukkan pelbagai aksi ketika membaca buku cerita tersebut.
“Lalu Sang Kancil pun hidup dengan aman di hutan rimba tersebut bersama rakan-rakannya yang lain, Tamat” datuk membaca helaian yang terakhir pada buku cerita tersebut.
“Yeay, habis” kataku kepada datuk.
“Pengajaran dalam buku tersebut ialah jangan jadi orang yang bodoh sombong sebab nanti bila kita memerlukan bantuan ditakuti ramai yang tidak mahu membantu, jadilah orang berhati mulia apabila ditegur terima dengan lapang dada seperti Sang Kancil yang Pintar” Pesan datuk kepada aku.
“Baiklah atok, Nur akan sentiasa ingat semua nasihat atok”
“Dah pergi masuk tidur, esok nak kena bangun awal”
“Baik atok”.
Malam itu, aku tidur dengan lena sekali bersama kenangan yang indah. Kenangan yang akan ku simpan sampai bila-bila.
Cuaca amat segar sekali pagi ini, aku hirup udara yang bersih sepuas-puasnya. Angin gunung menyapu lembut pipiku, ruang redup dan damai basah itu membuatkan hati semakin sayu dikerat hari. Aku sudah sampai di tanah perkuburan untuk ziarah pusara arwah datuk. Kelopak mataku semakin penuh dengan kolam air mata, hatiku sebak tidak keruan saat aku jejak di pusara insan yang aku rindu.
Pusara datuk masih merah lagi tanahnya, bunga yang tumbuh diatas pusara tersebut tumbuh dengan mekar sekali. Sesekali aku bersihkan dedaun kering bertaburan di sekeliling pusara itu. Setelah itu, aku sedekahkan Al-fatihah buat insan yang aku sayangi agar tenang di alam sana.
Air mata aku mengalir dengan deras saat terimbau kenangan pahit dan manis bersama datuk. Tidak akan ada lelaki lain yang boleh mengantikan tempat datuk di hati ini kerana peribadi dan sikap kasih sayangnya yang membuat dia disegani oleh orang sekeliling.
Sebelum melangkah meninggalkan pusara datuk, aku memerhatikan di sekelilingnya. “Tempat ini akan ku ziarah lagi” bisik hati kecil. Tetapi tempat ini juga akan menempatkan aku juga kerana setiap insan yang bernyawa didunia akan diakhiri dengan kematian. Maka, hati ku ini sikit demi sedikit reda atas pemergian insan yang aku sayang.
“Terima Kasih atok untuk semua nasihat dengan memori pahit manis yang kita sama-sama ukir”
Aku meninggalkan tanah perkuburan itu dengan seribu keikhlasan dan reda dalam hati. Aku membuka lipatan kertas yang atas nya tertulis sebuah puisi.
Basikal Usang
Awan mendung berarak pergi
Dedaun kering berterbangan ditiup angin bayu
Ku kayuh basikal usang bersama pucuk pengharapan
Kini dia telah pergi
Telah pergi buat selama-lamanya.
Ku coret setiap cerita bersama tandus kerinduan
Kerinduan pada insan yang telah tiada sangat sakit rasanya
Ku bisik pada atma ini agar reda dengan ketentuan Ilahi
Sayup ku minta kepadaMu Ilahi agar pelihara hati ini.
Basikal usang itu ku tatap lagi
Terdengar suaranya bagi mimpi datang lagi
Ku mohon supaya hati ini reda yang telah pergi
Biar ku simpan kenangan agar is tidak lapok lagi
Walau dunia Kita berbeza
Kerinduan ini masih terpahat lagi
Selamat tinggal basikal usang
Moga kenangan ini tidak sentiasa tersemat dihati.
Aku simpan semula ia didalam sampul ingatan. Moga-moga abadilah ia di akhirat sana. Selamat tinggal, aku akan mengenangmu sampai hujung nafasku.
-Tamat-
Nukilan,
Nur Ashikin Binti Ahmad Laduni