Orang Melayu tidak memiliki perayaan budaya. Jika ada ia telahpun terhapus oleh proses sejarah, kemasukan Islam dan kolonialisiasi. Hanya dua perayaan yang diraikan oleh keseluruhan orang Melayu, kedua-duanya dimuarai oleh Islam – agama mereka satu-satunya. Aidilfitri dan Aidiladha. Kedua-duanya dinamai sebagai Hari Raya yang bermaksud sebagai Hari Besar. 

Istimewanya perayaan Hari Raya Aidilfitri ini disambut dengan celupan adat, budaya dan pembawaan orang Melayu sendiri yang melankolik. Perasaan mereka dapat diselami dalam karya seni yang ditumpahkan oleh para pujangga dan seniman. Lagu-lagu raya mereka dipenuhi nuansa kehijauan, kedamaian, keakraban, kerinduan, kecintaan kepada keluarga dan kampung halaman sahabat handai dan sanak saudara. 

Islam menganjurkan Aidilfitri untuk diraikan dengan berpakaian terbaik, memakan manisan, bermaaf-maafan, menjamu dan meraikan persaudaraan. Syariatnya berkuatkuasa daripada penggal terbenamnya cakera matahari sepenuhnya ke dalam peraduan, dilaungkan azan sebagai syiar ketibaan bulan syawal dan berlabuhnya Ramadan sehinggalah sebelum masuknya waktu zohor atau tergelincirnya matahari keesokannya harinya.

Di Tanah Arab, mereka cukup merayakan dalam penggal waktu itu. Ruas yang sederhana itulah mereka rayakan seadatnya seperti dianjurkan sunnah Nubuwwah sudah cukup memadai bagi mereka. Khabarnya mereka menjamu manisan, bertakbir, bertahmid sepanjang perjalanan menuju ke kawasan solat sunat Aidilfitri, memakai pakaian terbaik dan berwangi-wangian. Sepulangnya daripada solat, mereka menjamu selera dan kemudian menyarung pakaian seperti hari-hari biasa. 

Istimewanya bagi anak Nusantara di sini, mereka memberikan lebih pada perayaan yang mereka dipinjamkan daripada Islam. Ironi sekali perayaan yang datang bersama masuknya interaksi antara kebudayaan Arab Islam dengan kebudayaan Melayu itu diberikan bonus.

Julat waktu mengambil sebulan bahkan lebih. Berbaju terbaik melekat ditubuh sampai ke malam bukan sekadar hari pertama bahkan setiap hari dalam bulan Syawal atau tergelincirnya sedikit memasuki Zulkaedah. Tidak cukup di rumah, kantor-kantor kerajaan dan gudang-gudang perniagaan malah turut dirayakan. Hiasan memenuhi panorama luaran. Bunga ketupat, manggar, sampul dan kad raya bergantungan menambah seri dan menambah indah hari kebesaran. 

Ia sebagai lanjutan daripada bulan-bulan pemanas badan dalam Ramadan yang malamnya dilimpahi cahaya pelita ke tengah halaman. Kesunyian dipecahkan oleh lantunan selawat, wirid mengiringi tarawih. Alunan al Quran menuruti sahut bersahutan di antara puncak menara masjid dan surau yang memagari desa dan taman-taman perumahan di Kota Raya. Semua ini menjadi jamuan hawa pancaindera yang dapat dicicip di mana-mana sahaja di belahan bumi Melayu ini. 

Apa yang menjadikan kita begitu? Lihat dalam lirik lagu Dendang Perantau ;

Di hari raya

Terkenang daku kepada si dia

Kampungku indah nun jauh di sana

Ayah serta bondaku

Di tepian mandi

Danauku hijau yang aman damai selalu

Nun di sanalah tempat aku bertemu

Aku dan dia

Di sana kita mengesan adanya keindahan kampung halaman, dibalik berbalam-balam gunung dan danau hijau, dua hati menumpang teduh di balik lembayungnya. Mereka pula telah keluar merantau, berpergian daripada kampung halaman, bila sesekali mendapat peluang pulang daripada mengadu untung di rantau orang, segala kenangan apabila melihat danau hijau dan hamparan kedamaian di desa itu akan segera menerjang. Tumpahlah dalam lirik yang mengharukan itu. lagu raya ini sampai sekarang kekal dalam carta selepas lebih separuh abad usianya. 

Rakaman lirik-lirik lagu ini adalah paparan perasaan yang tersimpan, emosi dan batin para lelulur orang Melayu waktu itu. Era piring hitam 50-60 an, lagu-lagu seperti Dendang Perantau, Suara Takbir, P.Ramlee, Selamat Hari Raya, Ahmad Jais dan angkatan selepas mereka seperti Aidilfitri, Sanisah Huri, Pulanglah, Aishah sungguh sentimental.

Kisah kubang sawah, perigi bondar, padi berjenjang, laman jerami, nyiur melambai, danau hijau, gunung timbunan kabus, tempat riuh burung menciut. Kecintaan, kerinduan, kemesraan, kasih sayang kepada orang terdekat adalah rakaman alam khatulistiwa dan ramah tamah masyarakat taninya. Lalu, apabila ada yang jauh merantau, bayangan kota kampung yang permai itu sentiasa menggamit rindu. 

Kisah keterikatan perantau dengan kampung halaman dan saudara mara amat erat. Keeratan ditalikan pula oleh suasana alam yang indah. Dalam masyarakat interpersonal dahulu, hubungan saling mengenal. Satu kampung adalah sebuah keluarga besar. Mereka saling kenal mengenal, hormat menghormati, hargai menghargai. Diibaratkan ‘beranak seorang, menjaga ramai’.

Dalam sebuah keluarga, maruah diri mereka bukan tanggungjawab kaum keluarga sahaja, malah sebuah desa terlibat sama. “Malu tidak boleh diagih, suku tak boleh dianjak” – begitulah pepatah atau perbilangan dalam masyarakat adat perpatih tentang keharusan memelihara malu. Ia dilindungi oleh seluruh sanak kerabat sehalaman sepermainan, seperigi, sepermandian. 

Namun, peralihan masyarakat daripada ekonomi pertanian kepada ekonomi industri telah merampas keindahan itu. Alam sosial ikut berubah. Bahasa dan kata yang berjalan di celah-celah melodi tidak lagi memaparkan ketinggian akal budi. Lirik yang ditumpahkan pada irama dan lagu telah berubah wataknya, tidak ramah dan merdu. Kampung telah diubah alam fizikal daripada sungai jernih jadi kota batu.

Pandangan terhadap nilai telah dirempuh materialisme dan bawaan gaya urban. Tiada lagi karya seni kotemporari untuk hari raya yang sesuai dihidang bersama ketupat – rendang, lemang – pulut – penganan yang malar segar, ramah dan yang sesuai dengan citarasa khatulistiwa. Nantikanlah hidangan lawak bodoh, kurang beradab disumbat dalam halwa telinga semasa hari raya di media arus perdana. 

Hari ini nilai tambah yang hakiki membesarkan hari raya itu ialah ilmu-ilmu Islam. Dengannya kita bebas daripada taklid. Malam-malam 10 terakhir Ramadan yang sebelumnya disibukkan dengan mencari kuih raya, baju raya dan perabot menghias rumah semakin disibukkan dengan qiamullail dan tadarus al Quran.

Sunnah menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha telah banyak ditusuk kembali menurut ajaran Islam. Dahulu, akses kepada pengetahuan tidaklah seluas hari ini, masyarakat hidup dalam suasana homogen dengan celupan adat dan budaya setempat yang kuat.

Kini masyarakat metropolitan, kosmopolitan dengan pimpinan agama pada kebanyakan keadaan hatta pada pemilihan sektor hiburan di media massa menguasai hari raya kita. Tetapi, janganlah sampai dihalang, atau ditentang faedah, keakraban, keindahan dan kehangatan persaudaraan seperti yang ditunjuki oleh orang Melayu sebelum kita. Kekalkan kemesraan, hormat menghormati, ramah tamah, sapa menyapa dengan nilai-nilai akhlak Islam, takbir, tahmid, memelihara akhlak dan saling pula mendoakan. 

Hitung juga dalam doa agar pandemik covid-19 dan kerosakan oleh penguasa curang yang menceroboh ketenteraman rakyat segera hilang agar hari raya dengan nostalgia lama dan nilai tambah agama dapat dipindahkan ke ribaan semula. 

Saya rakamkan di sini supaya kita sanggup mengenang, kekayaan silam yang telah mulai hilang.

“Sopan santun, ramah tamah, hormat menghormati, harga menghargai, sakit pening jelang menjelang, seaib semalu, maruah sama dijaga, bahu membahu saling membantu. Jika tetamu berkunjung datang, segalanya mahu dihidang, manis wajah mengiringi, besar jiwanya memenuhi, hangat budinya dirasai. Kaya dan miskin bersempadan pangkat cuma, dalam majlis dihimbau sama, sehela nafas dalam ikatan bersama. Mereka miskin harta tapi kaya cinta. Mereka kaya harta dan tidak miskin rasa. Semua bersekutu merayakan persaudaraan. “

“Di mana tersimpan semua ini? Katanya milik ‘kampung’. Di manakah diamnya kampung itu? Di balik nyiur melambai? Di danau kebiruan, di cerobong asap jerami? Di biduk nan berlayar, di kali mengalir tenang, atau di balik lukisan hilang? Ditelan zaman yg edan. Dilulur tangan perosak. Olehnya kedamaian dirompak”


Semoga raya kita akan terus dibesarkan menurut syariat dan alur dan patut dan nilai-nilai luhur.

Selamat hari raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Disediakan oleh,

Muhamad Hanapi b. Jamaludin 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.