Pada hari ini, aku melihat rakan aku telah berkahwin dengan rakan sekelasnya setelah hampir 10 tahun mereka bercinta. Aku sekadar mengucapkan tahniah dan mendoakan mereka sentiasa bahagia.
Menginjak usia 20 tahun, aku akui adakalanya aku berasa kesunyian dan memerlukan kehadiran seorang lelaki di sisi. Fitrah manusia yang ingin berkasih sayang. Ramai orang mengatakan aku wanita yang sukar didekati kerana prinsip yang ada dalam diri aku. Aku cuma mampu berdoa agar Allah swt menemukan aku dengan seorang lelaki yang tepat. Itulah doa aku seusai sujudku di tikar sejadah.
Cinta itu sebenarnya apa?
Pendapat aku, cinta itu adalah menerima segala kekurangan dan kelebihan yang ada pada pasangannya. Namun, aku akui ada sebahagian lelaki lebih memandang kecantikan seorang wanita untuk dijadikan suri hati dan ada yang menjadikan kekayaan itu sebagai ukuran sesebuah hubungan.
Hiduplah sesukamu maka sesungguhnya kamu akan mati. Cintailah sesuatu sesukamu maka sesungguhnya kamu akan berpisah. Berbuatlah sesukamu maka sesungguhnya kamu akan bertemu dengannya.” –
Hadits riwayat Hakim
Jika direnung kembali kisah percintaan Nabi Muhamad s.a.w dan Siti Khadijah r.a, wanita itu dipilih kerana rupanya, kekayaannya dan juga akhlaknya. Namun, sebaik-baiknya pilihlah wanita yang beragama agar dapat melahirkan keluarga yang tenteram, cinta dan kasih sayang.
Mengapa aku seorang wanita yang sukar menuturkan cinta?
Aku seorang wanita yang sukar menuturkan cinta kerana aku ingin memilih seorang lelaki yang mempunyai agama yang baik dan matang pemikirannya dalam mengemudi bahtera rumah tangga kelak.
Dari Anas ra. Nabi Muhammad SAW yang bersabda:
“Tidak sempurna keimanan seorang dari kalian, hingga ia mencintai untuk saudaranya sebagaimana ia mencintai untuk dirinya sendiri.” [H.R Bukhari No. 13 dan Muslim No. 45]
Sebaik-baiknya belajarlah mencintai diri sendiri terlebih dahulu sebelum mencintai orang lain. Belajarlah untuk mencintai Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum mencintai manusia karena apabila dengan mencintai diri sendiri membuatkan diri kita semakin matang dalam kehidupan.
Perempuan dan lelaki perlu bijak dalam memaknakan cinta yang hakiki. Walaupun jiwa dan hati sunyi tanpa kasih seseorang, tetaplah berdoa agar dikurniakan pasangan yang mampu membimbing keluarga hingga ke syurga dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Ilahi. Itu sahaja pintaku didalam setiap doa dan harapan. Jodoh dan cinta itu misteri kerana ada jodoh yang membawa kepada kebahagiaan dan ada jodoh yang membawa kepada kesengsaraan.
Biarlah aku menjadi wanita yang sukar menuturkan cinta agar aku tidak mudah dimainkan perasaan dan jiwa. Aku tidak mahu air mata aku ini tumpah disebabkan lelaki yang menggores lumat hati ini. Aku mahu lelaki yang bisa menjagaku seperti figura ayahku.
Biarlah aku menjadi wanita yang sukar menuturkan cinta kerana aku bukan wanita yang lemah perasaannya dan aku bisa teguh berpendirian. Rasulullah bersabda:
“Barangsiapa yang mencintai karena Allah, membenci karena Allah, memberi karena Allah dan tidak memberi karena Allah, maka sungguh telah sempurna Imannya.” [H.R. Abu Dawud dan At-Tirmidzi]
Biarlah aku dan si dia saling mencintai kerana Allah s.w.t. Biarkan aku menjadi wanita yang sukar menuturkan cinta…
Nukilan,
Nurizzati Hazwani