Setiap anak yang lahir di dunia ini sama ada perempuan ataupun lelaki, masing-masing mempunyai keistimewaannya tersendiri. Diantara anak lelaki atau perempuan, siapa yang lebih sukar untuk dijaga? Mendidik dan menjaga anak-anak lelaki atau perempuan pasti ada cabarannya tersendiri.
Pada zaman yang serba moden ini, pasti ibu bapa lebih sukar dan tercabar untuk menjaga dan membimbing anak perempuan berbanding dengan anak lelaki mereka kerana fitnah perempuan lebih besar berbanding lelaki. Lihatlah aplikasi-aplikasi yang semakin bermaharajalela di media sosial seperti Tik Tok, Instagram dan sebagainya, majoriti penggunanya daripada kalangan kaum perempuan.
Perasaan saya bercampur-baur antara terkejut, marah, sedih dan kecewa apabila melihat perempuan-perempuan yang masih lagi muda tanpa perasaan malu bergelek-gelek dengan tarian yang memberansangkan kaum lelaki demi mengaut pengikut yang ramai.
Anak-anak perempuan semakin hilang sifat malunya dengan auratnya terdedah dan pergaulan yang tiada batas. Ada pula perempuan yang sanggup menggadai maruah diri semata-mata mahukan harta dunia. Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan isu anak-anak gadis Melayu terlibat dengan langganan “sugar baby”.
Allah SWT telah menjanjikan keuntungan yang besar bagi ibu bapa yang sabar dalam menjaga dan mendidik anak perempuannya. Rasululllah s.a.w bersabda,
“Sesiapa yang diberati dalam menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” [HR Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi].
Oleh itu, janganlah bersedih kerana Allah SWT telah berjanji akan melindungi ibu bapa dari azab api neraka jika mereka bersabar dalam mendidik anak perempuan mereka. Setiap pengorbanan ibu bapa akan terbalas dengan syurga Allah SWT.
Intihanya, jangan beranggapan bahawa anak perlu dididik setelah mereka mencapai akil baligh. Didiklah anak-anak dengan agama dan akhlak sejak mereka dilahirkan lagi kerana ketika itu mereka di dalam fasa fokus yang tinggi. Apabila mereka beranjak dewasa kelak, mereka telah bersiap sedia untuk menghadapi apa jua situasi di akhir zaman ini. Bak kata peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Disediakan oleh,
Shafiyyah Mei
Hantar karya anda di emel [email protected].