Pertama kali mendengar syarahan beliau tentang kalimah bismillah daripada koleksi kitab Risalah an-Nur, saya terkesima dan otak saya ligat berfikir bahawa ulama ini pasti lain dari yang lain kerana sudut pandang yang diketengahkan sangat berbeza dan belum pernah saya dengar sebelum ini. Saya tidak senang duduk dan terus mencari identiti penulisnya dan latar belakangnya. 

Beliau ialah Imam Badiuzzaman Said Nursi atau lebih dikenali sebagai Said Nursi. Seorang ulama besar dan mujaddid ummah yang berasal dari Turki. Mendapat gelaran Badiuzzaman (kekal unggul sepanjang zaman) kerana peribadinya yang unik dan lain daripada yang lain. Beliau telah menghafaz al-Quran sejak berumur 14 tahun. Bahkan beliau mampu memahami dan mengingati pelbagai jenis cabang ilmu yang rumit dan tidak sepadan dengan usianya yang masih kecil.

Said Nursi menguasai ilmu di dalam pelbagai bidang seperti tatabahasa arab, sastera, fizik, sains, matematik, sejarah dan banyak lagi. Allah SWT menganugerahkan kepandaian akal dan ketajaman fikiran kepada beliau sehingga dirinya seakan-akan sebuah ensiklopedia besar yang berjalan di muka bumi. 

Didikan yang diterima oleh beliau sejak sebelum kelahirannya lagi. Ayahnya merupakan seorang alim yang bernama Mirza. Manakala ibunya seorang wanita solehah yang bernama Nuriyyah. Kedua-dua ibu bapanya merupakan keturunan Nabi Muhammad SAW.

Mirza merupakan seorang pengembala haiwan ternakan. Setiap kali Mirza ingin membawa haiwan ternakannya ke padang, beliau akan mengikat mulut haiwan tersebut agar tidak meragut rumput-rumput di jalanan kerana dikhuatiri tidak diizinkan oleh pemiliknya. Beliau risau sekiranya hasil makanan itu akan mempengaruhi keberkatan rezeki yang diterimanya nanti.

Begitu juga ibunya, Nuriyyah yang sentiasa ingin berlama-lama ketika menyusukan anaknya dan berada dalam keadaan berwuduk setiap kali menyusukan Imam Badiuzzaman dan anak-anaknya yang lain. 

Bercerita tentang Said Nursi, sering bermain di fikiran saya adalah tentang gagasan beliau untuk menyelamatkan ummah yang sedang terlena daripada sebuah kebakaran yang sangat marak. Serangan pemikiran yang sangat dahsyat yang diibaratkan seperti sebuah kebakaran besar yang menimpa umat Islam ketika itu. Oleh itu, beliau menulis koleksi kitab Risalah an-Nur. Said Nursi menyifatkan kitab tersebut sebagai ubat yang diambilnya daripada farmasi al-Quran. 

Sebuah ilham yang dikurniakan Allah SWT kepada Said Nursi untuk mengenalpasti jenis-jenis penyakit maknawi yang dihidapi oleh umat akhir zaman. Penawarnya bukan sahaja berdasarkan pemahaman tentang dalil al-Quran, bahkan memberi jawapan dan kepuasan logik akal. 

Secara jujurnya, saya akan berasa sebak setiap kali mengingati perjalanan hidup Said Nursi yang penuh dengan ranjau. Diracun, dipenjara, dibuang daerah bahkan dipulaukan hanya kerana menyebarkan kefahaman akidah kepada umat Islam. Keseluruhan hidupnya diwakafkan ke jalan Allah SWT demi membuktikan bahawa al-Quran adalah matahari maknawi yang tidak akan padam dan tidak akan pernah dapat dipadamkan. 

Kejatuhan khilafah Uthmaniyyah pada zaman itu memberi kesan hitam yang menyakitkan kepada umat Islam. Mereka dilarang dari memasuki premis awam sekiranya menutup aurat, azan dilaungkan dalam bahasa Turki, hak kebajikan mereka dinafikan kerajaan, dilarang membaca al Quran, masjid ditutup dan ditukar menjadi kandang binatang dan banyak lagi jika ingin disenaraikan. 

Berkat kesabaran mereka ditekan pemerintah zalim, penulisan beliau iaitu Risalah an-Nur tersebar ke seluruh pelusuk dunia pada hari ini. Karyanya telah diulang cetak, diterjemah kepada banyak bahasa dan disyarahkan oleh para ilmuwan. Bahkan ramai yang telah mendapat manfaat daripadanya. 

Fiman Allah S.W.T di dalam surah as- Saff ayat 8;

يُرِيدُونَ لِيُطْفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفْوَٰهِهِمْ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْكَٰفِرُونَ 

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

Ketika mahkamah ingin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepadanya, Said Nursi dengan berani dan lantang menjawab:

“Aku mengutuk perbuatan kalian yang telah mengkhianati kesemua masyarakat Muslim pada hari ini. Sesungguhnya, aku telah mempersiapkan diriku untuk berangkat ke negeri akhirat. Dan aku akan pergi bersama-sama dengan mereka yang juga merindui akhirat seperti aku. Maka hantarlah aku segera ke negeri akhirat dengan apa jua bentuk yang kalian katakan hukuman atau azab. Sekiranya aku memiliki seribu nyawa, aku bersedia mengorbankan kesemuanya demi satu hakikat syariat, kerana syariat adalah punca kebahagiaan, keadilan, dan jalan yang terbaik adalah dengan mengikuti syariat.” 

Hari ini, kita menjadi saksi manisnya Islam dan iman hasil daripada kepintaran ulama terdahulu yang telah bersusah payah, berjerih badai demi mempertahankan akidah dan menyebarkan kefahaman Islam. Semoga kita juga diberikan kekuatan yang sama dan berusaha lebih lagi untuk menyelamatkan akidah diri dan masyarakat. 

“اللهم أجرنا من فتنة أخر الزمان.”

“Ya Allah, lindungilah kami dari fitnah akhir zaman.”

Disediakan oleh,

Imani


Hantar karya anda di emel [email protected].

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.