Orang kata, jika mahu mendapatkan pengalaman yang luar biasa, tidak cukup sekadar pergi mengembara. Tetapi perlu pula membawa pulangan hasil dan tangkapan untuk disajikan kepada anak bangsa. Inilah yang dilakukan oleh salah seorang penulis kelahiran anak negara Malaysia yang bertungkus lumus menajamkan pena demi merakamkan kisah-kisah pengembaraan sepanjang berkelana.
Seteguh Gunung Fuji berdiri merupakan buku kembara penulis iaitu Mohd Hariri Mohamad Daud bersama rakan-rakan seangkatan yang lain di Jepun. Kembara penulis bermula setelah terpilih mengikuti kursus profesional, Japan-East Asia Network of Exchange For Students and Youths (JENESYS) di bawah tajaan Japan International Cooperation Centre.
Perjalanan penulis ke Jepun ini secara tidak langsung membawa diri saya sendiri menjejaki bumi Jepun yang di kelilingi perbezaan budaya, hembusan salji dan gugusan kepulauan yang banyak melingkar.
Ketika berkursus, penulis dibawa melawat ke beberapa tempat di Tokyo dan mereka disambut baik oleh keluarga angkat disana. Kumiko, ibu angkat penulis yang menguruskan tempat tinggal, makan dan minuman yang halal kepada yang hadir berkursus. Adat berkursus kebiasaan diundang membuat lawatan ataupun kunjungan ke tempat-tempat menarik seperti Kuil Shinto, wilayah Gunma dan kilang Sutera Tomioka Silk Mill yang tertua di Jepun.
Pengembaraan penulis ke negara Jepun atas dasar kursus ini dimanfaatkan apabila penulis menggali sejarah dan tapak-tapak ibadah serta warisan yang ditinggalkan kepada masyarakat Jepun. Lebih menarik lagi apabila penulis membedah setiap segi kualiti agama dan moral hidup yang terdapat di Jepun.
Umum mengetahui bahawa negara Jepun dikenali sebagai negara yang sangat membangun, canggih dari segi teknologi dan binaan. Rata-rata rakyat mereka menurut kata dan memiliki nilai etika yang mudah dipraktikkan tanpa desakan ataupun paksaan. Disebabkan faktor inilah, negara mereka maju ke hadapan dan berjaya dalam pelbagai industri.
Walau bagaimanapun, percutian singkat penulis selama beberapa hari ini telah membawa kita mengenali serba sedikit fakta berkenaan negara Jepun yang pernah menjajah Tanah Melayu sejak beberapa puluh tahun yang lalu. Di antaranya,
- Jepun mempunyai upacara tertentu ketika beribadat. Hal ini dibuktikan oleh penulis apabila setiap penganut yang memasuki sebuah Kuil Shinto perlu membuang duit syiling dan mematuhi rukun-rukun yang ketat tatkala kaki mulai masuk melangkah.
- Agama dilihat bukanlah suatu hal yang wajib diutamakan. Pendek kata, agama bukanlah segala-galanya bagi rakyat Jepun meskipun agama di Jepun dipelopori oleh agama Shinto dan Buddhisme.
- Orang Jepun mempunyai kepercayaan bahawa manusia itu suci dan tidak ada dosa dalam kehidupan. Kepercayaan mereka ini akhirnya membawa mereka ke tali gantung sebagai penyelesaian muktamad kerana tidak meyakini kewujudan Allah sebagai pencipta.
- Keunikan rumah tradisional di Jepun. Sebagaimana yang dikatakan oleh penulis, Jepun mempunyai ciri-ciri seni bina yang begitu unik dari sudut hiasan dalaman rumah. Terdapat ukiran yang menghiasi celah-celah dinding. Jika kita melihat dari kaca televisyen pun, orang Jepun memiliki satu tabiat yang baik iaitu menanggalkan kasut ketika masuk ke dalam rumah.
- Istilah orang Jepun. Salary Man ialah istilah yang digunakan di Jepun untuk pekerja yang bekerja sehabis tenaga kepada syarikat berkenaan. Jarang sekali para pekerja Jepun mengambil cuti. Penduduk Jepun memiliki sikap dan semangat yang rajin dalam bekerja sesuai dengan tuntutan Islam yang mengajarkan umat Islam untuk rajin dalam bekerja.
Seperkara yang mencuri perhatian saya iaitu Jepun memperkenalkan dasar Cuti Putus Cinta bagi para pekerja yang sedang terkesan jiwanya. Tujuannya untuk mengelakkan gejala mabuk dan sakit kerana cinta. Hal dapat dibendung dengan cara memberikan cuti kecemasan secara mendadak! Nyata, Jepun sekali gus menjaga jiwa rakyatnya.
Selain itu, kembara yang dikongsikan oleh penulis membuatkan saya berfikir sejenak apabila bahasa Jepun dinobatkan sebagai bahasa paling sukar di dunia. Melihat tulisan seakan-akan garis-garis halus agak mustahak memandaikan manusia secara singkat dan memerlukan latih tubi agar mampu difahami dengan jelas.
Hal ini jdemikian merupakan petunjuk terbesar daripada Allah ta’ala yang menciptakan manusia daripada kepelbagaian bangsa dan bahasa seperti yang termaktub dalam Surah Al-Hujurat ayat 13.
“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”
Disamping itu, latar belakang Jepun mempunyai citra yang berlainan sehingga meletakkan Jepun sebagai negara yang serba boleh. Kedatangan Islam di Jepun juga adalah disebabkan faktor migrasi dari luar negara yang perlahan-perlahan berpindah ke Jepun. Penyebaran Islam tidaklah begitu luas kerana Islam bukanlah agama rasmi di negara Jepun. Namun, Islam subur dan diterima tanpa percanggahan daripada mana-mana pihak.
Perbezaan dan kecerdikan rakyat Jepun merupakan tangga kemajuan dalam negara Jepun. Hatta, usaha rakyat dan kepimpinan seorang ketua yang mentadbir juga menyumbang kepada kestabilan dan hala tuju sesebuah negara. Meskipun terdapat kepincangan dari segi perbezaan agama di Jepun, namun perbezaan itu tidak menghalang manusia mencontohi sikap dan kerja keras yang akrab dalam kalangan masyarakat di Jepun.
Menurutku, karya ini meledakkan lagi informasi berkaitan negara samurai yang amat sinonim dengan watak-watak animasi yang sering dipaparkan di kaca TV. Seteguh Gunung Fuji, sebuah naskhah yang harus dimiliki oleh pencinta-pencinta travelog kerana karya ini mengupas mengenai kebolehan, budaya, kesenian, jurang agama untuk kita mengikuti perkembangan yang terdapat di dalam negara ini.
Pengalaman daripada anak jati Malaysia iaitu penulis sendiri pasti memberi sedikit dapatan ilmu sepanjang terjahan penulis di negara sakura. Selain itu, karya ini juga dapat meningkatkan lagi kemampuan kita dalam menganalisis sesuatu yang ada di negara Jepun yang tidak terdapat di dalam negara kita.
Mengembaralah agar pancaindera kita terbentang lebih luas menyaksikan ciptaan dan keagungan Allah Yang Maha Perkasa. Sekiranya kita berada di tempat orang lain pula, jati diri kita mampu berdiri dengan teguh seperti teguhnya prinsip penulis sebagai rakyat Malaysia di Jepun, tidak mudah dicemari oleh doktrin-doktrin yang mengelirukan ataupun yang menyesatkan.
“Seperti Gunung Fuji yang senantiasa tegak berdiri, pengembaraan saya pada kali ini menginsafkan saya untuk semakin teguh memegang jati diri saya sebagai seorang muslim dan anak Malaysia.”
Kata penulis hal. 9, Seteguh Gunung Fuji Berdiri
Disediakan oleh,
Syuhara Suriati