Sekiranya mahu menyelami dunia para pengkhayal buku, saya sarankan karya ini menjadi rujukan santai buat penggemar buku yang tidak jemu dahagakan ilmu. Buku ini seoalah-olah membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak iaitu sekitar tahun 90-an. Tahun mengimbau semula detik-detik perkenalan saya dalam kecanduan buku.
Kertas-kertas yang Merubah Fikir merupakan sebuah naskhah yang menghimpunkan seramai 23 penulis daripada pelbagai latar belakang, mereka berkongsi pengalaman tentang minat membaca yang mulai terbit dan tumbuh begitu subur sehingga ke hari ini. Oleh kerana minat, hobi dan hala tuju yang sama mereka akhirnya disatukan di dalam Kertas-kertas yang Merubah Fikir.
Buku ini ialah terbitan edisi kedua dan dikemas kini mengikut kulit buku yang terbaharu. Penyampai dalam buku-buku ini juga terdiri daripada penulis-penulis Goodreads Malaysia yang aktif dalam membuat pencerahan mengenai buku.
Disertakan kata pengantar daripada Shaharom TM Sulaiman yang sangat mempesonakan menguatkan lagi keinginan untuk menyelak halaman seterusnya. Ditambah pula komen-komen positif daripada pembaca di awal muka surat yang menjelaskan dengan begitu sempurna betapa karya ini sedang menjadi buruan dalam kalangan pembaca.
Karya ini menyelongkar kisah-kisah penulis yang mulai berjinak-jinak mendekati buku seawal usia kanak-kanak sehinggalah memasuki alam pekerjaan dalam pelbagai bidang. Ramuan bacaan daripada penulis dalam menyuarakan nikmat cinta kepada buku sangat berlainan kelazatannya.
Menyaksikan penulis semakin rancak bercerita mengenai kisah-kisah yang unik sepanjang bergelut dalam dunia buku, membuktikan bahawa umat manusia ini tidak mampu meneruskan perjalanan tanpa menjadikan senaskhah buku sebagai teman seperjuangan.
Para penulis di dalam naskhah ini mempunyai sebab dan alasan mereka memilih untuk terjebak dan menceburi dunia pembaca buku. Walau bagaimana pun, selepas melakukan sedikit kajian daripada pengarang, saya dapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan minat membaca mulai tertanam dalam diri sang penulis.
Pertama, dorongan daripada keluarga yang memberikan contoh-contoh terbaik dalam menyediakan bahan bacaan untuk seisi rumah. Sedari kecil, mereka disajikan buku-buku yang bersesuaian. Tabiat ini perlu disemaikan secara berterusan agar minat membaca tidak mudah pudar.
Kedua, adanya kesedaran diri untuk memupuk tabiat membaca. Para penulis menyedari bahawa aktiviti membaca bukan sekadar mencari hiburan dan keseronokan. Sebaliknya, melengkapkan lagi ilmu di dada agar bertambah dari semasa ke semasa.
Ketiga, tujuan yang jelas untuk membaca. Tujuan yang jelas membolehkan bacaan terhadap buku itu diteruskan. Oleh kerana itu, pastikan kita memiliki tujuan membaca yang lurus dan benar seperti huraian daripada penulis di dalam karya ini.
Sebahagian para pengarang di dalam buku ini menceritakan betapa buku merupakan wadah ataupun alat untuk manusia mendapatkan sumber maklumat dan ilmu pengetahuan. Setidaknya membaca pengalaman dan sudut pandang daripada penulis yang berwarna-warni ini sesekali mampu mengajak orang ramai mulai tekun membaca.
Kata salah seorang penulis di dalam buku ini,
“Membaca itu sangat penting kepada kita. Secara simbolik, boleh kita gambarkan buku sebagai pintu kepada gedung-gedung ilmu. Namakan sahaja ilmu apa yang kita inginkan, pasti kita dapat. Dan kunci untuk membuka setiap pintu itu adalah dengan membaca.”
Kertas-kertas yang Merubah Fikir, hal. 155.
Saya berpendapat bahawa Kertas-kertas yang Merubah Fikir termasuk dalam kategori buku-buku bertemakan Bibliofil dan sudah semestinya setiap individu perlu memilikinya. Hal ini kerana,
1. Buku ini merakamkan pengembaraan penulis sepanjang bergelar pembaca buku yang ketagih terhadap karya-karya yang berbeza.
2. Resensi buku daripada para pengarang terhadap penulis-penulis profilik seperti Prof. Hamka dan lain-lain diolah mengikut buah fikiran dan idea yang kritis.
3. Mengajak seluruh masyarakat memanfaatkan bahan bacaan sama ada surat khabar, e-book mahupun bentuk fizikal yang ada di persada dunia dengan cara mengamalkannya agar tidak terus duduk ditakuk kejahilan yang merata-merata.
Sekalung tahniah diucapkan kepada para penulis kerana membantu masyarakat mengenali senarai buku-buku yang dipaparkan seperti Fiqh Al-Manhaji oleh Imam al-Syafie, Falsafah Hamka, Ihya Ulumuddin oleh Imam Ghazali dan lain-lain di akhir muka surat untuk menaikkan lagi kecenderungan membaca. Disebabkan sebuah buku juga, manusia beroleh petunjuk dan maslahat.
Saya menyeru kepada semua masyarakat agar menambahkan lagi bahan bacaan kita di rumah dengan mendapatkan karya ini di pasaran. Moga-moga kediaman kita dipenuhi buku-buku yang meningkatkan lagi kecerdasan minda dan ibadah kepada-Nya.
Intihanya, Kertas-kertas yang Merubah Fikir umpama makanan yang dihidangkan oleh tukang masak yang berbeza-beza. Lain orang, lain rasa dan cita rasanya. Berbagai-bagai rencah pengalaman dicampur dan digaul sehingga sebati untuk menguatkan lagi aroma serta baunya. Tinggal kita sahaja mencicipinya sehingga kenyang!
Disediakan oleh,
Syuhara Suriati