Air sungai beralun lunak berkilau-kilauan. Di pagi yang indah itu, menitis butir-butir embun. Oman masih di ruang kamarnya memikirkan sesuatu yang tiada penghujungnya. Otaknya berpusing-pusing memikirkan seribu satu macam aral. Anak matanya tertumpu pada sungai yang mengalir itu.

Ada kepedihan yang tidak tertanggung dalam jiwanya disusuli kerusuhan yang terus berbungkal di hati. Atmanya mula meronta-ronta. Air mata mula mencurah-curah di tubir matanya. Diteka sekuat hati agar tidak bertabur di pipi. Hatinya berketul dengan gumpalan penderitaan. Peristiwa lepas menggumpali perasaannya.

“Mak dan apak, Oman berjanji akan belajar bersungguh-sungguh demi nasib keluarga kita nanti.” Getus hatinya.

Gurat-gurat penderitaan lalu seolah-olah mengajar Oman erti kehidupan yang sebenar. Sebagai anak sulung dalam keluarganya, sifat bertanggungjawab dan berdikari mula terserlah dalam dirinya. Oman lebih matang jika dibandingkan dengan umurnya yang baru sahaja menginjak 17 tahun.

“Tokk..tokk..tokk..!”

Lamunan Oman tersentak tatkala pintu biliknya diketuk Mak Esah.

“Man…Mak dan apak nak ke kebun. Nasi dan lauk sudah mak hidang di atas meja. Jangan lupa tutup pakai saji bimbang lalat masuk.”

“Kejutkan Fahmi dan Amira untuk makan yer nak,” tambah Mak Esah lagi.

“Baik mak, hati-hati mak dan apak.”  Oman membalas dengan kuntum senyuman yang mekar di bibirnya.

Mak Esah sentiasa mengujarkan kata dengan lembut terhadap anak-anaknya tetapi penuh bermakna. Nasihat dan suntikan motivasi tidak pernah lekang di bibirnya. Baginya insan yang mulia akan sentiasa didakap ketenangan dalam hidup. Walaupun keluarga ini serba kekurangan tetapi semuanya tertutup dengan kasih sayang yang erat.

Meratapi Duka Belantara

Rutin pekerjaan Pak Darus dan Mak Esah mengerjakan kebun tanaman dan mengait buah kelapa orang-orang kampung untuk menyara keluarga. Kehidupan mereka ibarat kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Upah yang diterima sekadar RM400 sebulan masih cukup untuk menyara 6 beranak itu. 

Tiga tahun lepas, Oman dikejutkan dengan pemergian adik bongsunya Assan. Berita itu seumpama petir yang memanah hangus hatinya. Kanak-kanak lelaki yang berusia 5 tahun tergelincir jatuh ke dalam perigi. Assan ditemukan oleh penduduk kampung dua hari selepas itu. Hampir tidak dikenali wajah adiknya yang telah kembung itu. Dalam benaknya, Oman seolah-olah sentiasa menyalahkan dirinya sendiri. Bagaikan mimpi. Semuanya bagaikan mimpi. Oman masih tidak percaya bahawa Assan terlalu awal pergi menghadap illahi.

“Kalaulah aku teman adik bermain di luar, peristiwa ini tidak akan berlaku sama sekali.”Oman mengeluh.

Manik putih mula menempiasi pipinya. Air mata kesal tercalit pada wajahnya, benteng pertahanan emosi mulai rapuh. Nasi sudah menjadi bubur, perkara yang lepas tidak mampu diundur lagi. Peristiwa ini memberi tamparan hebat buat Oman. Selain arwah Assan, dia juga mempunyai dua orang lagi adik iaitu Amira dan Fahmi. 

Muhammad Osman bin Darus selesa namanya disapa dengan gelaran Oman. Ringkas sahaja. Mungkin dia rasa lebih dekat dengan semua orang jika berbuat demikian. Remaja yang pendiam dan suka menyendiri. Sikapnya yang gemar berjalan berseorangan sambil menundukkan muka seperti membilang langkah gontainya. Dia sedar akan kekurangan keluarganya. 

Titisan air, guruh atau petir tidak menjadi kudis kepada Oman. Dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan tidak pula menjadi barah kepadanya. Dia sudah biasa tinggal di kawasan pedalaman sejak kecil lagi. Bertemankan pelita tanah untuk menelaah pelajaran. Bermandikan jirusan air perigi dan air sungai yang seperti teh susu itu. Berdindingkan papan yang usang dan reput dimamah anai-anai bubus. Memasak berhembuskan corong buluh.

Semua sudah lali dalam kamus hidupnya. Pernah sesekali binatang berbisa seperti ular, kala jengking, lipan menyelinap masuk di celah-celah dinding rumahnya. Terbersit gundah di jiwa. Sungguh berisiko!

Pondok kecil itu dibina atas tapak kawasan kebun cili milik Pak Kamil. Terbina 12 tahun lamanya. Sebelum ini mereka tinggal bersama Nek Limah iaitu ibu kepada Mak Esah. Selepas pemergian Nek Limah, tanah itu telah digadai oleh adik beradik Mak Esah yang tamakkan harta. Mereka sekeluarga dihalau bagaikan orang asing. Terpaksa melepaskan sesuatu bagaikan setitis embun pada rumput yang dipaksa kering oleh sinar mentari. Mujur ada insan mulia seperti Pak Kamil yang banyak membantu keluarganya. 

Batu kegigihan mengepung waktu yang deras menerjah hari. Sejak peristiwa itu, Oman bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa orang tuanya. Cita-citanya setinggi langit. Oman tidak pernah menceritakan masalah yang dihadapi kepada sesiapa sahaja mahupun sahabat baiknya . Dia berfikiran bahawa orang sekeliling akan mula memandang enteng, mengejek dan membulinya sesuka hati. Lebih baik dia berdiam diri sahaja tanpa sepatah aksara.

Kelas Virtual

“Assalamualaikum dan salam sejahtera para pelajar 5 Omega. Semoga semuanya dalam keadaan sihat walafiat. Jangan lupa sentiasa pakai pelitup dan guna sinatasi yer,” ujar Cikgu Tukiman.

Kelas dalam talian menggunakan aplikasi Google Meet mendapat tempat di hati para pelajar 5 Omega. Barangkali kerana mudah untuk diakses. Cikgu Tukiman mula mengambil kedatangan para pelajarnya.

“Mana Muhammad Osman bin Darus?” tanya Cikgu Tukiman kepada para pelajar 5 Omega.

“Barangkali dia tertidur cikgu. Malam-malam asyik main PUBG dan Mobile Legend jer.” Ujar Chandra rakan kelas yang suka berceloteh. 

Masing-masing ketawa beramai-ramai. Kelihatan kelas virtual mula riuh rendah di pagi hari.

“Dah..dah.. bukan Chandra kalau tak meloyar buruk!” Ujar Cikgu Tukiman dengan nada tegas.

“Ini sudah masuk kali ketujuh dia tidak hadir kelas dalam talian. Peperiksaan SPM makin dekat! Cikgu pulak yang risau.”

“Ada sesiapa boleh hubungi Oman?” tambah Cikgu Tukiman lagi dengan nada mengharap.

Satu kelas membisu tanpa kata. Cikgu Tukiman selaku guru subjek Kimia 5 Omega berhasrat untuk menjejaki ke rumahnya. Benang kerisauan mula membelit kalbunya. Banyak pelajaran dan subtopik yang tertinggal. Bagaimana dia menjawab soalan peperiksaan nanti. Benaknya hampir pecah memikirkan hal ini. Memandangkan peperiksaan SPM berbaki 2 bulan lagi, dia risau akan prestasi Oman dalam akademik yang semakin merosot

Sudah sebulan tidak kelihatan kelibat Oman dalam kelas talian. Cikgu Tukiman seolah-olah mencari jawapan dalam kesamaran. Pelbagai pertanyaan mula timbul dan bersarang di jiwa. Sifat inkuirinya mula membuak-buak. Kelas 5 Omega seolah-olah suram dan tidak lengkap tanpa kehadiran Oman. Pelajar yang boleh dikatakan agak cemerlang dan mempunyai potensi yang besar dalam pelajaran.

“Agaknya Oman terasa dengan ujaranku dulu” keluh cikgu Tukiman

Terpancar riak keletihan pada wajah Cikgu Tukiman. Sungguh! Di waktu pandemik ini memberi pelbagai cabaran buat para guru dalam memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti kelas dengan baik.

Di mana Oman selama ini?

Hasrat Cikgu Tukiman untuk menjejakinya dipermudahkan apabila dia mula mengumpul segala maklumat peribadi tentang Oman.

” Alhamdulillah. Usaha murni ini dibuat agar Oman tidak ketinggalan dalam pelajaran.” Hatinya mula berbicara sayu.

Perjalanan selama 3 jam itu memberi pengalaman baharu buat Cikgu Tukiman. Merentasi semak samun dan laluan jalan yang amat becak mengundang pelbagai risiko yang tidak dijangka. Timbul kekesalan dalam hatinya selama ini kerana tidak pernah megerti dan mengambil tahu akan kesusahan Oman. Simpatinya mula tertunas di hati. Sepanjang perjalanan Cikgu Tukiman bermonolog antara hati dan perasaan. 

“Oman nampak ceria saja di dalam kelas, tidak banyak karenah, rupa-rupanya dia banyak berselindung selama ini.” Hatinya terus bermolonog.

Di sebelah timur, lembayung menyimbahi puncak bukit. Tepat jam 3 petang Cikgu Tukiman mula terpacak di rumah Oman. Dalam gementar resah dia mengejapkan kakinya. Oman seolah-olah terkejut dengan kedatangan Cikgu Tukiman ke rumahnya. Dia cuba mengendurkan rasa kegelihan ini.

Dengan suara yang tertahan-tahan digagahinya jua untuk bercerita penderitaan yang dialami selama ini. Selama ini, Oman membuat pekerjaan sampingan dengan menjual barangan yang boleh dikitar semula seperti besi buruk, tin aluminium, kertas, kaca dan plastik untuk meringankan beban yang digalas keluarganya.

Oman amat istimewa kerana memiliki tenaga swadaya yang jarang dimiliki oleh orang lain. Dia pandai membahagikan masa belajar dan bekerja dalam masa yang sama. Oman tidak dapat mengikuti kelas dalam talian selama ini kerana dia tidak memiliki alat peranti untuk menghubungkan kelas virtual tersebut.

“Cikgu, maafkan Oman banyak berahsia selama ini,” 

“Oman, biar sekeras mana kerikil yang dipijak, biar seganas mana ombak yang menghanyutkan diri, teruskan kehidupan ini dengan tabah dan yakin. Cikgu pasti Oman akan berjaya suatu masa nanti. Jangan jadikan kekurangan ini sebagai penghalang untuk Oman mengejar cita-cita,” ujar Cikgu Tukiman.

Benteng pertahanan emosi mulai rapuh. Di wajahnya sudah bermukim garis-garis yang muram. Di hatinya bercampur baur pelbagai perasaan. Air mata mula menitis di tubirnya . Dia cuba menahan penderitaan yang berkudis selama ini. Mata redupnya memancarkan seribu satu keperitan.

Bagi memastikan Oman tidak tercicir dalam pelajaran, Cikgu Tukiman mengambil inisiatif untuk membawa Oman tinggal bersama buat seketika. Bahan pembelajaran dalam talian dan alat peranti juga dibekalkan kepada Oman. Cikgu Tukiman berjanji akan menjaga Oman sehingga tamat peperiksaan SPM pada tahun ini.

Keprihatinan Cikgu Tukiman dalam memastikan anak muridnya ini tidak tercicir dalam pelajaran jelas terpancar. Berjiwa seorang murabbi sebenar mampu mengubah nasib anak bangsa. Hadirmu guru menerang kabur, menyemarak cita lalu membunga di jiwa. Sesungguhnya hidup ini memerlukan pengorbanan dan pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan dan ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula yang akan menentukan kejayaan.

“Perjuangan tidak akan berakhir, selagi ada ombak di lautan,” desis hati Oman.

Pak Darus dan Mak Esah bersyukur dan berterima kasih atas jasa dan kebaikan yang dicurahkan oleh Cikgu Tukiman kepada anaknya. Kata-kata Mak Esah masih terngiang-ngiang di benak.

“Cikgu, didiklah Oman sehingga berjaya kerana berbekalkan ilmu sahaja mampu mengubah nasib kami sekeluarga”, dengan nada yang sedih Mak Esah mengujarkan kata.

Bagi Cikgu Tukiman, Oman masih terlalu muda untuk mempersiakan dirinya sekadar untuk meratapi kesusahan hidup. Kini ibarat damainya sesudah gerimis dalam kehidupan. Cikgu Tukiman boleh dianggap guru adiwira dalam hidup Oman.

Sesungguhnya, kemiskinan dan kesempitan hidup bukan penghalang bagi seseorang untuk menjadi individu yang berjaya dan cemerlang dalam hidup. Apabila memiliki iltizam yang tinggi untuk berjaya dan sentiasa fokus dalam pelajaran, mereka juga mampu mengecapi kejayaan.

***

Nukilan,

Huzaifi M. A.


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.