Bicara soal kehilangan bukan mudah. Lebih baik memilih berdiam diri dan menyisihkan diri apatah lagi berbicara dari hati ke hati. Ada seorang sahabat berbicara, katanya takut untuk merasai peritnya kehilangan, apatah lagi melaluinya.
Hanya orang yang pernah kehilangan merasai rasa itu, hanya orang yang pernah kehilangan melalui rasa itu. Pertama kali merasai kehilangan bukan mudah melupakan.
Kehilangan ibu tersayang seketika dahulu membuatkan diri ini terduduk dan termenung memikirkan betapa hebat takdir yang ditentukan Tuhan. Malah, perkara yang tidak tersangka-sangka ini ibarat berasa hidup ini tiada makna. Kehilangan bukan perkara yang diduga apatah lagi diri sendiri mahu menghadapinya. Bukan mudah melepaskan hakikat sesuatu kehilangan, malah betapa peritnya perlu melalui saat-saat itu.
Ketakutan kehilangan itu perkara biasa, kadangkala berasa takut yang berlebihan sehingga hilang semangat dan kekuatan jika terpaksa melalui kehilangan tersebut.
Kehilangan harta benda mungkin boleh diterima tetapi apabila mula merasai kehilangan orang tersayang apatah lagi berpisah antara dua alam berbeza, bagaimana kita menghadapinya?
Melalui fasa kehilangan membuatkan hari-hari dilalui berasa kurangnya inspirasi hidup ibarat tercabutnya satu roh kegembiraan. Pada suatu ketika, aku tersentak bila teringat kata Tuhan,
‘manusia itu diuji setimpal kekuatannya’.
MasyaAllah, Tuhan Maha Berkuasa. Ketika ujian bertimpa-timpa, kita berasa sudah tidak disayangi Tuhan. Bukankah kita ini ciptaan terhebat Tuhan, masakan Tuhan tidak mengerti jika diri ini kuat atau lemah?
Jadi, mengapa kerap berduka? Oleh itu, kamu dan aku tidak usah kerap berduka, tidak usah kerap menyalahkan takdir Tuhan. Bukankah Tuhan sudah katakan kita ini kuat dan mampu? Apa lagi yang perlu digusar? Oleh itu, tinggikan kesabaran dan redamu. Terlalu banyak nikmat yang diberi Tuhan. Tetapi apabila diuji sedikit dengan kehilangan, kita terus menjadi hamba yang tidak bersyukur?
Sebenarnya, kehilangan itu bukan sia-sia. Betapa banyak nikmat Tuhan yang mengajar kita bahawa kehilangan itu bukan merugikan malah menguntungkan. Menguntungkan kerana mengajar erti nikmat syukur dan kekuatan. Ada sebab disebalik ujian Tuhan. Ada nilai disebalik air mata yang mengalir. Ada pahala disebalik musibah yang berlaku.
Kesat air matamu dan tepiskan segala keluh kesahmu. Senyumlah, ada khabar gembira daripada Tuhan yang menunggumu di hadapan.
Disediakan oleh,
Nurjamilah Abdul Hamid