Sememangnya insan yang berjaya di sisi Allah adalah orang-orang yang beriman atau dikenali sebagai orang mukmin. Namun, siapakah yang dimaksudkan dengan orang mukmin?
Maka Allah telah menerangkan tentang ciri-ciri orang mukmin di dalam Al-Quran iaitu di dalam surah al-Mukminun. Surah ini merupakan surah yang ke-23 di dalam Al-Quran yang terdiri daripada 118 ayat dan diturunkan di Mekkah. Surah ini dinamakan al-Mukminun kerana permulaan ayatnya sahaja sudah membahaskan berkenaan dengan sifat-sifat orang mukmin iaitu pada ayat 1-11.
Ayat yang pertama,
“قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ”
“sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman”.
Surah ini dimulakan dengan ayat pertama yang membawa gambaran bahawa orang-orang yang beriman adalah mereka yang beruntung dan berjaya di dunia dan di akhirat.
Kemudian di sambung pula dengan ayat yang kedua,
“الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ”
“(iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya”
Di dalam ayat kedua surah ini menunjukkan sifat pertama bagi orang mukmin. Dalam ayat ini menunjukkan bahawa orang yang khusyuk dalam solat termasuk dalam golongan orang yang beruntung. Mereka menyerahkan segala tumpuan fikiran, hati dan anggota mereka dalam solat semata-mata untuk mencari keredhaan Allah swt.
Ayat yang ketiga pula ialah
“وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ”
“dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna”
Orang yang beriman akan menjauhkan diri mereka daripada setiap perbuatan dan perkataan yang tidak bermanfaat seperti melepak, suka tidur dan sebagainya. Hal ini kerana, sifat ini akan melalaikan dan menjauhkan lagi diri kita daripada Allah swt.
Seterusnya ayat yang keempat,
“وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ”
“dan orang-orang yang menunaikan zakat”
Berdasarkan ayat keempat ini, mufassirin berbeza pendapat tentang kalimah ‘الزَّكاةَ’. Ada yang berpandangan zakat yang perlu dibayar dengan harta. Satu lagi pendapat mengatakan zakat adalah penyucian hati dan jiwa. Namun kedua pendapat melibatkan ‘penyucian’, iaitu penyucian harta, dan penyucian hati.
Kemudian disambung pula dengan ayat kelima,
“وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ”
“dan orang-orang yang menjaga kemaluannya”
Berdasarkan ayat ini, lebih mudah difahami dengan orang yang mengawal nafsu syahwat. Mereka adalah orang yang menjaga maruah daripada berzina serta meninggalkan terus jalan-jalan ke arah zina dengan menjaga pandangan, menjaga ikhtilat, dan sebagainya.
Seterusnya disambung dengan ayat keenam,
“إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ”
“kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela”
Maksudnya disini ialah walaupun kita disuruh untuk menjaga kemaluan, tetapi Islam tetap meraikan fitrah manusia. Kerana itulah disyariatkan perkahwinan dalam Islam bagi memenuhi fitrah tersebut.
Kemudian dikaitkan lagi dengan ayat ketujuh,
“فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ”
“barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas”
Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah ‘ابتَغىٰ’ yang bermaksud ‘melampau’ maksudnya melawan hukum Allah dalam hal perhubungan suami isteri seperti melanggan pelacur, termasuk juga LGBT.
Seterusnya, ayat yang kelapan,
“وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَٰنَٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ”
“dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya”
Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang beriman menekankan tentang kepentingan menjaga amanat dan juga berpegang kepada janji. Kedua-duanya mempunyai ikatan dan merupakan tanggungjawab yang berat untuk dilaksanakan. Namun, jika tidak mampu untuk melakukan kedua-duanya, maka jangan sesekali memikul tanggungjawab tersebut.
Ayat yang kesembilan,
“وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ”
“dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya”
Ayat kesembilan menunjukkan bahawa orang yang beriman adalah mereka menjaga solat seperti solat di awal waktu dan tidak meninggalkannya kecuali disebabkan keuzuran. Jika kita perhatikan, terdapat dua ayat yang menyebut tentang solat iaitu ayat kedua dan kesembilan sekaligus membawa maksud bahawa solat adalah asas utama bagi seorang mu’min.
Kemudian ayat yang kesepuluh,
“أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْوَٰرِثُونَ”
“mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi”
Ayat ini diikuti oleh ayat yang kesebelas,
“ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ”
“(yakni) yang akan mewarisi surga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya”
Kedua ayat ini menyatakan bahawa mereka yang mempunyai ciri-ciri yang telah dinyatakan dalam ayat-ayat yang sebelumnya akan mewarisi syurga Firdaus dan akan kekal di dalamnya.
Natijahnya, orang yang berjaya di sisi Allah bukanlah mereka yang berjaya mendapat kejayaan dan kemewahan di dunia semata. Sebaliknya orang berjaya di sisi Allah adalah mereka yang berjaya masuk ke dalam syurga firdaus iaitu mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti yang telah disebutkan dalam surah al-Mukminun ayat 1-11.
Namun begitu, bukanlah beerti bahawa kita perlu membelakangkan soal dunia, malah Islam sendiri telah menekankan kepentingan untuk mengimbangkan antara dunia dan akhirat kerana dua perkara ini sangat berkait rapat antara satu dengan yang lain kerana dunia merupakan tempat untuk beribadat dan melakukan amal kebajikan untuk memperoleh kebahagiaan yang kekal di akhirat.
Disediakan oleh,
Dayang Nurazura dan ahli kumpulan