Alam sekitar adalah merupakan salah satu daripada anugerah berharga yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT bukan hanya kepada manusia namun kepada semua makluknya di bumi ini. Alam sekitar yang baik akan memberikan manfaat kepada semua makhluk terutamanya bagi manusia dan haiwan. Al-Quran secara jelas menegah manusia untuk melakukan kerosakan yang akan menyebabkan alam sekitar tercemar.
Firman Allah SWT didalam surah al-Rum ayat ke 41:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Perbuatan yang mencemarkan alam sekitar akan mengakibatkan terjadinya pertambahan suhu dunia secara mendadak kerana penipisan lapisan ozon bumi. Selain itu, ayat ini juga menyatakan bahawa pencemaran alam ini .
Menurut Kamus Dewan Edisi Kedua definisi bagi alam ialah bumi dan segala yang terdapat di permukaannya dan segala yang dilangit. Manakala definisi bagi sekitar ialah sekeliling atau sesuatu tempat. Pemeliharaan alam sekitar merupakan satu elemen yang penting untuk memastikan kesinambungan kehidupan makhluk di dunia ini.
Dalam Islam, kehidupan manusia tidak hanya terbatas kepada hubungan sesama manusia tetapi manusia juga diwajibkan menjalinkan hubungan yang baik dengan alam sekitar. Kesejahteraan hidup yang dinikmati oleh manusia adalah akibat daripada hubungan harmoni antara manusia dan alam sekitarnya.
Setiap kali manusia menarik nafas maka bahan yang disedut ialah gas oksigen yang dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan. Sebaliknya, tumbuh-tumbuhan memerlukan karbon dioksida yang daripada manusia dan haiwan. Justeru itu, kitaran ini akan berulang-ulang dan sekiranya ia terganggu, ia akan menjejaskan makhluk yang benyawa seperti manusia, haiwan dan sebagainya..
Menurut perspektif al-Quran alam adalah merupakan ciptaan Allah SWT dan ia dimiliki oleh Allah SWT. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT didalam;
لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ
Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya dan sesungguhnya Allah, Dialah jua yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji (Surah al-Hajj ayat 64)
Setiap peringkat golongan memainkan peranan yang menyeluruh dalam penjagaan alam sekitar. Di idalam al-Quran sudah tercatat bahawa semua kerosakan dan kebinasaan dimuka bumi ini adalah hasil kerja tangan manusia itu sendiri. Hal ini dibutikan menerusi beberapa petikan ayat al-Quran seperti berikut ;
ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat” (Surah ar-Rum, ayat 41)
وَمَآ أَصَـٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٍۢ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُوا۟ عَن كَثِيرٍۢ
“Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah ash-Shura, ayat 30)
Ayat-ayat di dalam al Quran tersebut jelas membuktikan bahawa kerosakan yang berlaku di darat dan di laut terhasil daripada perbuatan manusia itu sendiri.
Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa walaupun tamadun manusia melebihi makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain, tetapi kerosakan di dunia ini terjadi disebabkan oleh kelompok manusia sendiri melalui pemerasan khazanah alam yang melampau.
Fenomena alam fizikal dan iklim cuaca banyak dipengaruhi oleh persekitaran sesuatu kawasan itu. oleh itu, penjagaan alam sekitar merupakan inisiatif terbesar dalam memberi kesan kepada fenomena alam fizikal dan iklim cuaca.
Alam ini adalah tanggungjawab yang diberikan Allah kepada manusia untuk menjaga dengan baik tanpa sebarang kerosakan.
Alam sekitar memberi banyak manfaat kepada semua lapisan manusia. Hubungan yang terdapat diantara manusia dan alam sekitar amatlah besar. Perbuatan manusia itu bakal menentukan keadaan alam sekitar sama ada makin baik atau buruk.
Bencana alam adalah bukti bahawasanya benarlah bahawa kerosakan alam adalah berpunca daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab itu sendiri.
Manusia diciptakan di muka bumi bertujuan untuk melakukan dua tugasan utama yang telah ditaklifkan oleh Allah iaitu tugasan pengabdian dan tugasan pengimarahan. Manusia dibekalkan dengan akal dan nafsu dan itu yang membezakan antara manusia dengan makhluk Allah yang lain. Dua perkara yang menjadi anugerah daripada Allah ini bukan sahaja sebagai satu kelebihan, tetapi menjadi satu tanggungjawab yang besar kepada manusia kerana mempunyai amanah yang perlu dipikul dan dilaksanakan oleh manusia itu sendiri. (Mohd Nor Mamat, 2002)
Apabila berbicara mengenai hubungan manusia dan alam sudah semestinya mempunyai hubung kait yang cukup rapat. Hal ini kerana, manusia dipertanggungjawabkan untuk terus menjaga alam sekitar dengan baik. Sekiranya satu kelompok manusia itu kesemuanya mempunyai pemikiran yang sama iaitu tidak mencemarkan alam sekitar maka sudah semestinya kesan pencemaran alam yang sangat teruk dapat dielakkan.
Manusia juga diciptakan melalui elemen tanah dalam alam ini. Seperti firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. “(surah al-hijr ayat 26)
Keindahan dan keseimbangan yang ada di muka bumi ini memerlukan pentadbir yang berwibawa dan berkualiti demi kesinambungannya terpelihara. Justeru, tumpuan dan perhatian yang serius perlu diberikan oleh golongan manusia dalam menjaga amanah yang diberikan oleh Allah SWT.
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa perbuatan manusia mempunyai hubungkait yang cukup rapat terhadap keadaan alam sekitar. Hal ini kerana alam sekitar adalah sesuatu yang sangat sinonim terhadap kehidupan manusia kerana kita saling memerlukan antara satu sama lain. Siapa lagi kalau bukan kita yang menjaga alam ini. Justeru, setiap manusia perlu bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar tanpa mengira pangkat dan agama.
Disediakan oleh,
Mohd Firdaus bin Mohd Yusof, Mohd Ezman Ameer bin Ahmad Zoon, Muhammad Hafiy bin Mohd Rashid, Abdul Aziim bin Jooni dan Muhammad Hafizzudin bin Shaari