Peribadinya sederhana dan cukup perahsia,

perahsia kerana menumpahkan segala rasa ,

dalam catatan diari yang bervariasi perkara,

yang baru kini saya temui, baca dan perhatikan.

-Hidayahtul, 18 September 2020

Tiga buah buku berkulit lusuh terletak kemas di atas meja belajar saya. Dua buah daripadanya berwarna hijau sementara sebuah lagi berwarna merah hati. Kesemua buku tersebut merupakan diari milik arwah embah Lanang (datuk) yang dijumpai makcik ketika sedang mengemas rumah di kampung.

Beraninya saya meminta izin ingin membaca dan meminjam diari-diari tersebut. Bukan apa, rasa ingin tahu saya terhadap isinya sangat mendalam lebih-lebih lagi melihat kulit buku yang lusuh itu, sangat indah pada pandangan mata saya.

Bongkar sahaja buku diari yang pertama, saya terlongo. ‘Ini suatu yang hebat!’ Getus hati saya. Mana tidaknya! Menurut cerita emak, embah Lanang hanya berpeluang mendapatkan pendidikan sehingga darjah dua disebabkan desakan kemiskinan. Namun, tulisan yang digunakan dalam buku ini adalah dalam tulisan Jawi yang kemas dan mudah difahami.

Selain itu, setiap catatan di dalamnya juga lengkap dengan tarikh dan tahun menyebabkan saya cuba membayangkan peristiwa yang diceritakan dengan latar masa yang saya cipta dalam fikiran. Saya berpendapat, embah Lanang seorang yang teliti dan peka dengan setiap perkara yang yang dialaminya sehari-hari.

Tanpa melengahkan masa, saya mengemaskan lagi pegangan pada diari tersebut dan menumpukan sepenuh perhatian. Begitulah tabiat saya jika sedang membaca. Khusyuk, kadangkala tidak perasan akan orang di sekitar.

Catatan pertama embah Lanang adalah berkenaan peribadi kesemua putera dan puteri kesayangannya. Hasil perkhawinan dengan embah Wedok (nenek),  mereka dikurniakan dua orang puteri dan empat orang putera. Meski bukan kesemuanya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading tetapi, sekurang-kurangnya mereka menjadi manusia yang berguna dan mendatangkan manfaat kepada masyarakat sekeliling. 

Anak sulung iaitu emak dikatakan seorang anak yang sentiasa sanggup berkorban untuk kesenangan adik-beradik. Kecil menginjak dewasa, emak tidak pernah culas melimpahkan kasih sayang kepada mereka. Adik-adiknya sentiasa menyebut-nyebut kebaikannya sehingga kini.

Anak kedua pula, dikatakan rajin berkebun dan berbudi kepada tanah. Hasilnya pula nanti bukan hanya dinikmati sendiri tetapi rajin bersedekah pada jiran tetangga. Anak ketiga, ditaruhkan sebagai anak harapan. Walaupun orangnya pendiam, tetapi kebaikan yang dilakukannya tidak pernah sesekali diungkit. Sekarang, dialah pemegang amanah memelihara rumah kampung dengan sempurna.

Anak keempat, walaupun dahulu menetap jauh di Johor Bahru, tetapi setiap kali pulang ke kampung tidak lupa membawa buah tangan. Anak kelima paling kasihan, kelembutan sikapnya menyebabkan duitnya sering dikelentong oleh orang jahat yang mengambil kesempatan. Anak terakhir, dikatakan gemar memancing dan memiliki joran. Begitulah anak, lain anak lain perwatakannya walaupun daripada induk yang sama. 

Selain itu, terdapat juga catatan nama individu-individu yang gemar apabila dibelanja tetapi sukar untuk memberi semula kepada orang lain. Dalam erti kata lain, individu tersebut bersifat bakhil. Terdapat lebih kurang 13 orang kesemuanya, lengkap dengan nama kampung tempat tinggalnya dicatat oleh embah. Tunggu! jangan salah faham, bukanlah niat saya ingin membuka aib sesiapa cuma kita boleh mengambil iktibar daripada hal ini.

Sesungguhnya, rezeki Allah SWT itu sangat luas dan tidak akan sesekali surut walaupun kita menderma bahkan Tuhan akan menggantikannya dengan nikmat yang lebih lumayan di kemudian hari dalam pelbagai bentuk dan cara. Boleh jadi dalam bentuk rezeki kesihatan, rezeki anak-anak yang menyenangkan hati orang tua atau rezeki kefahaman dan kemudahan dalam sesuatu urusan.

Seterusnya, terdapat juga catatan tentang wang milik embah Lanang yang dipinjamkan kepada orang lain atau dibelanjakannya untuk keperluan diri dan keluarga. Saya teliti catatan tersebut. Sahih, sudah seperti penyata akaun bank! Gigihnya embah lanang menulis kesemua butir-butir tanpa bantuan mesin kalkulator. Nilai wang yang dicatatkan, ada yang mencecah hingga ribuan ringgit.

Pada pendapat saya, usaha ini dilakukan embah Lanang untuk memastikan setiap not wangnya diurus dan digunakan dengan cara yang berhemah. Misalnya, embah Lanang memperuntukkan wang sebanyak RM650.00 untuk diberikan kepada anak-anaknya sementara RM 160.00 dikhususkan untuk membayar bil telefon rumah pada setiap bulan. Tertulis juga di situ, wang yang digunakan adalah daripada peruntukan Felcra. Begitulah wang, ia perlu digunakan dengan saksama kerana merupakan amanah daripada Tuhan yang bakal disoal penggunaanya di hari akhirat. 

Di samping itu, terdapat juga catatan nama-nama kampung yang diketahui embah Lanang. Siapa sangka, embah Lanang menghabiskan hidupnya selama lebih kurang 30 tahun hanya di dalam biliknya kerana tidak boleh berjalan dengan baik selepas jatuh tergelincir ketika memotong balak, dapat mengenali lebih daripada 29 nama kampung. Ada antara nama kampung tersebut, yang pernah saya dengar melalui cerita-cerita daripada emak atau lokasinya berdekatan sahaja dengan lokasi kampung kami. Kampung Seri Perkasa, Kampung Bagan Lalang, Kampung Sungai Manila, Kampung Ulu Bernam, Kampung Sungai Bugis dan Kampung Erong.

Kagum saya buat kesekian kalinya pada penulisan diari ini kerana, jika ditanyakan kepada saya tentang nama-nama taman perumahan di sekitar tempat tinggal saya, sudah pasti saya terkebil-kebil kebingungan kerana sudah banyak taman perumahan baharu dibangunkan di sekitar Taman Sri Tanjung, Semenyih. 

Seterusnya, terdapat juga catatan tarikh embah Wedok dibawa tinggal bersama anak-anak secara bergilir-gilir dan dibawa pulang semula ke  kampung. Hal ini demikian kerana, embah Wedok dahulu pernah sakit dan terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan kemoterapi di ibu negara.

Sepanjang tempoh itu juga embah Lanang terpaksa berpisah dengan cinta hatinya itu. Embah wedok, orangnya lemah-lembut dan taat kepada agama dan suami. Bayangkan, kesunyian hati seorang lelaki tua. Semua anak-anaknya mempunyai kehidupan sendiri. Apabila diajak tinggal bersama, embah Lanang menolak dengan alasan nanti dia akan rindu pada binatang peliharaanya.

Namun, pada pendapat saya sebenarnya embah Lanang tidak mahu menyusahkan anak-anaknya. Maka, embah Lanang terus bersabar dengan keadaan tersebut, sehinggalah embah Wedok dicabut ingatannya. Dia tidak mampu mengingati suami dan anak-anak malah dirinya sendiri. Mahu tumpah air mata saya ketika membacanya. Embah Lanang, kau sungguh kuat!

Buku kedua, mirip isinya dengan buku yang pertama. Saya tidak pasti mengapa perlu diulang, tetapi rasanya tak pantas saya menyoal kerana ia diari peribadi milik orang. Berikutnya, buku ketiga merupakan himpunan puisi yang dikarang embah Lanang. Rupa-rupanya, beliau juga seorang yang berjiwa seni seperti saya. Kesemua rangkap puisi tersebut turut ditulis dengan kalimah-kalimah Jawi dan terdapat nombor disertakan untuk setiap rangkap. Di bawah ini saya petik beberapa rangkap:

1. Limau manis di tepi perigi,

  masak sebiji dilindung daun,

  wajah yang manis menawan hati,

  tak nampak sehari macam setahun.

2. Pisang nangka sedap digoreng,

  apatahlagi dibungkus tepung,

kalau saudara hendak khawin,

jangan amalkan nikah gantung.

3. Orang Arab dari seberang,

  baru semalam dia tiba,

  dalam kitab sudah terbilang,

  kerja haram jangan dicuba.

Demikianlah rahsia di sebalik diari embah Lanang yang sebenarnya banyak lagi yang tidak  sempat saya bicarakan dalam penulisan ini. Saya terpanggil untuk merakamkan kisah diari ini kerana saya merasakan, ia begitu istimewa dan merupakan khazanah bagi keluarga saya. Kini, saya tidak lagi berpeluang menjamah senyuman embah Lanang kerana dia telah kembali ke pangkuan Kekasih yang abadi. Begitu juga cinta hatinya, embah Wedok yang turut menemaninya di pusara bersebelahan. Al-Fatihah! (dibaca). 

Nukilan,

Noor Hidayahtul Aiza

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.