“Ikut resmi padi, makin berisi semakin tunduk. Jika semakin membaca membuatkan kita jauh daripada masyarakat, hakikatnya kita masih belum membaca”
Saadiah Ali, CEO Jejak Tarbiah
Hakikatnya ayat ini menyentap jiwa saya dan mempengaruhi kehidupan saya sedikit demi sedikit. Saya cuba memahami dan mengamati makna di sebalik ayat tersebut, dan menghubungkan dengan kehidupan yang saya sedang jalani.
Akal pendek saya cuba merungkai dan berfikir bahawa adakah begitu besar nilai membaca sehingga dapat merapatkan kita dengan masyarakat?
Kini saya baru sedar, sebenarnya bukan saja dapat merapatkan pembaca dengan masyarakat bahkan lebih daripada itu!
Saya mula membaca sejak kecil, tiada sesiapa pun yang menggesa saya untuk melakukan aktiviti ini. Abang saya yang merupakan ulat buku membuatkan saya cenderung untuk mengikutinya dan lama kelamaan saya juga turut jatuh cinta dengan buku-buku yang ada di kediaman kami. Persekitaran saya yang mempengaruhi jiwa saya untuk turut membaca.
Persekitaran mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk kehidupan seseorang.
Saya hanya membaca dan terus membaca tanpa ada sebarang tujuan, saya fikir bahawa dengan membaca, jiwa saya berasa seronok dan teruja lebih-lebih lagi ketika membaca buku genre fiksyen.
Namun, membaca telah mengubah hidup saya tanpa saya sedari sehinggalah menemui kenyataan bahawa membaca boleh mempengaruhi sesebuah pemikiran, tingkah laku dan reaksi kita terhadap kehidupan. Tambahan pula, ayat yang menyentakkan saya tersebut membuat saya jauh terfikir mengenai besarnya nilai dan impak membaca buku terhadap kehidupan seseorang!
Melalui pembacaan, pemikiran seseorang menjadi lebih optimis dalam menghadapi pelbagai ragam kehidupan. Pembacaan yang meresap masuk ke dalam pemikiran seseorang menjadikan tindakannya terarah dan mempunyai tujuan. Dalam erti kata lain, pembacaan dapat mematangkan pemikiran seseorang seterusnya menjadi manusia yang berusaha untuk menjadi baik.
Tetapi, pemilihan buku dalam pembacaan memainkan peranan yang penting. ‘Jenis buku yang dibaca, menunjukkan diri seseorang.’
Jika pembacaan seseorang menjurus kepada genre pembinaan jiwa, pasti menghasilkan peribadi yang berjiwa besar. Jika pembacaan seseorang menjurus kepada genre ilmiah dan kritis, pasti melahirkan seorang pemikir yang hebat dan begitulah sebaliknya.
Oleh itu, saya sudah mula memahami maksud ayat ini, “Ikut resmi padi, makin berisi semakin tunduk. Jika semakin membaca membuatkan kita jauh daripada masyarakat, hakikatnya kita masih belum membaca” yakni pembacaan boleh membuka fikiran seseorang, pembacaan boleh membuka jiwa untuk memberi bermanfaat dan kebaikan kepada diri sendiri bahkan kepada masyarakat khususnya.
Pembacaan yang berkesan adalah apabila fikrah dan idea buku tersebut sampai ke dalam jiwa si pembaca seterusnya dapat mempengaruhi perilaku si pembaca.
Demikianlah dengan membaca, bukan saja menambahkan ilmu pengetahuan bahkan turut membentuk gaya fikir, cara pandang seseorang terhadap kehidupan dan menarik seseorang untuk bersifat tawadhuk dan rendah diri kerana semakin banyak pengetahuannya, semakin berasa diri tidak mengetahui apa-apa. Semoga kita terus membaca bagi meraih pengetahuan seterusnya berusaha menjadi hamba Allah yang patuh kepadaNya.
Disediakan oleh,
Azizah Siri
Tawau, Sabah.