“Siapa sangka! Al-Quran bawa Ustaz Abdullah ke Jepun!”
Memang ia sesuatu yang tidak disangka-sangka. Kitab al-Quran yang turun 1400 tahun dahulu boleh membawa seorang insan kerdil yang baru 26 tahun berkhidmat kepada al-Quran ke Jepun?
Al-Quran yang saya dalami sejak tahun 1993 ketika melangkah masuk ke Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (nama lama Darul Quran JAKIM) seperti sebuah “karpet terbang ajaib” yang mengangkat dan membawa saya ke banyak pelusuk alam yang tidak pernah saya sangka. Antara pelusuk itu ialah negara matahari terbit. Memang tak masuk akal, namun kuasa Allah sangat hebat dan perancangan-Nya pun penuh misteri. Benar sekali sabda Nabi SAW ini:
أَنَّ نَافِعَ بْنَ عَبْدِ الْحَارِثِ لَقِيَ عُمَرَ بِعُسْفَانَ وَكَانَ عُمَرُ يَسْتَعْمِلُهُ عَلَى مَكَّةَ فَقَالَ مَنْ اسْتَعْمَلْتَ عَلَى أَهْلِ الْوَادِي فَقَالَ ابْنَ أَبْزَى قَالَ وَمَنْ ابْنُ أَبْزَى قَالَ مَوْلًى مِنْ مَوَالِينَا قَالَ فَاسْتَخْلَفْتَ عَلَيْهِمْ مَوْلًى قَالَ إِنَّهُ قَارِئٌ لِكِتَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَإِنَّهُ عَالِمٌ بِالْفَرَائِضِ قَالَ عُمَرُ أَمَا إِنَّ نَبِيَّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ قَالَ إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ
Ertinya: Pada suatu hari Nafi’ bin Abd al-Harith bertemu dengan Khalifah ‘Umar di ‘Usfan. Ketika itu Nafi’ dilantik sebagai wakilnya di Mekah. ‘Umar bertanya kepada Nafi‘; “Siapa yang menggantimu di Mekah?” Jawab Nafi’; “Ibnu Abza.” Tanya ‘Umar; “Siapa Ibnu Abza?” Jawab Nafi’; “Seorang bekas hamba kita.” Tanya ‘Umar; “Kamu harapkan seorang bekas hamba?” Jawab Nafi‘; “Dia seorang yang pakar mengenai Kitabullah dan alim tentang Ilmu Faraid (ilmu pembahagian pusaka).” Kata ‘Umar; “Benar! Nabi SAW pernah bersabda, sesungguhnya Allah memuliakan suatu kaum dengan kitab ini (al-Quran), dan menghinakan yang lain.” (Sahih Muslim, hadis no 1353)
Tidaklah saya bandingkan diri saya dengan Ibnu Abza. Jauh api daripada panggang! Saya bukanlah insan istimewa. Segala keistimewaan yang saya kecapi ini tidak lain kerana tuah al-Quran. Tanpa al-Quran saya tak tahu bagaimana nasib saya pada hari ini.
Apa yang pasti tiada kebetulan dalam penentuan takdir Allah seperti yang biasa disebut sesetengah orang Melayu. Kita wajib membetulkan persepsi “Oh, sudah kebetulan!” ini kepada ayat yang lebih tepat “Oh, ini sudah ditentukan Allah!” Hayati firman Allah ini:
Terjemahan: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (al-Hadid, 57:22)
Dalam firman lain Allah turut menyebut yang sama:
Terjemahan: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” ( al-Taubah, 9:51)
Lafaz pembuka di atas diucapkan oleh Tuan Guru Datuk Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman kepada saya ketika bertemu dengannya selepas solat Maghrib pada hari Ahad 12 November 2017 di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Pada malam itu, Tuan Guru dijemput menyampaikan kuliah di situ.
Sebenarnya setelah mendapat jemputan dan tajaan ke Jepun, saya sudah terfikir untuk menulis sebuah buku berkaitan dakwah Jepun. Antara tajuk yang saya fikirkan adalah “al-Quran Bawaku ke Jepun.” Lalu bagai salam bersambut kata bersahut, tajuk yang sama seakan sudah diluluskan oleh kata spontan Tuan Guru. Pun begitu, selepas ziarah kali ketiga pada tahun 2019 bersama Tuan Guru sendiri, tajuk buku ini berubah menjadi “Mencari Unta Merah Jepun.” Tajuk ini juga menjadi sebab jodoh saya dengan Jepun semakin panjang dengan projek Japan Dakwah Centre di Osaka.
Selepas pulang dari Jepun untuk ziarah ketiga, saya dan para teman memulakan kempen mengutip dana dakwah untuk Jepun. Kempen itu saya namakan “Mencari Unta Merah Jepun.” Ternyata tajuk ini menarik minat ramai orang. Mereka sanggup menunggu dan meluangkan masa untuk mengetahui apa maksud “unta merah Jepun”. Idea ini diinspirasi daripada sebuah hadis Nabi SAW:
فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
Ertinya: Maka demi Allah, (ganjaran yang kamu perolehi) kerana seseorang memeluk Islam (atas usahamu) lebih baik nilainya daripada (nilai) seekor unta merah (unta yang sangat mahal harga pada orang Arab). (Sahih al-Bukhari, hadis no 2724)
Pendek kata, Jepun seumpama sebuah padang ragut hijau yang sangat subur. Penghuninya pula jutaan unta merah yang sangat bernilai harganya. Seekor unta merah dianggarkan bernilai lebih RM 1 juta dan boleh diandaikan seperti sebuah kereta Ferrari pada zaman ini. Alangkah beruntungnya kita jika mampu memiliki sebanyak mungkin unta merah ini sebelum dijemput Allah ke alam barzakh.
Pada awalnya, saya ingat ziarah ke Jepun pada kali pertama tahun 2017 hanya sebuah ziarah biasa, rupanya tidak! Ia menjadi perintis jalan dakwah yang sangat luas sehingga selepas ziarah ketiga pada tahun 2019 kami berjaya mengutip dana sebanyak RM 3.5 juta untuk membeli dan mengubah suai bangunan Japan Dakwah Centre di Osaka.
Buku ini saya tulis selepas kembara kali ketiga ke Jepun. Pada tarikh pertama iaitu dari 23 November (Khamis) sehingga 26 (Ahad) November 2017, saya menziarahi Jepun seorang diri dengan iringan Saudara Zulkarnain Hasan Basri. Saya bertuah kerana ada murid yang menaja perjalanan ke Jepun untuk kali pertama. Penaja tersebut meletakkan syarat perjalanan saya perlu memberikan hasil kepada perkembangan dakwah di Jepun.
Berikutan itu, selepas pulang saya banyak promosikan program dakwah Jepun anjuran saudara Zulkarnain sehingga dana masuk mencurah-curah kepada beliau. Dengan dana tersebut usaha dakwah saudara Zulkarnain semakin berkembang maju. Dana itu juga banyak membantu pengubahsuaian bangunan Osaka Islamic Centre yang baharu dibeli. Ringkasnya, ziarah pertama itu menjadi perintis penting kepada perkembangan dakwah kami di Jepun.
Pada kali kedua, saya menziarahi Jepun pada 14 September (Jumaat) sehingga 19 (Rabu) September 2018. Ziarah kali kedua lebih meriah kerana kerencaman bidang serta latar belakang pasukan ziarah iaitu; Dr. Kamilin Jamilin daripada Universiti Sains Islam Malaysia, Saudara Mohamed Ali seorang pengusaha restoran, Nik Nur Hafiz seorang akauntan dan Saudara Ahmad Rafian seorang jurutera syarikat minyak dan gas.
Antara memori paling indah bagi ziarah kali kedua adalah ketika kami bersama makan malam di Restoran Pakistan di bandar Kobe. Pada waktu itu, kami berbincang bagaimana cara untuk mengatur langkah dakwah yang lebih berkesan bagi negara matahari terbit ini. Kami sepakat untuk menubuhkan sebuah NGO dakwah selepas pulang nanti yang akan memfokuskan usaha pada dakwah di sini. Pada waktu itu, rasa manis iman menyapa jiwa.
Pada ziarah kali ketiga pula; dari 27 April 2019 (Jumaat) sehingga 1 Mei 2019 (Rabu), ziarah saya diiringi tokoh besar dalam dakwah Malaysia iaitu Tuan Guru Dato’ Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman, Musyrif Pondok Sungai Durian di Kuala Krai, Kelantan. Ternyata kisah ziarah dakwah saya menarik minat beliau untuk turut sama merasai pengalaman menjejakkan kaki ke bumi negeri matahari terbit ini.
Sebenarnya dalam ziarah dakwah kali kedua pada tahun 2018, saya berjanji dengan Zulkarnain untuk membawa Dr. Abdul Basit ke Jepun suatu hari nanti. Tujuan utama adalah bagi memeriahkan lagi aktiviti dakwah Jepun. Tambahan pula Dr. Abdul Basit punyai nama besar dalam persada dakwah negara. Mudah-mudahan penglibatan beliau akan lebih menyemarakkan lagi semangat orang Malaysia membantu gerakan dakwah di Jepun.
Dalam ziarah kali ketiga, pasukan dakwah bertambah meriah dengan anggota daripada pelbagai latar belakang iaitu Dato’ Rosli bin Sharif, usahawan dari Perlis, Dr. Shamsul Kahar, pakar tulang Hospital Pakar Perdana Kota Bharu, Salimi Halil, Pengurus dari Perodua Malaysia, Ustaz Shukri, pegawai agama Petronas, Aizul Nawi, jurutera Petronas dan Norhafizah, akauntan Petronas.
Ketika kami sampai, secara rasminya saudara Zulkarnain telah berhenti kerja pada awal tahun 2019 dan melakukan aktiviti dakwah sepenuh masa. Beliau beruntung kerana bertemu dengan Dr. Hizul daripada Yayasan Dana Kebajikan Muslimin Malaysia yang punyai pengalaman luas dalam kerja dakwah seluruh dunia. Setelah berhenti kerja, YDKMM menaja kerja dakwah Saudara Zulkarnain di Jepun. Atas cadangan YDKMM juga, saudara Zulkarnain mencari bangunan yang akan menjadi pusat sehenti dakwah di Osaka kerana aktiviti dakwah akan dapat dilakukan dengan bebas tanpa halangan.
Pencapaian terbesar ziarah kali ini ialah kejayaan mengutip dana sebanyak RM 3.5 juta dengan tujuan membeli bangunan yang akan menjadi Japan Dakwah Centre di Osaka. Sebelum pulang ke Malaysia, kami dibawa melawat bangunan tersebut. Bangunan lima tingkat itu akan menjadi pusat dakwah yang mengandungi restoran Malaysia (tingkat 1), kedai halal (tingkat 2), surau (tingkat 3), pusat dakwah bukan Islam (tingkat 4) dan pejabat pengurusan (tingkat 5).
Pada waktu itu Dato’ Dr. Abdul Basit membuat live facebook memohon sumbangan daripada rakyat Malaysia. Selepas pulang, kami mulakan kempen kutipan dana yang memerlukan RM 1.5 juta untuk pembelian bangunan dan RM 1.5 juta lagi sebagai kos anggaran pengubahsuaian. Kempen kutipan dana kami bermula pada 1 Mei 2019 bersamaan 25 Sya’ban 1440 Hijrah. Masuk sahaja bulan Ramadan 1440 Hijrah, kutipan kami mencanak naik secara luar biasa. Sehingga 31 Mei 2019 atau 26 Ramadan 1440 Hijrah kutipan kami sudah mencecah RM 3 juta lebih.
Kemuncaknya pada malam 25 Ramadan bersamaan hari Rabu 29 Mei 2019 seorang penderma mulia telah menafkahkan hartanya yang bernilai ratusan ribu ringgit! Kami terpegun! Subhanallah! Rupanya ramai sekali dermawan di Malaysia. Kami juga melihat sendiri keberkatan bulan Ramadan yang meningkatkan semangat sedekah rakyat Malaysia. Ternyata Muslim Malaysia benar-benar menghayati sikap pemurah yang ditunjukkan Rasulullah SAW sebagaimana hadis ini:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ لِأَنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ يَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Ertinya: Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah melakukan kebaikan. Sifat pemurah Baginda semakin terserlah dalam bulan Ramadan kerana Jibril datang bertemunya pada setiap malam Ramadan sehingga habis bulan. Baginda membentangkan bacaan al-Quran kepada Jibril. Apabila bertemu dengan Jibril, Baginda menjadi sangat pemurah seperti angin yang sentiasa bertiup kencang (secara berterusan). (Sahih al-Bukhari, hadis no 1769 & 4613 dan Sahih Muslim, hadis no 4268)
Selepas ziarah ketiga, proses pembelian dan ubah suai bangunan Japan Dakwah Centre (JDC) di Osaka berjalan lancar. Saudara Zulkarnain yang lama di Jepun benar-benar memahami budaya Jepun. Beliau mencadangkan agar surau JDC diubah suai menggunakan konsep “Kindai Wafu” iaitu seni bina moden Jepun bagi menarik minat orang Jepun untuk berkunjung mengenal Islam di JDC. Setelah mendapat persetujuan semua ahli NGO Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia, proses ubah suai berjalan dengan lancar.
Kami mahu apabila warga Jepun melangkah ke surau kami, mereka berasa seperti berada di rumah sendiri. Surau ini bukan sahaja menjadi hiasan bangunan tetapi menjadi surau tumpuan untuk solat, tempat pelafazan syahadah dan aktiviti dakwah. Alhamdulillah, buat pertama kalinya solat Jumaat didirikan di surau ini pada 6 December 2019. Bukan hanya itu, warga Jepun pertama telah melafazkan syahadah di surau ini pada 5 November 2019.
Untuk ziarah keempat pula; asalnya kami merancang untuk ke Jepun dari 26 Mac 2020 (Khamis) sehingga 5 April 2020 (Ahad), tapi hasrat itu terbantut berikutan serangan ganas wabak COVID 19 yang menjalar ke seluruh dunia. Pihak kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari 18 Mac 2020 sehingga 28 April 2020. Semua perjalanan ke luar negara dihentikan serta merta. Sebelum pihak kerajaan mengeluarkan arahan tersebut kami sudah memutuskan untuk menangguhkan dahulu proses perasmian Bangunan Japan Dakwah Centre di Osaka sehingga tarikh lain.
Bila-bila pun tarikh perasmian JDC, tidaklah begitu penting asalkan operasinya berjalan dan memberi sinaran Islam di bumi Jepun. Sehingga saat buku ini ditulis, Zulkarnain sedang dibantu oleh beberapa orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia yang menjalani latihan pengajian di JDC. Siapa sangka, puluhan tahun dahulu Jepun menjajah dan menjarah Malaysia, sekarang jarahan itu dibalas baik oleh orang Malaysia dengan bangunan waqaf yang akan menyerikan tanah Jepun dengan sinaran Islam.
Saya sendiri tidak menyangka ziarah pertama saya ke Jepun pada tahun 2017 dahulu seumpama menanam benih kecil yang akhirnya membuahkan hasil sehingga tertubuhnya bangunan ini. Semoga doa yang selalu saya lafazkan dimakbulkan Allah:
اللهم اجَعَلَنِى مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ
Ertinya: “Ya Allah jadikan aku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada.”
Doa ini saya cedok daripada kata-kata Nabi Isa AS yang berbicara dengan ajaib ketika masih bayi dalam al-Quran:
Terjemahan: Dan Dia (Allah) jadikan aku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan aku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. (Maryam, 19:31)
Antara maksud berkat ialah kebaikan yang banyak. Nabi Isa AS memang manusia penuh keberkatan kerana di mana sahaja Baginda berada, pasti orang mendapat hidayah dan rahmat melimpah dari Allah. Saya selalu harapkan kewujudan saya di mana sahaja membawa kebaikan yang banyak kepada semua. Semoga kejayaan membina bangunan JDC ini menjadi bukti makbulnya doa itu.
Semoga kisah pendek tiga ziarah saya ke Jepun ini mampu membuka mata para pembaca betapa dakwah adalah tanggungjawab semua Muslim walau di mana mereka berada dan walau apa sahaja jawatan mereka.
Saya juga berharap agar perkongsian diari ziarah dakwah Jepun ini akan menambah cinta kita semua kepada al-Quran dan Islam. Lihat bagaimana Allah jadikan al-Quran sebab hidayah untuk semua manusia. Ayuh, jangan hanya nampak Malaysia sebagai bumi Islam! Panjangkan nikmat Islam ke Jepun agar budaya cemerlang orang Jepun disempurnakan dengan nikmat Islam. Insya-Allah!
Disediakan oleh,
Abdullah Bukhari Bin Abdul Rahim
Taman Selayang Mulia, Baru Caves, Selangor.