Sikap – samada menampilkan sisi negatif atau positif bukan milik biologi sesuatu kaum. Ia boleh berurat akar, dipupuk, disemai oleh dorongan persekitaran dan iklim yang pelbagai. Ia boleh ditemui dalam masyarakat yang berpaksikan nilai (value bond) atau bebas nilai, (value free), timur barat, utara selatan.
Untuk memahami premis ini, tidak dihuraikan sikap kaum secara umum tetapi perlu ditumpukan kepada sikap tertentu dalam kelompok masyarakat tertentu. Pemilihan sampel orang Melayu dan juga beberapa contoh perangai yang bergejala dalam seharian masyarakat akan dibicarakan untuk sama-sama dicermati dan diukur menurut premis sains sosial.
Pembentukan sikap dan perangai tidak dipengaruhi oleh faktor semulajadi (heredity factors) tetapi faktor sekeliling (environment). Ia bukan bersifat biogenic yang tidak dapat diubah atau ditingkatkan, tetapi sociogenic – dipengaruhi oleh tingkat sosialisasi – pembacaan dan pengkajian, pendedahan, pergaulan juga pengalaman kerohanian jangan sekali diabaikan.
Sejak lahir, masyarakat akan mengikut aliran tempat mereka dibesarkan. Pengaruh fikiran oleh orang tuanya, memori kolektif anggota masyarakat, adat kebiasaan, hawa, air dan udara. Ini telah dibincangkan panjang lebar ahli psikologi.
Syed Hussein al attas yang terkenal dengan bukunya The Myth of Lazy Native menghurai perkara ini daripada perspektif sosiologi. Beliau dengan kerasnya menyanggah argumen yang dibawa oleh orientalis dan sesetengah penulis watan tentang kaitan faktor semulajadi, bakat diri sebagai alasan menyebabkan peribumi lemah dan malas.
Dalam pembangunan negara, perhatian perlu diberikan kepada masyarakat peribumi kerana mereka merupakan pentakrif negara. Jika peribumi lemah, struktur sosial negara akan turut lemah. Kaum Melayu yang dinyatakan di sini adalah selain kaum bumiputera di Semenanjung dan Sabah Sarawak. Kelompok ini mewakili demografik seramai 69 % yang besar berdasarkan demografik penduduk Malaysia yang direkodkan pada tahun 2019.
Pentadbir Barat memberi gambaran tentang kesan akibat sikap malas peribumi kepada negara dalam karangan R.O Winstedt, Maxwell dan persepsi ini telah disanggah oleh Syed Hussein Al attas. Menurut beliau, ideologi kapitalis kolonial dan penyeleweng ekonomi telah menyumbang kepada lahirnya stigma tentang isu bahawa peribumi itu bersifat malas.
Tuduhan yang tidak berasaskan ini tidak akan terjadi jika peribumi sendiri yang tidak bersikap sedemikian. Kalangan pemimpin yang dimonopoli oleh ahli politik menambahkan ketakutan-ketakutan sebagai implikasi kelemahan baru kepada orang Melayu. Doktrin menakut-nakutkan peribumi ini disusun secara sistematik, sesetengahnya diprogramkan melalui kem-kem wajib khususnya kepada golongan mahasiswa.
Menurut cerminan aktivis pendidik, terdapat beberapa sikap yang patut dikikis daripada orang Melayu. Budaya takut dan minda feudalis.
Minda feudalis bukanlah bermaksud sikap tunduk terhadap pemerintah yang dianjurkan oleh agama. Itu sebahagian daripada tuntutan kepada Ulul Amri, iaitu perlu patuh kepada pemerintah yang adil dan sah selagi tidak berlawanan dengan syarak. Tetapi, hal ini tidak menghalang kita untuk mempersoalkan kewajaran sesuatu itu untuk mengetahui sandaran dan alasan di sebalik tindakan mereka.
Sikap menyerah tanpa sepatah kata adalah lukisan diri yang submisif. Bertanya dan mempersoalkan bukanlah sikap yang baik kepada minda konservatif Melayu. Kita diajar menekur apabila menerima sesuatu daripada orang atasan.
Penerimaan secara pukal ini menumpulkan daya kritis minda. Soalan jarang diberikan perhatian. Oleh itu, tidak ada sebarang soalan dan jawapan disimpan dalam fikiran golongan atasan.
Dianjurkan bertanya bukan untuk menyalah, tetapi mengesah dan mengabsah. Jika tanpa jawapan, apa guna undang-undang ditegakkan? Kita bukan tinggal di rimba raya – yang kuat berkuasa tanpa syarat. Yang lemah hanya dibenarkan bisu dan membatu.
Selain itu, sikap malu. Orang Melayu perlu keluar daripada sikap malu tidak bertempat. Takut dilihat kurang ajar atau kurang adab. Kita pasti tidak gemar mengulang apa yang diajarkan oleh Usman Awang –
“Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memilik sifat kurang ajar”
Intinya, pena beliau menarikan aksara untuk mengetuk sikap pesimis yang tertanam dalam dada rakyat.
Memang benar malu adalah bahagian daripada akhlak Islam. Tetapi, sifat malu telah membudayakan dan melembagakan hidup orang Melayu. Suatu sikap yang positif jika ditinjau daripada sudut etika dan akhlak.
Namun, kita perlu berfikiran rasional. Malu bertempat! Untuk bertanya menuntut ilmu dan mempertahankan hak. Oleh itu, malu tidak memberi erti lagi. Kerap sekali sifat malu ini membongsaikan kemajuan.
Wanita yang menerima tarbiah daripada sistem pendidikan tradisional diajarkan agar wanita seharusnya malu mengangkat muka, malu mengeraskan suara, malu untuk ke hadapan dan malu untuk bersoal jawab.
Memang benar akhlak Islam perlu dipelihara. Tetapi, janganlah sampai habis segala pasu bunga dilanggar hanya mengelak kerana malu berselisih guru di kaki lima. Mereka yang berakhlakbaik dianjurkan untuk mengisi garis depan. Jika tidak seperti yang diungkapkan masyhur oleh kaum sarjana ;
‘kejahatan berleluasa bukanlah ramainya orang-orang jahat, tetapi orang-orang baik tidak tampil berbuat sesuatu”
Amanah akan direbut oleh orang yang bukan ahlinya, apabila orang yang layak tidak berani tampil ke muka lantaran malu. Seperti kita menguruskan jentera untuk memberikan nilai terhadapnya, malu juga perlu diurus untuk memberikan nilaian yang berguna.
Budaya Pengakur (Conformist)
Budaya yang difahami lahir melalui proses sosial, sehimpunan kebiasaan-kebiasaan yang bertompok secara kumulatif dalam suatu tempoh waktu tertentu dalam kelompok masyarakat tertentu. Budaya tidak lahir dengan tiba-tiba. Ia ditempa, disubur, dibaja lalu dipakaikan dalam tubuh masyarakat.
Budaya pendidikan tradisional khususnya yang datang daripada satu aliran yang kering daripada penghayatan dunia mendorong kepada sikap takut menghadapi perbezaan. Pemikiran binari yang membuahkan sikap dogmatik bermuara daripada garis pendidikan yang beku begini.
Melihat dunia dalam rumus matematik jika tidak 1 maka 0. Jika tidak bersama kami maka bersama mereka. Jika A bukan B. Dunia diukur hitam dan putih. Pada garis kelabu mereka tidak berani melangkah untuk memberikan warna lain daripadanya.
Pendidikan berperanan besar membentuk pola fikiran dan sikap terhadap nilai yang datang. Tiada kompromi terhadap soal-soal pokok yang thabit dengan aqidah.
Tetapi, sikap menerima secara pukal apa yang dipelajari sebenarnya bukanlah ciri pemikiran yang sihat. Ia dinamakan sebagai pengakur. Tiada apa yang mahu diukur, semuanya diterima dengan menekur.
Hasilnya, kita dimomokkan untuk tidak mendekati, menyiasat dan membangunkan pendapat sendiri kerana telah ditetapkan oleh pengakur yang lebih atas. Sedangkan, tidak salah untuk mengambil tahu dan kemudian membenarkan apa yang telah dipelajari selama ini. Bebas daripada bertaqlid adalah kemerdekaan sejati!
Bagaimana masyarakat hidup dalam ketakutan?
Dimomokkan tentang kepercayaan. ‘jangan dekati pokok beringin itu! ada hantu, jin, ifrit, mambang, setan penunggu busut! Oleh kerana itu, seluruh kanak-kanak bertempiaran lari ketika pulang daripada mengaji.
Pendidikan untuk mengikis sikap menakut-nakutkan itu belum kelihatan hasilnya. Ketika sekolah formal mulai masuk ke desa-desa, anak-anak Melayu yang celik mata orang tuanya dihantar menduduki bangku pelajaran yang dekat dengan sistem sosial dan kepercayaan. Apabila anak sudah mula membangun dan ditawarkan menyambung pengajian ke sekolah aliran Inggeris, sesetengahnya aliran mubaligh. Maka, banyaklah ibu bapa yang mundur, lebih baik mati berselimut daripada masuk perangkap kafir.
Belajar di sekolah orang putih tidak menjadikan kita hanyut di bawa arus Sungai Thames selagi asuhan kecil di sungai Pahang yang berpaksi tiang Melayu dan Islam kental. Jangan memakai tali leher, menyerupai kaum kafir! lalu tali leher itu dibiar tergantung.
Tali leher tidak memberikan apa-apa mudarat kepada si pemakai sebagaimana pisau tidak memberikan apa-apa mudarat kepada pengguna kerana yang memberikan nilai mudarat bukan kain atau pisau itu, tetapi pelaku dan manusia yang menggunakannya. Jika memakai tali leher untuk meraikan etika korporat, tidaklah salah. Tetapi, keberanian memakai baju Melayu atau baju kurta sebagai contoh lain tidak pula patut dilihat salah. Sekali lagi, kain bukan penentu tinggi rendah mutu, darjah iman seseorang.
14 kali pilihanraya umum diusung di tengah jantung demokrasi, sebilangan besar orang Melayu masih ditakut-takutkan. Negara ini akan terjual! Islam akan digantikan dengan agama Kristian! Tanah rizab Melayu akan digadai, Raja-raja Melayu akan dilucutkan dan digantikan dengan sistem komunis, Malaysia menuju negara Republik! Termakan oleh rakyat yang berjiwa kecut.
Proses pemaksaan kepercayaan dengan menciptakan ketakutan lebih mudah berbanding proses menakluk keyakinan rakyat dengan mutu kerja?
Permainan tuduh, label, ajuk, cemuh hanyalah sejuzuk minda yang kalah. Lambang ketiadaan hujah, cemuhan diangkat sebagai senjata membunuh lawan.
Melawan ketakutan bukan bermakna menghilangkan sikap berjaga-jaga. Dengan keberanian menghadapi permainan di padang yang sama lebih membawa kita bersedia. Bersedia untuk kalah dan menang.
Bagaimana dengan menyelubungkan diri dengan ketakutan, kita dapat menghadapi musuh yang berani?
Justeru, lawan segala ketakutan yang ditanam atau tertanam. Jika orang bicara secara dogmatik, kita lawan dengan sikap kritis. Bangkit kemudian berani!
Penghormatan, kehormatan, ketuanan sesebuah kaum itu akan datang bergolek-golek tanpa perlu diretorikkan jika mereka dapat menguasai dua punca kuasa ; ilmu pengetahuan dan ekonomi.
446 tahun dijajah kolonial, diperah diperas dari luar, hasil bumi dirembat, imbalan faedahnya kepada peribumi dinafi, ditambah pula oleh apa yang disifatkan Pendeta Za’ba sebagai “dipicit, diperah oleh para penghulu-penghulu mereka sendiri yang buas” dengan amalan kuno yang jumud dan kering.Fikiran terperangkap oleh kepercayaan karut. Pengajaran dan pembawaan agama dipenuhi taqlid, menganjurkan sikap tidak rasional apalagi saintifik yang berlawanan.
Hal ini kerana masyarakat peribumi tidak mempunyai perasaan untuk membangunkan kemajuan kehidupan dan kesejahteraan bangsa, hasil negeri dirompak, kebanjiran kaum-kaum yang datang sehelai sepinggang dari luar kemudian menjadi barisan hadapan di lapangan ekonomi yang dipengaruhi dasar kolonial.
Usaha untuk memartabatkan kaum Melayu diberikan keutamaan dalam pasca kemerdekaan. Masalah diwarisi oleh penjajah cuba dinyahkan melalui kewujudan beberapa dasar seperti Dasar Ekonomi Baru.
Kemerdekaan yang berdikari daripada dipertuankan di tanah air sendiri adalah sebuah galakan atau percubaan?
Selagi langit dan matahari berdiri, para Raja dan Sultan Melayu bertakhta berdaulat disinggahsana, perkara-perkara tonggak dalam perlembagaan hampir mustahil di rubah ganti. Pemeliharaan kepentingan Melayu akan terus berlanjutan dan dipertahankan secara undang-undang. Tidak perlu ditakuti cuma perlu berani menghadapi, dengan kekuatan ilmu dan amali.
Apakah kita bersedia dipertuankan (penghormatan datang sendiri) dengan memerangi sifat takut dan malas, melawan daripada dibodohkan, menghargai hasil usaha keras sendiri, melawan daripada ditawan, mempertahankan maruah, tidak menunduk untuk meraih simpati dan pertolongan yang boleh diusahakan sendiri?
Dengan sifat mandiri dan berani, kemerdekaan maruah dan kemuliaan akan tegak berdiri. Dengan ilmu dan ekonomi kita akan memiliki kekayaan tanpa bergantung kepada bahasa menakut-nakutkan oleh para politikawan.
Disediakan oleh,
Muhamad Hanapi b. Jamaludin