Pada beberapa hari lepas, saya mendengar rakaman ceramah Menteri Agama di Youtube sewaktu sedang beriadah. Lebih baik saya mendengar ceramah sambil berlari, ada juga ilmu yang dapat.
Dalam ceramah Dr Zulkifli, beliau berkongsi kisah sifat sahabat-sahabat Rasulullah yang suka bertanyakan soalan apabila berpeluang bertemu dengan Baginda. Soalan yang sering ditanya para sahabat pula banyak tentang pelaksanaan amalan baik, menghindari larangan Allah, dan bagaimana untuk masuk ke syurga.
Jika difikirkan semula, saya perasan bahawa sesetengah daripada kita apabila bertemu dengan para asatizah lebih gemar bertanyakan “Bagaimana untuk berjaya dan kaya di dunia”. Sebab itulah popularnya doa-doa, solat dan zikir tertentu, yang dikatanya dapat menarik rezeki. Sehingga ada sebahagian orang menggantung ayat al-Qur’an di dinding semata-mata mahu menjadi ‘pelaris’ bagi perniagaannya.
Saya terfikir, adakah kita beribadah dan beramal untuk ganjaran menjadi kaya semata-mata? Namun, fitrah manusia suka akan kejayaan dan kemewahan. Kadangkala proses dalam mendapatkan kejayaan itu membuatkan kita lupa dan lalai terhadap ajaran Islam. Ada kalanya kita rasa takut dan taat terhadap perintah Allah, dan ada kalanya kita lupa dan lalai.
Saya teringat akan hadis berkenaan sahabat bernama Hanzalah. Mafhumnya, beliau risau jika beliau menjadi munafik kerana apabila beliau bersama dengan Rasulullah, beliau akan teringat tentang syurga dan neraka, seolah-olah beliau boleh melihatnya. Tetapi apabila beliau meninggalkan majlis Nabi, beliau telah dilalaikan oleh ahli keluarga dan harta benda. Perkara itu diluahkan kepada Abu Bakar,dan Abu Bakar turut merasakan perkara yang sama. Oleh itu, mereka berpakat pergi berjumpa dengan Nabi untuk bertanyakan permasalahan itu.
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي، وَفِي الذِّكْرِ، لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلَائِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ، وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً – ثَلَاثَ مَرَّاتٍ
Demi (Zat) yang jiwaku di Tangan-Nya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan berjabat tangan (yakni disamakan) dengan malaikat di tempat-tempat perbaringan kalian dan di jalan-jalan kalian. Tetapi, wahai Hanzalah! Sesaat begini dan sesaat begitu! – Rasulullah menyebut tiga kali.(Riwayat Muslim)
Dr. Zaharuddin Abd Rahman ketika menjadi tamu bual rancangan Assalamualaikum di TV Al Hijrah pada tahun 2012 pernah menghuraikan hadis ini.
Secara ringkasnya, Nabi menyatakan bahawa jika kita sentiasa serius dan bersungguh-sungguh dalam beragama, malaikat juga boleh berjabat tangan dengan kita. Maksudnya, kita adalah insan yang penuh dengan kealpaan dan kesilapan dan kita hanyalah manusia yang jauh berbeza dengan malaikat yang langsung tidak pernah berada dalam kelalaian terhadap Allah.
Berat Sebelah Terhadap Diri Sendiri dan Orang Lain
Sesetengah orang gemar mengkritik orang lain tetapi apabila diri sendiri yang melakukan perkara yang sama, akan diberikan seribu satu alasan . Saya pernah menulis mengenai ‘self-serving attribution bias’ sebelum ini, sebagai contoh seseorang datang lambat dari masa yang dijanjikan, kita akan kritik dia tidak pandai menguruskan masa tetapi apabila terkena pada diri kita, kita menyalahkan trafik yang tiba-tiba sesak.
Kadangkala kita tidak perasan bahawa kita berat sebelah kerana sifat alami seorang manusia yang akan pertahankan diri sendiri berbanding orang lain. Perkara ini boleh dikaitkan dengan kata-kata Qarun yang bongkak apabila direzekikan dengan kemewahan.
قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي
Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Surah al-Qashash 28: 78)
Saya pernah bersembang bersama abang saya tentang kerjaya dan pekerjaan. Menurut beliau, ramai orang suka mengatakan orang yang berkerja di sektor awam mendapat kerja melalui ‘kabel’ orang dalam. Sebaliknya jika mereka sendiri yang mendapat kerja tersebut pula anggap sebagai rezeki dan usaha sendiri. Saya terfikir, untuk mendakwa orang lain melakukan perbuatan tidak amanah memerlukan bukti yang kukuh, jika tidak boleh jatuh kepada fitnah dan prasangka buruk.
Sebagai contoh yang lain ialah jika kita mempunyai saudara atau kawan yang mempunyai jawatan dan pengaruh yang memberikan dia kuasa untuk melakukan hal-hal tertentu, Kita akan menggunakan alasan, ‘saudara atau rakan mestilah tolong sesama kita’ apabila kita memerlukan pertolongan. Tetapi jika orang lain yang melakukan hal tersebut, kita akan kecam sehabis boleh mengatakan itu rasuah dan pecah amanah.
إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur maka ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan membawa kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta maka akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta. (Riwayat Bukhari)
Kita boleh berlaku tidak jujur dan bersembunyi di sebalik sistem ataupun birokrasi. Tetapi perbuatan khianat tersebut akan mencatatkan kita sebagai pendusta yang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka kelak. Di dunia ini, kita boleh berhujah kononnya ada kelompongan dalam undang-undang atau birokrasi yang lapuk tetapi hati kita sebenarnya tahu sama ada jalan yang dipilih itu betul atau salah.
Daripada sudut yang lain, majikan atau ketua organisasi bertanggungjawab dalam memberikan amanah kepada orang yang benar-benar ahlinya untuk mengelakkan berlaku ketirisan dalam sektor yang melibatkan urusan orang awam.
Sebahagian orang beranggapan susah hendak jadi baik. Lebih-lebih lagi menggunakan hadis Hanzalah sebagai alasan tidak boleh ‘berlakon’ jadi baik. Menurut saya, itu adalah kesilapan dalam menafsirkan pemahaman tentang hadis. Sudah tentulah kita tidak boleh jadi warak dan tawaduk sepanjang masa, tetapi bukan dijadikan alasan. untuk melakukan kejahatan.
“أَرَأَيْتَ إِذا صَلَّيْتُ المَكْتُوبَاتِ، وَصُمْتُ رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الحَلاَلَ، وَحَرَّمْتُ الحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلى ذَلِكَ شَيئاً أَدْخُلُ الجَنَّةَ؟ قَالَ: نَعَمْ”
Bagaimana pandanganmu jika aku mendirikan sembahyang-sembahyang fardhu, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkan perkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apa lagi lebih daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya! (Riwayat Muslim)
Seorang lelaki menemui Rasulullah dan bertanyakan soalan di atas. Hadis ini menyatakan bahawa kita tidak perlu bersusah payah menjadi Muslim yang baik. Tunaikan kewajipan dan hindari larangan, maka kita akan dikurniakan syurga Allah.
Kita perlu belajar untuk mengetahui kewajipan dan larangan yang dimaksudkan hadis tersebut. Ada perkara yang kita hanya perlu taqlid kepada para asatizah dan ulama’ serta mereka yang ahli dalam ilmu masing-masing. Contohnya, perkara yang melibatkan pelaburan kewangan, sudah cukup untuk kita memastikan sesebuah pelaburan itu diluluskan oleh bahagian syariah Suruhanjaya Sekuriti.
Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan telah memfatwakan haramnya merokok, vape, dan shisha. Lebih baik kita turuti daripada mempersoalkan. Kebanyakan orang yang suka mempersoalkan hukum hakam itu sebenarnya bukan dikalangan orang yang mempunyai latar belakang bidang agama. Jika ada pun, mereka yang belajar subjek agama Islam dalam Sijil Pelajaran Malaysia sahaja tetapi menulis di dalam Facebook seolah-olah pakar dalam segala perkara, mengalahkan para mufti dan ilmuan lain.
Beberapa tahun lepas, ramai yang berkongsi pautan tentang kajian di Barat yang mengatakan bahawa orang yang selalu mencarut adalah mereka yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi. Diikuti kajian lain pula yang menyimpulkan bahawa berkata kesat boleh mengurangkan kesakitan yang kita alami. Justeru, berbondong-bondonglah orang yang percaya dengan hasil kajian ini. Walhal itu hanyalah kajian Barat yang terbatas terhadap budaya dan cara hidup mereka di sana.
Kita sedia maklum bahawa budaya di barat tidak terikat dengan agama dan mereka hanya mengamalkan agama itu sebagai amalan ritual semata-mata bukannya cara hidup.
Terdapat kajian yang diterbitkan oleh Journal of Social Sciences and Humanities oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2018 menyatakan bahawa amalan keagamaan seperti zikir dapat membantu bekas penagih dadah melawan ketagihannya. Kajian ini dijalankan oleh Nurshuhada Mohd Sabri, Wan Shahrazad Wan Sulaiman (Phd), dan Norulhuda Sarnon (Phd). Kesimpulan daripada penyelidikan ini membuktikan bahawa amalan berzikir dapat memberi perubahan kepada tingkah laku positif kepada seseorang.
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ
Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.(Riwayat Tirmizi)
Nabi pernah mengingatkan kita untuk menghindari daripada berkata-kata yang buruk. Tidak ramai yang patuh kerana bagi mereka, berkata yang baik kedengaran poyo dan skema sedangkan itulah sebaik-baik ucapan.
Sebagai orang Islam, mengikuti ajaran Nabi adalah menjadi keutamaan untuk kita. Apa makna hidup jika hanya mengumpul dosa dan bergelumang dalam kemaksiatan? Sedangkan akhirat yang kita percaya itu tidak jauh daripada kita. Lebih baik meluangkan masa dengan kebaikan daripada melakukan perkara yang memberi defisit kepada amalan.
Disediakan oleh,
Baha’uddin Hamizan