Pada awal tahun 2020, kita digemparkan tentang kematian seorang penjual aiskrim di atas motornya menerusi sekeping foto yang tular di media sosial. Menurut sumber berita dari Indonesia, penjual aiskrim itu bersungguh-sungguh bekerja mencari nafkah untuk menanggung anak isterinya walaupun sering mengadu sesak nafas dan pening kepala. Hal ini diakui oleh ahli keluarganya. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa almarhum dan menerima segala amal baiknya dalam menunaikan tanggungjawab kepada ahli keluarga tercinta. Amin Ya Rabb.

Kisah ini mengingatkan aku akan perbualanku dengan seorang pakcik tua yang sedang menjual aiskrim ketika aku menyertai rombongan kembara dakwah ke perkampungan orang Asal di Kuala Boh, Cameron Highland belasan tahun yang lalu. Sebagaimana kebiasaannya penjual aiskrim di Malaysia, pakcik itu menjual aiskrim dengan menggunakan sebuah motorsikal kapcai. Melihat layanan mesra pakcik kepada kami, membuatkan aku mahu bersembang sepatah dua dengan beliau.

“Pakcik mesti kaya kan? Laku jualan aiskrim pakcik”, tanya aku penuh teruja.

Maklumlah jiwa anak kecil hanya melihat apa yang zahir di hadapan mata. Pakcik itu hanya tersenyum mendengar ayatku.

Lantas beliau menjawab, “Pakcik tak kaya. Hidup pakcik biasa-biasa sahaja. Namun Alhamdulillah, meskipun pakcik tidak kaya harta, namun Allah mengurniakan pakcik dengan anak yang ramai, Alhamdulillah (Kalau tidak silap aku sekitar 10 orang anak dia). Dan alhamdulilah masing-masing sudah besar dan ada kehidupan masing”.

Demikianlah respon spontan pakcik itu. Walaupun perbualan sudah berlalu berbalas tahun lamanya, namun bait-bait kata pakcik masih terpahat kukuh di dalam memori. Pakcik itu telah mengajar aku bahawa rezeki itu bukan hanya dalam bentuk WANG KERTAS semata-mata, bahkan rezeki itu dalam pelbagai bentuknya misalnya rezeki dikurniakan anak-anak sebagaimana kisah pakcik tadi. Pakcik itu mensyukuri apa yang Allah kurniakan padanya. 

Allah berfirman:

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرِتُمْ إِنَّي عَذَابِيْ لَشَدِيْدٌ

“Demi sesungguhnya! Sekiranya kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 7)

    Walaupun pakcik itu dikurniakan dengan anak yang ramai, namun beliau tetap membulatkan tekadnya untuk menanggung nafkah mereka sekalipun terpaksa melalui jerih payah membesarkan mereka. Pakcik itu tidak khuatir akan kurniaan rezeki kerana beliau meyakini bahawa Allah telah menjamin rezeki mereka yang dikurniakan dengan anak-anak sebagaimana firman-Nya:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمَلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاكُمْ

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan, Kamilah yang memberi memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu…” (Surah al Isra: 31)

Namun, setiap Muslim seharusnya memastikan bahawa setiap punca perolehan rezekinya itu datangnya daripada sumber yang halal kerana hasilnya akan tumbuh menjadi darah daging dalam tubuh manusia dan amaran yang keras yang bakal menimpa sekiranya perintah ini dilanggar sebagaimana pesan Nabi Sollahualai Wasalam:

إِنَّهُ لاَ يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلاَّ كَانَتِ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

“Sesungguhnya tidaklah tumbuh sesuatu daging yang disuapkan dengan cara perolehan yang haram melainkan nerakalah tempat yang selayaknya untuknya” (HR at Tirmidzi)

 ‏

    Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah sentiasa meyakini bahawa setiap makhluk di dunia ini Allah telah tetapkan bahagian rezeki masing-masing sebagaimana firman-Nya:

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِيْ الأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا

“Dan tiadalah suatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya” (Surah Hud, ayat 6).

Di samping itu, kita seharusnya menginsafi bahawa disebalik kesusahan kita dalam mencari rezeki, pastinya ada orang yang lebih susah hidupnya daripada kehidupan kita dan demikianlah pedoman Nabi:

انْظُرُوا إِلَى مَنْ هو أَسفَل مِنْكُمْ وَلا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوقَكُم؛ فهُوَ أَجْدَرُ أَن لا تَزْدَرُوا نعمةَ اللَّه عَلَيْكُمْ

“Lihatlah kepada kehidupan orang yang lebih susah berbanding kalian dan janganlah dilihat terhadap kehidupan orang lebih senang daripada kalian, agar dengan kalian bersikap sedemikian lebih mendorong kalian agar tidak memperkecilkan nikmat yang Allah kurniakan kepada kalian” (HR Bukhari dan Muslim)

      Saya akhiri tulisan saya kali ini dengan doa yang ma’thur daripada Nabi Muhammad Solllahualaihi Wasalam:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً ‏ 

“Ya Allah Ya Tuhanku, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima” ‏‏(HR Ibnu Majah)

Disediakan oleh,

Fathi Anwar

Setapak, Kuala Lumpur

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.