Ketika kata-kata indah Indonesia sedang hangat tular di media sosial, perasaan geram muncul apabila melihat komen-komen orang Malaysia.
“Sedapnya. Kenapa aku selalu rasa bahasa Indonesia ni sedap sangat.”
“Kenapa BM tak ada kata-kata macam ni?”
“Lain level kita dengan Indonesia woi.”
Dan macam-macam lagi.
Geram tapi bukan marah. Budaya Malaysia dan Indonesia tidak sama. Cumanya, masyarakat kita tidak dipaksa oleh budaya untuk mencintai bahasa.
Indonesia daripada segi budaya dan kecintaan bahasa, memang telah lama mendahului Malaysia. Walaupun Indonesia tidak mempunyai pusat bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka di Malaysia, tetapi kebanggaan rakyat Indonesia terhadap bahasa begitu tinggi. Lihat sahaja bahasa yang digunakan di dalam penulisan buku-buku daripada Indonesia, bahasa yang sangat indah.
Walaupun kita berbeza tetapi tidak perlu sampai menjatuhkan semangat kita. Marah-marah ini sejak dulu hingga sekarang tidak akan pernah menyelesaikan masalah.
Jadi kita tawarkan alternatif.
Mereka kongsikan 10 kata mereka yang indah, kita juga kongsikan 10 kata daripada bahasa asli kita yang juga indah.
Biarlah masyarakat tahu, bahasa kita tidak lekeh. Jika diteroka lagi gerubuk silam, ada banyak kata-kata yang begitu istimewa dan dimiliki hanya oleh kita.
Juita, Ratna, Atma, Renjana, ini semua kata-kata yang begitu asli, benar-benar lahir dari rimba budaya kita yang terbina sejak sekian lama.
Kata-kata ini boleh digunapakai untuk menamakan manusia kerana maksud-maksud yang baik seperti Juita, Nirmala, Atma, Renjana, Bahari dan Ratna. Selain itu, sesuai digunakan didalam penulisan puisi. Sebagai contoh,
Dayang Juita berjalan kaki,
Rumah buruk tangga sembilan;
Menyuruh gila apakan jadi,
Seperti pungguk rindukan bulan.
sumber: Kurik Kundi Merah Saga
Kata-kata Indonesia boleh tular hingga 40 ribu lebih orang kongsi. Begitu meriah!
Bagaimana pula sambutan kata-kata indah Bahasa Melayu ini?
Disediakan oleh,
Jejak Tarbiah