Akhir-akhir ini kita dipaparkan dengan pelbagai luahan berkaitan alam kehidupan rumahtangga antaranya berkaitan pasangan yang di luar jangkaan.
Luar jangkaan yang bagaimana? Pasangan tidak seperti seseorang yang dikenali sebelum berkahwin. Sebagai contoh, si dia seorang yang lemah lembut dan penyayang sebelum berkahwin tetapi selepas berkahwin dia berubah menjadi bengis dan pemarah. Sebelum berkahwin rajin bekerja, selepas berkahwin menjadi pemalas seperti biawak hidup. Lebih teruk lagi apabila si suami mengharapkan sang isteri yang mencari nafkah untuk keluarga.
Situasi ini meletakkan seseorang dalam dilema kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa si dia sangat berbeza daripada ‘wayang’ yang ditayangkan selama ini.
Bagi yang sudah berkahwin dan sedang menghadapi keadaan sedemikian, rujuklah kepada kedua orang tua atau orang yang berpengalaman.
Bagi yang belum berkahwin dan sedang merancang untuk menamatkan zaman bujang tidak lama lagi, ada beberapa pesanan untuk anda semua;
1. Jadi Diri Sendiri
Ya, jadilah diri sendiri dengan menunjukkan sikap yang sebenar. Tidak perlu bermain wayang di hadapan orang yang ingin dijadikan teman hidup. Kalau kita seorang yang selalu kentut, tidak perlu malu-malu untuk kentut. Lepaskan saja angin tu tapi biarlah dengan cara yang beradab.
Bukan juga bermaksud ‘keluarkan’ segala keburukan diri sendiri. Tidak sama sekali! Cumanya ingin ditegaskan di sini, jadilah diri sendiri dan berhenti berpura-pura kerana kepura-puraan itu hanya sementara. Sedangkan rumahtangga yang ingin dibina itu adalah untuk sepanjang hayat.
Jangan mudah terpedaya dengan lakonan bakal pasangan. Selidik dahulu latar belakang si dia sebelum membuat keputusan supaya tidak menimbulkan isu. Sebelum kahwin, tampak soleh bukan kepalang tetapi selepas kahwin, solat pun culas!
Bukan paras rupa atau harta benda yang menjadi pengukur keutuhan sesebuah ikatan kerana keduanya pasti akan berubah suatu masa nanti. Yang meneguhkan ikatan itu adalah ketulusan hati yang dapat dirasai dalam sanubari.
Ikhlas kepada diri sendiri dan kepada bakal pasangan kita supaya rumahtangga yang bakal dibina akan tetap harmoni dan indah.
2. Menerima Seadanya
Di Malaysia ini terlalu banyak drama yang memaparkan keindahan hidup berkahwin. Maka ramai yang membayangkan keindahan sedemikian dalam dunia realiti. Mengharapkan Cik/Encik Sempurna sebagai teman hidup yang romantis, penyayang, cantik, bijak dan sebagainya sehingga pada akhirnya angan-angan itu bertukar menjadi mimpi ngeri hanya kerana sedikit kecacatan yang ada sekalipun sekadar terkentut di dalam kereta.
Harapan bila sudah diletakkan terlalu tinggi, kalau jatuh, sangat menyakitkan. Bila sudah tidak boleh menerima kenyataan, mula rasa menyesal, gaduh sana sini, akhirnya jodoh pun turut berakhir. Soal jodoh itu sememangnya ketentuan Ilahi tetapi yang menjadi pemula adalah pilihan kita sendiri.
Selagi diri sendiri tidak sempurna dan masih berliur sewaktu tidur, usah mengharapkan seseorang yang juga sempurna. Selagi belum mampu memimpin diri sendiri menuju ke syurga, usah bermimpi bakal imam atau bakal makmum akan muncul menarik tangan ke Jannah.
You get what you give
Kesediaan untuk menerima baik buruk seseorang dapat menjamin kebahagiaan selepas berkahwin, insyaAllah, kerana tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Itu kenyataan!
3. Alam Perkahwinan bagaikan Bahtera di Tengah Lautan
Perkahwinan ini adalah medan pertarungan, bertarung perasaan dan tenaga demi memastikan bahtera rumahtangga akan terus berlayar sekalipun dihempas badai di tengah lautan. Kadang kala kita nampak pasangan itu bahagia sedangkan di sebalik semua itu bermacam masalah yang sedang mereka lalui.
Bak kata pepatah pujangga, hutan terbakar nampak asapnya, hati terbakar siapa yang tahu? Ada benarnya pesan Hijjaz dalam rangkap lagu mereka Selamat Pengantin Baru:
Dalam melayari bahtera rumahtangga,
Ada masa senang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu.
Jika ada yang masih menganggap perkahwinan sebagai medan drama berkasih sayang, kurangkanlah menonton drama yang tidak sihat dan penuh retorik. Banyakkan membaca buku yang bermanfaat atau mendengar nasihat daripada orang yang berpengalaman kerana alam perkahwinan bukan tempat bersuka ria.
Alam perkahwinan adalah medan perjuangan. Perjuangan mencari bahagia dalam rumahtangga, perjuangan mempertahankan cinta dengan insan yang dikasihi dan perjuangan mencapai redha Ilahi.
Disediakan oleh,
Firdani bin Adam
Sandakan, Sabah