Langit sudah hampir memejamkan dirinya. Sebentar lagi azan Maghrib akan mengusir suasana senja, menandakan hari sudah cukup. Belas atau puluhan unggas, kalau tidak silap perkiraanku tadi, sudah berduyun pulang untuk bersidang di sarang masing-masing. Sementara aku, masih setia berteduh di bawah pohon asam jawa bertemankan buku Arok Dedes. Aku masih menunggu. Menunggu sesuatu yang masih pudar, samar dan tidak jelas, tentang sebuah khabar yang sudah mematikan dirinya sejak tiga tahun lalu. 

“Aini, di manakah dirimu? sudah ku siapkan secarik puisi bertajuk ‘Gamelan Rindu’ untuk ku-nyanyikan buat menyambut kepulanganmu nanti. Di manakah dirimu? 

Azan berkumandang, aku pulang.

Di musolla, Pak Hamid selaku imam melagukan bacaannya bertatahkan Bayyati, berdayu-dayu, harmoni dan tenang. Sesudah solat berjemaah, aku keluar sekejap untuk mengunyah udara malam. 

“Masih belum ada, Guntur?”, Pak Hamid, menegurku. 

“Belum ada, Bung.” Aku menyahut, aku memanggilnya Bung kerana memang Pak Hamid lebih selesa dengan panggilan sebegitu, lebih rapat, katanya. “Sudahlah, melangkahlah ke hadapan. Tidak pernah ada kata terlambat selagi nafasmu masih berdengus segar. Lupakanlah dia, barangkali pula dia sudah lupakan dirimu, nak, Guntur. Di dunia ini, kata menunggu terlalu memenatkan.” Seperti biasa, Pak Hamid memulakan mukadimahnya dengan sebilah huruf yang cukup tajam, dan air mataku sudah mula berkampung di kolam mata, ya aku!

“Ya, Bung. Bukan senang mengusir yang sudah menetap di situ. Semuanya sudah siap, hanya tinggal menunggunya merapat dan terjalinlah akad yang ku-idamkan, Bung.” Aku membalas. 

“Kau menangis nak? Maafkan aku, nak. Aku tidak bermaksud. Cuma aku sudah tidak sanggup mendengar apa yang diperkatakan orang kampung ini, nak. Telingaku sudah tepu. Kalau boleh, mahu sahaja ku bekukan di peti ais telinga ini, supaya dijauhkan dari apa yang mereka perkatakan.” Getus Pak Hamid sambil memegang bahuku. Agak keras genggaman Pak Hamid.

 “Aku sudah maklum. Tapi sedikitpun tidak aku pedulikan suara-suara sumbang itu, Bung. Aini tidak akan lupakan janji kami, Bung. Dia anak terhormat, dikenal orang kerana kebaikannya. Dari keluarga terdidik, calon guru pula. Tidak ada guru yang menidakkan anak muridnya, bukan Bung?” Aku menepis Pak Hamid, dengan tenang, barangkali.

“Kata-kata yang kau luncurkan, nak, seolah-olah kau sudah mengenal baik terlalu banyak guru. Sekolah menengah sahaja sudah tidak kau habiskan. Satu, nak, kau bukan anak muridnya. Dua, nak, kau hanya pengait kelapa sawit di ladang. Kuli, nak. Dia calon guru. Di seberang sana, di gedung pengajiannya itu berkumpulnya calon doktor, peguam, jurutera, ahli hukum, guru dan banyak lagi. Yakin kau, nak? Dia masih menjahit nama yang sama, nama Guntur, di setiap malamnya?” Pak Hamid, dengan nada seriusnya. Aku terdiam sejenak. Bunyi serangga yang saling bersahutan menghiasi malam itu dengan tenang.

Terdiam, lalu aku menjawab ringkas, “Tapi orang tua-ku sudah maklum dan mengiakan kami, Bung.” 

“Di pihakmu, ya, nak. Tapi di pihaknya pula bagaimana?” Pak Hamid membalas. Dan perbualan malam itu ditutup dengan berkumandangnya azan Isya.

*****

Keesokan paginya, sekitar pukul enam pagi aku sudah bersiap untuk pergi mengais rezeki. Ya, tukang pengait kelapa sawit, atau lebih tepatnya si kuli, kata Pak Hamid semalam. Aku harus sampai di tapak perhimpunan pekerja paling lewat setengah jam selepasnya, atau kalau sanggup, silakan memakan hidangan makian tuan mandor.

Beginilah nasib sebagai kuli di tanah yang kurus ini. Tanah yang tidak mungkin bernyawa, kalau tidak ada seangkatan kuli yang sudi menumpahkan kudratnya di sini. Sesudah kehadiran-ku diambil, segera aku mengayuh basikal waris ayah ke Bayok, sebuah kawasan ladang sawit yang membentang sejauh 3 hektar. Ada lebih kurang 408 pokok sawit yang merumputi kawasan tersebut. Hari ini aku ditugaskan oleh tuan mandor untuk mengeluarkan buah sawit yang sudah matang di kawasan itu sebanyak yang boleh, aku menuruti.

Sesudah seharian berhempas pulas, aku tidak terus pulang. Seperti biasa, sekitar pukul empat petang, aku sudah merapatkan basikalku di sisi pohon asam jawa yang sama dan berteduh lagi. Selepas itu, aku menyambung bacaanku. Ya, aku sudah suka membaca. Inilah yang ku warisi dari sifat Aini, yang selalu memaksa-ku untuk terus membaca dahulu. Ya, dahulu!

“Hari baru ialah kemungkinan baru.” Bisikku sendiri dan aku terus menunggu lagi. Menunggu Aini. Sejujurnya, perbualan dengan Pak Hamid semalam masih bernyanyi di telingaku. Tajam dan berdesing, sering sahaja menjadi mainan iblis untuk menduakan perasaanku. Aku sangat menyayangi Aini, dia perempuan luar biasa yang utuh peribadinya. Lantang, intelek dan semua tentangnya yang tidak dapat ku sebut satu-persatu itu, membuatkan aku semakin jatuh hati, setiap hari.

Di pohon asam jawa inilah tempat yang kami sumpah untuk berjumpa, apabila dia pulang nanti. Sudah lebih tiga tahun, tidak ada berita, tidak ada surat dan aku masih menunggu dengan kuat. Dengan bertongkatkan janji-janji yang sudah kita ukir dan bersandarkan memoir-memoir lama, inilah yang menjadi khutbah kekuatanku menunggumu, Aini. Aku tertidur.

“Guntur! Guntur! bangun, Guntur!”, tiba-tiba suara seorang perempuan mengejutku dari buaian lenaku. Penglihatanku masih kelabu.

“Aini-kah itu? Oh, mak cik Bunga, maaf. Ada apa? Semacam mak cik terburu-buru saja. Paip dapur bocor lagi?” Aku menjawab. Rupanya Mak Cik Bunga, tetanggaku yang selalu menjemputku bila ada sesuatu yang tidak beres di rumahnya.

“Guntur, bukan paip yang bocor lagi. Tapi kali ini kau yang akan bocor. Aini sudah pulang. Sekarang dia ada di hadapan rumahmu. Sedang menunggu-mu barangkali, pulanglah segera Guntur!” Kata Mak Cik Bunga sambil tercungap-cungap dan menyorongkan basikalku.

“Apa? Benarkah ini mak cik? Aduhai, Aini, kau sudah pulang. Benarkah ini mak cik Bunga Kembang Seribu Wangi?” Jawabku. 

“Amboi, langsung seribu wangi kau gelarkan aku, Guntur, mentang-mentang bunga sejuta wangimu sudah pulang, ya. Ayuh! Kayuh basikalmu, pulang sekarang” Sindir Mak Cik Bunga.

“Baik mak cik, aku pulang. Aku! Dan mak cik, Aini bukan sejuta wangi, tapi tidak terkira wanginya, mak cik. Terima kasih, mak cik. Saya pulang dulu.” Kataku, lalu bergegas pulang.

“Selamat, nak. Selamat.” Mak Cik Bunga membalas.

Aku pun mengayuh basikalku dengan sangat cepatnya. Sepanjang perjalanan, terbayang sudah wajah Aini yang akan menungguku di hadapan rumah. “Cuma, mengapa tidak dia sendiri datang ke pohon asam jawa? Seperti yang sudah kami janjikan dahulu. Ah! Paling tidak Aini terlupa sahaja, lagipula sudah lebih tiga tahun.” Aku bermonolog sendirian. Pohon-pohon di sepanjang jalan saling melambai ketika diterpa angin, seakan-akan mengucapkan selamat dan tahniah.

Sudah sampai, dan aku pun turun dari basikal. “Aini, Aini, ini Guntur!” Jeritku dari belakang rumah. Aku langsung segera berlari ke hadapan rumah, lalu terdiam. “Guntur, Assalamu’alaikum. Apa khabarmu?” Aini menyapa. Aku masih terdiam. “Guntur, kau diam saja? Marilah aku kenalkan, ini Syarif, suamiku. Abang, ini Guntur, sahabat lamaku. Orangnya bagus.” Aini menyambung.

“Sahabat lama? Aku? Aini?”. Getusku di dalam hati. Lalu perlahan aku mencairkan kata-kataku yang beku, “Waalaikumussalam.. Aini.. se.. selamat pulang Aini. Saudara Syarif, selamat. Selamat.” Dan sisa petang itu seakan menghukumku dengan cukup keras. Ya, keras!

*****

“Aini,

ku tebarkan cinta ini seluas Lautan Hindi

ku lukis wajahmu pada atap langitnya

ku kurung semua prasangka di dasarnya

ku pasakkan janji-janji kita sebagai tongkatnya

lalu kau hunus daku dengan pengkhianatan”..

 

– Guntur, Gamelan Rindu Perpisahan

 

Barangkali, orang-orang terdidik cuma untuk orang yang terdidik juga.

Aku terkubur dengan keangkuhan-ku sendiri. Pak Hamid, ya, engkau benar. Mak Cik Bunga, ya, aku akan merindui rumahmu yang selalu tidak beres. Izinkan aku melangkah pergi. Aini, apakah setidaknya sedetik saat kehilanganku kau akan menangis? Tidak mimpi! Semoga berbahagia Aini. 

“Tuhan, lapangkan dadaku untuk menerima segala aturanmu. Tuhan, pinjamkan aku kekuatan. Beku-kan air mata ini. Tuhan, apakah keharusan menjadi terdidik, terpelajar, sekiranya yang terdidik dan terpelajar itu cuma nafsu-nafsunya?” 

Benarlah, hanya kepentingan-kepentingan yang akan menetapkan kita pada sesuatu. Tuhan, aku melangkah pergi..

 

-Tamat-

 

Disediakan oleh,

Ilham Yusuf


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.