Hari ini entah masuk hari ke berapa, kami masih diperintahkan untuk kekal menjalankan aktiviti sekitar di dalam rumah sahaja. Rutin yang sama terus berputar dan dijalani seperti beberapa hari lepas. Padaku, alam benar-benar merajuk kali ini. hujan juga seolah-olah meminta rehat dengan kami yang di bawah ini kerana setiap hari dirasakan teriknya matahari seperti tiada penghujungnya. Panasnya suatu petang ini, aku cuba untuk mengisi dan memuntahkan perasaanku dengan sejuta harapan moga-moga pagi esok bangunnya dari lena tidur, semua yang berlaku ini hanya sekadar mimpi sahaja.
Pen dicapai perlahan dan mula menari di atas sehelai kertas kosong. Tulisan ini aku simpan sebagai perbualan sunyi antara aku dan Tuhan.
Tuhan,
Ketika ini, aku menyaksikan kebisingan manusia yang tidak henti-henti berbicara tentang kedatangan satu wabak. Wabak yang aku kira mula mengikis sifat tamak, gila kuasa, sombong dan angkuh manusia. Mereka yang sebelum ini menjerit melaungkan laungkan kekuasaan dan kemewahan masing-masing, mendabik dada menayangkan kemasyhuran dan kekayaan namun kini mereka seperti bertempiaran berlari ke sana sini demi mencari tempat berteduh dan kalis daripada terjebak wabak ini. Tingkah aneh apakah ini, Tuhan?
Tuhan,
Aku tertanya-tanya, atas sebab apakah Engkau datangkan makhluk kecil-Mu ini? Sehingga ia berjaya mengucar-kacirkan seluruh kehidupan kami?
Adakah atas sebab keterlanjuran tanpa sedar atau sengaja buat tak endah kami terhadap Engkau?
Atau adakah atas sebab sifat kemanusiaan kami yang semakin pupus sebagai seorang hamba?
Atau adakah atas sebab sebagai ujian untuk menumbuhkan benih-benih kesedaran dalam diri kami?
Setiap satu persoalan ini meninggalkan aku tanpa sebarang jawapan.
Tuhan,
Kami mula mencari dan menyambung titik-titik untuk setiap persoalan ini. Melihat dari sisi hikmah dan mula meratib kesyukuran buat nikmat dan kecukupan yang dipandang enteng selama ini. Lemahnya kami ini.
Begitulah manusia kan? Kembali meraba-raba sirna cahaya agama yang sebelum ini hanya dianggap sebagai sebuah candu semata-mata.
Tuhan,
Tuhan,
Mereka masih membebel-bebel dan menjerit nyaring, mereka mengatakan dunia ini sudah tiba ke destinasi akhirnya. Benarkah itu, Tuhan?
Imam Maturidi ada menukilkan; harapan dan ketakutan adalah seperti sepasang sayap. Kedua-duanya diperlukan untuk kamu terbang tinggi. Aku tersenyum kelat tatkala mengingati petikan ini. Ternyata, kami tersepit dicelah celah ketakutan dan harapan itu. Ketakutan yang menghimpit diri untuk melalui hari-hari seterusnya serta harapan untuk terus berjuang dan bertahan seperti sedia kala. Apa yang meresahkan waktu ini, semoga kami tidak binasa perlahan-lahan dalam waktu bertahan ini.
Tuhan,
Malam ni aku dan yang lain berdoa, moga-moga Engkau masih sudi meminjamkan kembali kepada kami, nikmat kenyamanan yang pernah didakap suatu masa dulu. Dan ketika doa-doa yang dipintal ini Engkau mengabulkannya, moga-moga aku dan yang lain kembali menjadi manusia yang lebih tunduk dan sujud padaMu. Menjadi manusia yang mengisi sisa-sisa waktu dengan kebaikan dan kecintaan kepada kehidupan selepas tutup usia kelak.
Tuhan,
Pada akhirnya,
hanya padaMu,
sebaik baik payung untuk aku dan yang lain berteduh,
hanya padaMu,
sebaik baik pelukan aku dan yang lain dambakan, hanya padaMu,
sebaik baik langit untuk aku dan yang lain menadah.
Tulus,
Athirah Hisham
Selesai menulis, kertas dilipat lalu diikat pada sebuah layang-layang. Aku menerbangkan layang-layang itu dengan tujuan agar dibuka suratnya dan dibaca berulang-ulang kali oleh orang-orang yang menemuinya. Harapan ku, pada akhirnya, semoga bacaan surat itu menjadi doa yang berlumba-lumba menuju Tuhan Yang Satu kerana aku yakin antara manusia yang ramai itu akan ada seseorang yang baik di sisi Tuhan lantas doanya diangkat dan dikabulkan.
Sementara di radio, sebuah lagu berkumandang oleh Payung Teduh;
“Malam yang gelap
Dan dingin yang kau damba-dambakan
Dengan apa akan engkau habiskan?
Bersama mimpi yang kau rekayasa
Atau doa-doa yang kau pinta dalam takut
Di tembok yang tinggi dan berlumut itulah
Segala peristiwa ikut melapuk
Kita menguap seperti kabut
Kita hanya sebentar
Sejenak adalah usia kita.”
Aku sekali lagi tersenyum kelat mendengar bait-bait lirik ini. Teringat kembali surat yang ku karang menuju Tuhan tadi, seperti dekat kisahnya, mengajak aku untuk duduk dan kembali merenung tentang keberadaan kita waktu ini.
Disediakan oleh,
Athirah Hisham
Hantar karya anda di emel [email protected]om.
Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!