Kota Thaif merupakan sebuah bandar kecil yang terletak di sebelah Barat Arab Saudi, kira-kira 80 kilometer dari Kota Makkah. Tempatnya beriklim dingin sepanjang tahun dan tanahnya yang subur dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar. Kota Thaif pernah mencatatkan sejarah hitam apabila penduduk Thaif menentang Nabi Muhammad SAW semasa baginda berdakwah di sana. 

Pada bulan Syawal tahun ke-10 kenabiannya selepas kematian dua insan kesayangan Rasulullah SAW iaitu isteri kesayangannya, Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib, Baginda ke Thaif dengan harapan penduduk Thaif menjadi penglipur lara sekaligus berharap penduduk Thaif iaitu Bani Tsaqif menerima seruan dakwah Baginda. Rasulullah SAW ke Thaif berjalan kaki dari Makkah kerana bimbang akan kecurigaan kafir Musyrik yang telah menganggap Baginda sebagai pengganggu ketenteraman selepas Kota Makkah dikawal oleh kaum kafir Quraisy. Dalam perjalanan ke Kota Thaif, Baginda menempuh panas terik matahari yang ditemani oleh anak angkat Baginda iaitu Saidina Zaid Bin Harithah ketika itu. Hawa panas padang pasir tidak sedikitpun melemahkan semangat mereka kerana mereka menganggap keimanan adalah sebaik-baik bekalan hati dan jiwa.

Pada mulanya mereka sampai di Thaif, mereka telah bertemu dengan tiga orang pemimpin Thaif di gerbang masuk Kota Thaif dan disambut baik kedatangan Rasulullah SAW atas dasar Baginda adalah salah seorang pemimpin Kota Makkah daripada Bani Abdul Mutalib. Setelah Baginda berdakwah kepada mereka, mereka bertiga dengan terus-terang menolak dakwah Baginda bahkan mereka telah menghina Baginda. Namun Baginda tetap bersabar dan tidak berputus asa sebaliknya Baginda terus berdakwah kepada penduduk Kota Thaif selama 10 hari.

Sebaik sahaja Baginda memasuki Kota Thaif, Baginda telah dihujani dengan lontaran batu oleh penduduk Kota Thaif sehingga berdarah kaki Baginda. Semasa dihujani lontaran itu, Saidina Zaid Bin Harithah yang melindungi Rasulullah SAW dengan jasadnya sehinggakan luka pada Saidina Zaid lebih teruk daripada Rasulullah SAW. Mereka berlari dan berhenti di sebalik bukit lalu Allah menghantarkan malaikat Jibril dan malaikat penjaga bukit-bukau serta mengutuskan malaikat ini untuk mentelangkupkan Kota Thaif. Tetapi Rasulullah SAW tidak membenarkan malaikat melakukannya lalu Baginda berkata,

“Biarlah aku bersabar terhadap kaumku. Semoga Allah melahirkan dari zuriat mereka orang-orang yang beriman kepada Allah”.

Rasulullah SAW berdoa lagi, “Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” Lalu Jibril berkata, “Benarlah mereka yang menamakan kamu sebagai berhati lembut dan penuh kasih sayang.”

Betapa sayangnya Baginda kepada umatnya walaupun penuh kesakitan dan luka, tetapi Baginda tetap berdoa dan memberi kebaikan kepada mereka.

Sebelum keberangkatan pulang ke Makkah, Rasulullah berehat di bawah pokok yang berdekatan dengan kebun anggur milik dua orang anak lelaki Rabi’ah iaitu ‘Utbah dan Syaibah. Sedang Baginda berehat. Baginda berdoa,

“Ya Allah, kepada Engkau aku mengadu hal keletihan tenagaku, kekurangan helahku, kehinaanku di hadapan manusia. Wahai Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Dikaulah Tuhan golongan lemah dan dhaif. Dikaulah Tuhanku, kepada siapa lagi yang hendak ku menyerah? Apakah kepada orang yang jauh membenci daku? atau kepada seteru yang telah Kau beri kuasa mengatasi daku? Kiranya tiada kemarahan Kau ke atasku, tidaklah kupeduli, namun afiat dariMu lebih luas bagiku, ku berlindung dengan cahayaMu. Dikaulah yang menerangi kegelapan, dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik, aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurkaanMu, bagi kau jua tempat kembalinya hingga tercapai keredhaanMu, tiada daya upaya kecuali denganMu Ya Allah.”

Mendengar rintihan Rasulullah itu, Allah mencampakkan ihsan kepada ‘Utbah dan Syaibah untuk berasa kasihan kepada Baginda, lalu mereka meminta seorang hamba Nasrani bernama ‘Addas membawa setangkai anggur kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW amat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada ‘Addas. Ketika Baginda mahu memakan anggur itu, Baginda mengucapkan Basmallah lalu menyuapkan anggur itu ke mulut. Apabila ‘Addas mendengarkan ucapan Baginda itu, ‘Addas berasa hairan lalu berkata bahawa ucapan yang diucapkan tadi tidak pernah ditutur oleh penduduk Thaif. Lalu Rasullullah bertanya kepadanya: “Kamu datang dari negeri mana dan apa agama anutan kamu?” Lalu ‘Addas menjawab: “Aku penganut agama Nasrani dan berasal dari negeri Ninawa di Iraq.” Baginda bertanya lagi: “Kau dari negeri seorang soleh bernama Yunus bin Matta?”. Lalu ‘Addas bertanya: “Apa yang kau tahu tentang Yunus bin Matta?” Rasulullah menjawab: “Dia itu saudaraku, dia ialah seorang nabi dan aku juga seorang nabi!”. Lalu Rasulullah membaca ayat al-Quran surah Yunus yang menceritakan perihal Nabi Yunus. Mendengarkan itu, ‘Addas berasa begitu taajub lalu mengucup kepala, tangan dan kaki Rasulullah dan ‘Addas memeluk Islam di situ juga. Kemudian, Addas kembali mendapatkan tuannya ‘Utbah dan Syaibah lalu Addas dimarahi kerana memuliakan Rasulullah SAW. Lalu ‘Addas menjawab, “Wahai tuanku, tiada apa di dunia ini yang terlebih baik daripada apa yang aku lakukan tadi kerana sesungguhnya lelaki itu telah mengkhabarkan kepadaku perkara yang tidak diketahui manusia biasa kecuali oleh seorang Nabi!” 

Kemudian, setelah pembukaan Kota Makkah, berlaku perasaan tidak senang hati oleh penduduk kaum Musyrikin yang berada di sekitar Makkah terutama puak Hawazin dan Tsaqif kerana mereka tidak dapat menerima hakikat dengan penaklukan umat Islam di Kota Makkah. Mereka berkumpul di satu kawasan bernama Autas berdekatan dengan Lembah Hunain dan mempunyai perancangan untuk menyerang umat Islam di Makkah. Rasulullah SAW membuat keputusan untuk menyerang kaum Musyrik kerana dikhuatiri lebih ramai yang akan mengikuti mereka. Bermulalah perang yang dinamakan sebagai Perang Hunain atau dikenali sebagai Perang Hawazin. Tentera Musyrikin diketuai oleh Malik bin Auf dengan membawa kelengkapan perang, harta dan keluarga untuk sama-sama menyertai perang tersebut. 

Pada 11 Syawal tahun 8 Hijrah, Khalid Bin Al-Walid mengetuai batalion perang memasuki Lembah Hunain bersama tentera Islam yang lain. Jumlah tentera Islam yang menyertai perang Hunain tidak seramai tentera Musyrikin sehingga tentera Musyrikin menganggap bilangan mereka yang ramai akan menjamin kemenangan. Sejurus sampai ke Lembah Hunain, tentera Islam di serang bertubi-tubi dari berbagai-bagai arah oleh anak panah yang ditembak oleh tentera Musyrikin. Rasulullah yang berada di batalion belakang memanggil tentera Islam untuk bertenang dan masuk semula ke dalam barisan. Dengan keadaan yang tidak terkawal, Rasulullah tampil ke hadapan dan melaungkan takbir yang kemudiannya di sambut laungan itu oleh umat Islam. Baginda mengambil segenggam pasir dan meniup ke arah tentera Musyrikin dan berdoa meminta bantuan daripada Allah SWT untuk mengalahkan golongan tentera Musyrikin. Seusai Baginda meniup ke arah tentera Musyrikin, pasir itu terbang ke wajah mereka dan rentak peperangan mereka mula berubah sehingga menyebabkan mereka berundur. Ramai golongan Musyrikin tewas dan memperlihatkan kemenangan kepada umat Islam.

Selepas peperangan Hunain, tercetus pula Peperangan Thaif yang berpunca daripada sebahagian tentera Hawazin yang melarikan diri ke Thaif bersama pemimpin mereka iaitu Malik bin Auf al-Nasri. Selepas kekalahan mereka di Hunain, mereka terpaksa mencari tempat perlindungan dengan membina kubu pertahanan di kawasan Kota Thaif. Peperangan ini dimulakan dengan penghantaran satu pasukan peninjau dibawah pimpinan Khalid bin al-Walid. Rasulullah SAW menyusul ke Thaif dan berhenti di sebuah tempat tidak jauh dari benteng Thaif. Dalam melancarkan serangan bagi melemahkan tentera Hawazin, beberapa peralatan baru telah digunakan dalam peperangan ini. Lastik gergasi yang dipasang ke arah benteng Thaif dan peluru-peluru batu yang dilontarkan berhasil meruntuhkan sebahagian dinding benteng. Lantas beberapa orang tentera Islam meluru masuk ke dalam benteng melalui dinding yang berlubang dan kemudian masuk ke arah pagar benteng untuk membakarnya. Namun kaum Musyrikin terus melontar besi panas yang telah dibakar serta serangan anak panah ke arah tentera-tentera Islam mengakibatkan sebahagian daripada tentera Islam terkorban. 

Pengepungan benteng Thaif oleh tentera Islam terus berlarutan dalam tempoh yang lama. Semakin hari semakin ramai tentera Islam cedera bahkan ada yang syahid kerana terkena serangan anak panah dan tembakan peluru-peluru besi. Akhirnya Nabi Muhammad mengugut untuk membakar dan memusnahkan pohon anggur dan Baginda memberi tawaran kepada ketua Bani Hawazin untuk memeluk Islam dan berjanji untuk melepaskannya daripada tahanan dan memulangkan harta bendanya. Malik bersetuju dan terus berperang dengan penduduk Thaif serta merampas binatang ternakan orang Thaif. Dengan cara ini sahaja dapat menyulitkan keadaan buat penduduk Thaif dan dapat memujuk mereka supaya menyerah diri.  Dalam pada itu, penduduk Thaif, menghantar utusan ke Madinah dan meminta agar mereka masih boleh menyembah Tuhan mereka namun Baginda tidak menerima tawaran dan berkata bahawa Baginda hanya akan menerima penyerahan diri sekirannya mereka memeluk Islam dan membenarkan orang Islam memusnahkan patung berhala dan kuil mereka. Akhirnya Bani Thaqif bersetuju dengan syarat-syarat yang dikenakan, mereka menyerahkan Kota Thaif dan membenarkan orang Islam untuk memusnahkan kuil mereka pada bulan Ramadhan tahun ke 9 Hijrah.

Intihanya, tidak usah kita berharap kepada anak-anak Adam untuk mendapatkan sesuatu perkara tetapi bergantunglah kepada Zat yang sentiasa terbuka pintuNya untuk kita kerana setiap kebergantungan dan pengharapan kita kepada anak-anak Adam akan memberi kekecewaan pada diri kita. Selain itu, setiap apa yang dirancang memerlukan strategi yang rapi dan tujuan niat yang diredaiNya kerana pelaksanaannya yang tertentu tidak boleh menjamin kearah tercapainya matlamat sesebuah operasi dakwah bukan sahaja tujuan atau niat yang baik.

Penulis,

Nurul Ain Mohd Salim
Peserta Write @ Home
Persatuan Nastia Youth Club

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.